Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini saya ada melihat seekor ikan yang sangat buruk rupanya, yang dipanggil sebagai ikan blob (blobfish). Ia merupakan salah satu spesies ikan laut dalam dan mempunyai bentuk dengan hidung yang besar dan juga mulutnya seolah-olah seperti wajah manusia. Soalan saya, adakah ia halal dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan definisi dan sedikit penjelasan berkenaan ikan blob atau blobfish ini. Dikatakan bahawa jika seseorang diminta untuk memikirkan makhluk paling hodoh yang boleh dia bayangkan, dia mungkin membayangkan ikan blob (blobfish): gumpalan agar-agar merah jambu pucat dengan mulut yang layu, kendur dan hidung yang besar dan kendur. Selepas dinamakan sebagai haiwan paling hodoh di dunia pada tahun 2013, ikan mengerikan ini menjadi terkenal — dengan meme, lagu, mainan lembut dan juga watak TV yang dicipta untuk menghormatinya.

Walau bagaimanapun, menurut saintis Richard Arnott, imej tular ikan blob ini tidak lebih daripada “kempen buli yang besar.” Ikan itu hanya kelihatan seperti ketulan merah jambu yang menyedihkan apabila ia telah dikeluarkan dari rumahnya (habitat asalnya), dan mengalami kerosakan tisu yang dahsyat akibat penurunan tekanan yang cepat apabila ia diseret ke permukaan. Di habitat semula jadinya — beribu-ribu kaki di bawah air — rupa/bentuk ikan blob yang disalahfaham ini kelihatan seperti ikan biasa.

Ikan blob (blobfish) kelihatan hampir tidak dapat dikenali di bawah air. Ikan berbentuk berudu ini mempunyai kepala bulbous, rahang besar, ekor tirus dan sirip dada berbulu. Berbanding sisik, mereka mempunyai kulit yang longgar dan lembik. Mereka tidak mempunyai tulang yang kuat atau otot yang tebal — sebaliknya, mereka bergantung pada tekanan air untuk mengekalkan bentuknya bersama-sama. Itulah sebabnya bentuk ikan blob runtuh/berubah menjadi lembut apabila ditarik ke permukaan. Ini kerana mereka hidup pada kedalaman yang luar biasa, maka ikan yang menarik ini sukar untuk dipelajari dalam persekitaran semula jadi mereka. Sebahagian besar daripada apa yang saintis telah pelajari tentang mereka berasal daripada ikan blob (blobfish) yang telah mati yang terdampar ke permukaan — maka oleh sebab itu bentuk di atas air mereka lebih dikenali secara meluas (berbanding rupa asalnya di habitat semula jadi mereka).

blobfish

Gambar di atas: Ikan blob yang sudah di permukaan. (Sumber gambar: https://www.bbc.com/indonesia/majalah-56761468)

Ikan blob (blobfish) biasanya ditemui di habitat yang gelap dan sejuk jauh di dasar lautan Atlantik, India dan Pasifik, antara 1,970 dan 3,940 kaki dalam. Spesies marin yang paling terkenal hidup di lapisan permukaan lautan — di atas sekitar 650 kaki — di mana masih terdapat cahaya. Sebaik sahaja anda turun ke lautan dalam, keadaan yang teruk menyukarkan haiwan untuk terus hidup. Mereka yang telah menyesuaikan diri dengan kedalaman yang keruh dan misteri ini termasuk makhluk seperti sotong gergasi, ikan pemancing (anglerfish) dan ikan tanglung bercahaya (bioluminescent lanternfish).

Kebanyakan kedalaman lautan masih menjadi misteri kepada saintis — kita mempunyai peta Marikh yang lebih baik daripada dasar lautan. Di bawah 656 kaki, cahaya mula pudar dengan cepat — dan tiada yang kekal di bawah kira-kira 3,280 kaki. Tanpa cahaya matahari untuk memanaskan air, suhu purata pada kedalaman ini ialah 39°F. Dan kerana fotosintesis tidak boleh berlaku tanpa cahaya, terdapat juga kekurangan makanan untuk dimakan haiwan.

Semakin dalam air, semakin banyak tekanan daripada berat terkumpul air di atas. Gegendang telinga manusia boleh pecah hanya sedalam tujuh kaki. Pada sekitar 3,280 kaki, tekanan adalah seratus kali lebih kuat daripada di darat. Pada kedalaman ini, paru-paru dan ruang lain yang dipenuhi udara dalam tubuh manusia akan lumpuh (gagal berfungsi).

