Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Jika imam banyak salah dalam membaca surah ketika solat dan tiada makmum yang membetulkan adakah solat itu dikira sah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Antara sunnah yang dituntut di dalam solat adalah membaca surah selain surah al-Fatihah pada rakaat pertama dan rakaat kedua solat. Hal ini berdasarkan amalan Rasulullah SAW ketika baginda bersolat.

Berhubung dengan kesalahan bacaan Imam di dalam solat, kami bahagikan kepada beberapa perbahasan seperti yang tertera.

Kesalahan Bacaan Surah al-Fatihah Oleh Imam

Sekiranya kesalahan bacaan imam berlaku dalam bacaan Surah al-Fatihah dan kesalahan tersebut mengubah makna al-Fatihah, maka solat tersebut dikira tidak sah. Bacaan al-Fatihah merupakan salah satu rukun solat.

‘Ubadah bin al-Samit R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا صَلاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak ada solat (solat tidak sah) bagi orang yang tidak membaca Surah al-Fatihah di dalam solatnya tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (756) dan Muslim (394)

Imam Zainuddin al-Malibari berkata: “Jika seorang imam tersilap ketika membaca Surah al-Fatihah dengan kesilapan yang mengubah makna seperti menyebut أَنْعَمْتِ atau أَنْعَمْتُ maka terbatallah solatnya; jika dia merupakan seorang yang mampu belajar namun enggan belajar. Hal ini kerana, apa yang dibaca itu bukanlah ayat al-Qur’an.” (Lihat Fath al-Mu‘in bi Syarh Qurrah al-‘Ain fi Muhimmat al-Din, 2/53)

Kesalahan Bacaan Surah Selain al-Fatihah Oleh Imam

Sekiranya kesalahan bacaan imam berlaku pada bacaan surah selain surah al-Fatihah, maka terbahagi kepada dua keadaan:

  1. Jika imam tersebut salah kerana terlupa, atau jahil tentang haramnya kesalahan tersebut, atau tidak mampu memperbetulkan kesalahan tersebut walaupun telah berusaha keras mempelajarinya, maka solat tersebut masih sah sekalipun makmum tidak menegurnya.

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari berkata: “Jika seseorang tersilap di dalam membaca surah selain Surah al-Fatihah, seperti membaca:  َّأَنَّ اللهَ بَرِىءٌ مِّنَ الْمُشْرِكِينَ وَرَسُولِهِ dengan huruf Lam berbaris kasrah (bawah), kerana dia tidak mampu membetulkan bacaan meskipun setelah berusaha keras mempelajarinya, atau jahil tidak mengetahui larangan terhadap kesalahan tersebut, atau terlupa keadaan dirinya sedang bersolat, atau kerana keliru dalam menyebutnya, maka solatnya masih sah dan sah juga solat jemaah yang berimamkan dirinya. Hal ini kerana membaca surah bukanlah kewajiban, dan meninggalkannya adalah dibolehkan. Namun berimamkan dengan imam seperti ini hukumnya makruh.” (Lihat Fath al-Wahhab bi Syarh Minhaj al-Tullab, 1/73)

  1. Jika imam tersebut dalam keadaan mengetahui salah tersebut dan sengaja melakukan kesalahan itu, maka terbatallah solat tersebut dan solat makmum jika tidak makmum tidak meniatkan mufaraqah (berpisah daripada jemaah)

Imam al-Qalyubi berkata: “Begitu juga dengan bacaan selain surah al-Fatihah, jika imam sengaja melakukan kesalahan tersebut, dalam keadaan dia tahu bacaan itu salah; maka tetap batallah solatnya dan tidak boleh berimamkan dengannya. Hal ini kerana dia telah melafazkan sesuatu yang bukan ayat al-Qur’an (dengan wajah yang betul).” (Lihat Hasyiah al-Qalyubi wa ‘Umairah  ‘ala Syarh al-Mahalli, 1/265)

Kesimpulan

Kesimpulannya, makmum tidak wajib untuk menegur kesalahan imam selagi kesalahan itu berlaku pada surah selain surah al-Fatihah. Ia tidak membatalkan solat walaupun kesalahan itu terlalu banyak jika imam benar terlupa dan tidak sengaja, solat tersebut masih sah.

Namun, kami menasihatkan bahawa makruh melantik orang sebegitu yang tidak mahir bacaan dan hafazan al-Quran serta kerap terlupa sebagai imam. Kita hendaklah melantik orang yang paling mahir terhadap hukum-hakam solat dan yang paling arif membaca al-Quran sebagai imam.

Anjuran ini berdalilkan hadith ‘Abdullah bin  ‘Umar R.Anhuma yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَؤُمُّكُمْ أَقْرَؤُكُمْ لِكِتَابِ اللهِ

Maksudnya: “Yang berhak menjadi imam solat dalam kalangan kalian adalah yang paling mahir tentang Kitabullah (al-Qur’an).”

Riwayat Abu Daud (585)

Semoga Allah mengurniakan kita kefaqihan dalam beragama dan kekuatan untuk beramal soleh berpandukan Sunnah Rasulullah SAW. Kami akhiri dengan doa:

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ ٱجۡعَلۡنِی مُقِیمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّیَّتِیۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَاۤءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, jadikanlah aku seorang yang mendirikan ibadat solat, begitu juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah permohonan kami.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply