Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, adakah sah zakat harta kita bayar di Palestin atau Gaza sedangkan kita menetap & mencari rezeki di Malaysia? Adakah perbuatan tersebut afdal?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Pendapat muktamad mazhab al-Syafi‘i adalah tidak afdal bahkan tidak sah menyalurkan bayaran zakat ke tempat selain selain tempat seseorang bekerja dan mencari rezeki. Yang sah dan afdal adalah membayar zakat serta mengagihkan bantuan zakat kepada fakir, miskin serta lain-lain golongan asnaf di negeri tempat kita bekerja.

Namun, ada pendapat lain dalam mazhab yang membenarkannya, seperti pendapat mazhab Imam Abu Hanifah. Kita dibenarkan untuk beramal dengan pendapat tersebut bagi kapasiti peribadi kita.

Zakat merupakan kewajiban ke atas umat Islam. Zakat membawa keberkatan harta untuk membersihkan harta daripada kotoran noda maksiat. Allah SWT berfirman:

خُذۡ مِنۡ أَمۡوَ ٰ⁠لِهِمۡ صَدَقَةࣰ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّیهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَیۡهِمۡۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنࣱ لَّهُمۡۗ وَٱللَّهُ سَمِیعٌ عَلِیمٌ

Maksudnya: “Ambillah wahai Muhammad, daripada harta mereka yang mengaku berdosa lalu bertaubat itu, sebagai sedekah untuk membersihkan dosa mereka serta menyucikan jiwa mereka dan doakanlah kebaikan untuk mereka. Sesungguhnya doamu itu menenangkan hati mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah: 103)

Imam al-Baghawi berkata: “Allah SWT mengarahkan Nabi dan pemimpin umat Islam supaya mengambil bayaran zakat masyarakat umat Islam supaya boleh membersihkan diri mereka daripada dosa, dan menyucikan mereka daripada sifat-sifat orang munafik, agar diri mereka menggapai martabat keikhlasan yang tertinggi, serta memperbanyakkan keberkatan harta mereka.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 2/384)

Memindahkan Zakat Ke Luar Negara

Membayar zakat ke luar negara (naql al-zakah) atau memindahkan kutipan zakat ke luar negara merupakan perkara khilaf yang berlaku dalam kalangan ulama. Menurut muktamad mazhab al-Syafi‘i, naql al-zakah adalah dilarang. Zakat mestilah dibayar di negeri tempat kita bekerja (mencari rezeki) dan diagihkan kepada para asnaf di negeri tersebut.

Imam al-Nawawi berkata: “Berkenaan boleh atau tidak memindahkan kutipan zakat ke negara lain dalam keadaan masih wujud lagi asnaf yang berhak di negaranya ini merupakan suatu masalah khilaf (perbezaan pendapat dalam kalangan ulama). Pendirian mazhab kita yang diputuskan oleh sekalian ashab adalah diharamkan untuk memindahkannya ke negara lain, dan zakat yang dilaksanakan adalah tidak sah (belum terlaksana), sama ada pemindahan itu kepada negara yang telah melebihi jarak qasar atau kurang daripadanya. Inilah ringkasan pendapat yang difatwakan di sisi mazhab al-Syafi‘i. Ada dua pendapat dalam perkara ini, yang paling zahir adalah ia dilarang.” (Lihat Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, 2/332)

Para ulama mazhab al-Syafi‘i berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin  ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ

Maksudnya: “(Zakat itu) diambil daripada orang kaya dalam sesebuah kota, dan dikembalikan agihannya kepada orang-orang fakir dalam kalangan mereka (kota itu juga).”

Riwayat al-Bukhari (1496) dan Muslim (19)

Zakat hanya boleh dipindahkan ke luar tempat tersebut seandainya tidak wujud lagi golongan asnaf di tempat tersebut. Imam al-Nawawi berkata lagi: “Jika sudah tiada lagi seorang pun asnaf di sesuatu negeri tersebut, maka hendaklah dipindahkan kutipan itu ke negeri lain.” (Lihat Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, hal. 203)

Jika Sudah Tiada Asnaf di Negeri Kita

al-Khatib al-Syirbini berkata: “Sekiranya tiada lagi golongan asnaf yang berhak menerima zakat di sesebuah negara, dan ada lebihan kutipan zakat, maka hendaklah diagihkan kepada negeri atau wilayah berhampiran dengan negeri tersebut.” (Lihat Mughni al-Muhtaj ila Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, 4/191)

Syaratnya adalah jarak luar negara yang dibenarkan untuk diberikan zakat daripada sesebuah negara/negeri itu pula adalah sekitar 2 marhalah di sekeliling wilayah tersebut. Jika melebihi 2 marhalah, maka tidak dibolehkan.

Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Pendapat yang paling zahir dalam mazhab (al-Syafi‘i) adalah larangan untuk memindahkan zakat ke negara lain, inilah yang amat ditegaskan oleh Syeikh Abu Hamid al-Isfirayini sekalipun ada pendapat lain yang membenarkannya secara mutlak dan pendapat ini mendapat sokongan ramai ulama. Antara ashab yang membenarkannya adalah Syeikh Abu Syukail.