Gambar di atas: Ikan blob ketika berada di habitat asalnya. (Sumber gambar: https://sains.sindonews.com/read/1202559/768/mengenal-blobfish-yang-dijuluki-ikan-terjelek-di-dunia-1694822944)

Fisiologi ikan blob yang menarik adalah kunci kepada kemandirian haiwan dalam keadaan yang melampau ini. Tidak seperti kebanyakan ikan lain, yang menggunakan kantung berisi gas untuk mengawal daya apungan, ikan blob tidak mempunyai pundi/gelembung renang. Jika mereka melakukannya, ia akan meletup kerana tekanan yang melampau. Sebaliknya, badan lembut haiwan itu mempunyai kandungan air dan lemak yang tinggi, yang membantu mereka menahan tekanan tinggi. Lapisan tebal daging seperti jeli di bawah kulit mereka menjadikan ikan blob kurang padat sedikit daripada air dan membolehkan mereka bergoyang di sepanjang dasar laut.[1]

Memakan ikan blob (blobfish)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, hukum asal bagi apa-apa yang keluar dari laut yang terdiri daripada makanan adalah halal. Hal ini adalah berdasarkan kepada keumuman firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Selain itu, semua haiwan yang dianggap termasuk dalam jenis ikan secara bahasa dan ‘uruf adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf. Bahkan turut dinukilkan ijma‘ ulama berkenaan keharusan memakan ikan berserta semua jenis-jenisnya daripada ramai ulama. Di antaranya adalah seperti yang disebutkan oleh Ibn Hazm dalam Maratib al-Ijma‘ (hlm. 148), para ulama telah bersepakat bahawa ikan yang ditangkap dari laut, sungai, kolam dan mata air, apabila ditangkap hidup-hidup, disembelih, dan tangkapan itu dilakukan oleh seorang Muslim yang sudah baligh, berakal dan tidak mabuk, maka memakannya adalah halal (dibolehkan).

Begitu juga Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa kaum Muslimin telah berijma‘ akan keharusan memakan ikan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/86). Selain itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani turut menyatakan bahawa tidak ada khilaf di antara ulama berkenaan kehalalan untuk memakan ikan tanpa mengira jenis-jenisnya. (Lihat Fath al-Bari, 9/619).

Selain daripada itu, ulama mazhab Hanafi sebagaimana dinyatakan dalam Mukhtasar al-Quduri (hlm. 207) menyebutkan bahawa tidak dimakan haiwan/hidupan air melainkan hanya ikan dan makruh (tahrim) memakan yang terapung daripadanya (ikan tersebut), serta tidak mengapa memakan al-Jarith (الْجِرِّيثُ – ikan keli) dan al-Maramahi (المارماهي – belut).[2] Begitu juga al-Sarakhsi daripada kalangan ulama  Hanafiyyah turut menyebutkan bahawa semua jenis ikan adalah halal dimakan. Al-Jarith (الْجِرِّيثُ – ikan keli) dan al-Maramahi (المارماهي – belut) serta selainnya adalah sama sahaja (dari segi hukumnya). Manakala haiwan/hidupan air selain ikan adalah tidak halal untuk dimakan di sisi kami. (Lihat al-Mabsut, 11/248).

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi ada menjelaskan dengan terperinci berkenaan hal ini dalam kitabnya, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab bahawa menurut para ashab (ulama mazhab Syafi‘i) haiwan/hidupan air itu terbahagi kepada dua jenis.

Pertamanya, haiwan yang hidup di dalam air dan apabila ia keluar dari air hidupnya sama seperti haiwan yang disembelih seperti ikan  dan jenis-jenisnya, maka ia adalah halal untuk dimakan, dan tidak perlu kepada sembelihan (bagi menghalalkannya) tanpa sebarang khilaf. Bahkan, ia secara mutlak halal untuk dimakan, tidak kira ia mati dengan sebab yang nyata seperti tertimpa benda, hentakan batu, kurangnya air, dipukul pemburu atau sebab-sebab yang lain, atau mati dengan sendirinya sama ada ia timbul (terapung) di atas permukaan air ataupun tidak, semuanya adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf di sisi kami (ulama mazhab Syafi‘i).

Keduanya, hidupan air  yang tidak dalam bentuk kebiasaan ikan (sebagaimana yang biasa dikenali) maka terdapat tiga pendapat masyhur dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i mengenai kehalalannya sebagaimana disebutkan oleh pengarang dalam al-Tanbih, begitu juga al-Qadhi Abu al-Tayyib dan selainnya turut menyatakan bahawa terdapat tiga pendapat mengenainya. Pendapat pertama iaitu pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i ialah semuanya halal untuk dimakan. Ini adalah sebagai dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam al-Umm, Mukhtasar al-Muzani dan Ikhtilaf al-‘Iraqiyyin kerana sebetulnya perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Menurut Ibn ‘Abbas dan selainnya, “buruan laut” ialah apa yang kamu buru, manakala “makanannya” pula ialah apa yang dilemparkannya.

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Pendapat kedua, haram memakannya dan ini juga adalah mazhab Abu Hanifah. Manakala pendapat ketiga menyatakan, jika haiwan di daratan yang menjadi bandingannya dimakan dagingnya seperti lembu, kambing dan seumpamanya, maka ia juga turut halal dimakan. Jika haiwan di daratan yang menjadi bandingannya tidak dimakan dagingnya seperti babi air dan anjing laut, maka ia juga haram dimakan. Kemudian sekiranya haiwan itu tidak ada bandingannya di daratan, maka ia adalah halal mengikut apa yang kami telah sebutkan berdasarkan dalil yang paling sahih. Berdasarkan pendapat ketiga ini, tidak halal dimakan haiwan yang menyerupai keldai, meskipun terdapat di daratan, keldai liar yang boleh dimakan. Ini adalah sebagaimana dijelaskan oleh Ibn al-Sabbagh, al-Baghawi dan selain kedua-duanya. Seterusnya, Imam al-Nawawi menyimpulkan bahawa pendapat yang sahih lagi muktamad bahawa semua hidupan laut/air adalah halal bangkainya melainkan katak.

Tambahan pula, Imam al-Nawawi turut menyebutkan, ikan yang terapung adalah halal untuk dimakan. Iaitu ikan yang mati dengan sendirinya. Hal ini kerana menurut kami (mazhab Syafi‘i), setiap bangkai hidupan laut adalah halal untuk dimakan, kecuali katak. Tidak kira ia mati bersebab ataupun tidak (iaitu mati dengan sendirinya). Ini juga adalah pendapat Imam Malik, Ahmad, dan Abu Daud. Al-Khattabi turut menukilkannya daripada Abu Bakar al-Siddiq, Abu Ayyub al-Ansari, ‘Ata’ bin Abu Rabah, Makhul, al-Nakha‘i, dan Abu Thaur. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/31-33).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa blobfish atau ikan blob ini adalah halal dan diharuskan untuk dimakan selagi mana ia tidak memudaratkan pemakannya seperti mengandungi racun dan seumpamanya. Hal ini kerana ia termasuk dalam jenis haiwan air/laut dan dihukumkan sebagai halal dan begitu juga bangkainya berdasarkan kepada keumuman nas al-Quran dan juga al-Sunnah.

Apatah lagi, blobfish ini termasuk dalam jenis atau kategori ikan selagi pun sifat dan bentuknya sangat jelek, apabila ia ditangkap dan dibawa naik ke permukaan laut. Oleh itu, ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dimakan selagi mana tidak memudaratkan pemakannya. Selain itu, turut dinyatakan ia termasuk dalam jenis ikan yang boleh/selamat untuk dimakan, bahkan didedahkan bahawa ia merupakan ikan yang sedap menurut pakar ikan sekalipun ia diundi sebagai haiwan paling hodoh di dunia.[3]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.nationalgeographic.com/animals/fish/facts/blobfish. Diakses pada 2 Julai 2024.

[2] ‘Alauddin al-Haskafi mendefinisikan al-Jarith sebagai sejenis ikan berwarna hitam — iaitu merujuk kepada ikan keli. Manakala al-Maramahi sebagai sejenis ikan dalam bentuk ular — iaitu merujuk kepada belut. (Lihat al-Durr al-Mukhtar, hlm. 542).

[3] Lihat https://www.dailymail.co.uk/news/article-7501307/Sydney-Fish-expert-reveals-ugly-blobfish-edible-tasty.html. Diakses pada 2 Julai 2024.

Leave a Reply