Namun, saya melihat Imam al-Zarkasyi menukilkan fatwa Syeikh Abu Ishaq al-Syirazi dan Imam Ibn al-Sabbagh mengatakan: hanya boleh memindahkan zakat ke negara luar sekitar jarak 2 marhalah sahaja, adapun lebih daripada itu maka tidak dibolehkan. Saya beranggapan inilah pendapat yang sederhana untuk difatwakan.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 7/172-173)

Pemimpin Berhak Memindahkan Zakat ke Luar Negara

Zakat yang dibayar secara sendiri kepada luar negara adalah dikira sebagai sedekah biasa, belum menggugurkan kewajiban fardu zakat ke atas diri seseorang itu.

Imam Ibn Raslan menyimpulkan:

وَالنَّقْلُ مِنْ مَوْضِعٍ رَبِّ الْمَلِكِ … فِي فِطْرَةٍ وَالْمَالُ فِيمَا زُكِي

لَا يَسْقُطُ الْفَرْضُ…

“Memindahkan bayaran zakat daripada tempat asal pemilik harta,

Pada bayaran zakat fitrah dan hartanya, belum menggugurkan kewajiban zakat itu.”

(Lihat Safwah al-Zubad, hal. 116)

Imam al-Ramli berkata: “Membayar zakat ke negara lain belum menggugurkan kewajiban zakat ke atas seseorang yang melaksanakannya, sama ada zakat fitrah mahupun zakat harta, kerana memindahkan zakat ke luar negara/negeri yang dihuni itu adalah haram berdasarkan sabdaan Nabi SAW kepada Mu‘az bin Jabal R.A, dan ia boleh mengecewakan para asnaf di negerinya itu kerana mereka mengharapkan bantuan zakat tersebut.  Larangan ini adalah kepada individu yang mengagihkan zakatnya sendiri, adapun jika seseorang membayar zakat kepada pemimpin, kemudian pemimpin menyalurkan zakat itu ke luar negara, maka zakatnya itu sah dan kewajibannya telah terangkat.” (Lihat Ghayah al-Bayan bi Syarh Zubad Ibn Raslan, hal. 151)

Menurut konteks di Malaysia, umumnya zakat dibayar kepada pemimpin (ulil amri) iaitu pihak berkuasa yang berautoriti di negeri kita bekerja dan mencari rezeki. Jika di Malaysia, zakat haruslah dibayar kepada pusat pungutan zakat yang diuruskan oleh pihak berkuasa negeri.

Hanya pemimpin yang berhak untuk memindahkan zakat ke kawasan lain, jika dia merasakan perlu untuk mengamalkan pendapat tersebut. Orang yang membayar zakat kepada pemimpin kemudian pemimpin memindahkan kutipan zakat itu ke luar negara, telah melaksanakan kewajiban zakat tersebut dan ia telah terangkat kewajiban tersebut daripada dirinya.

Imam ‘Abd al-Hamid al-Syarwani berkata: “Syeikh kami (Ibn Hajar al-Haitami) berkata: “Zakat itu dibayar kepada pemimpin, kerana pemimpinlah yang berhak mengagihkan zakat dan memindahkan zakat tersebut ke kawasan lain yang dia rasakan perlu.” (LIhat Hasyiah al-Syarwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj, 3/223)

Pendapat Ringan dalam Mazhab al-Syafi‘i

Ada juga pendapat yang lebih ringan di dalam kalangan ulama mazhab al-Syafi‘i. Imam  ‘Abdullah bin Muhammad ba Qasyir berkata: “Sebahagian ulama mazhab al-Syafi‘i menfatwakan boleh memindahkan zakat ke negeri/negara lain, namun ia bersifat makruh secara asalnya (jika dilakukan dalam keadaan mengabaikan asnaf di negeri sendiri). Ini merupakan pendapat Imam al-Ruyani, dan dinukilkan pendapat oleh Imam al-Khattabi daripada sekian ramai ulama.” (Lihat Qala’id al-Khara’id wa Fara’id al-Fawa’id, hal. 241-242)

Ini juga yang difatwakan oleh para fuqaha’ mazhab al-Syafi‘i di Yaman.

al-Qadhi  ‘Abdullah bin Muhammad bin ‘Abasin, qadhi di wilayah Syihr, Yaman ketika menfatwakan kebolehannya mengatakan: “Yang lebih tepat di sisi kami, boleh memindahkan bayaran zakat ke luar negeri/negara yang dirasakan memerlukan apabila memenuhi kelayakan asnaf. Manakala hadith yang digunakan untuk melarang, maksud sebenarnya adalah penegasan untuk menzahirkan bahawa harta zakat tersebut wajib diambil daripada ahli sesebuah tempat itu untuk diagihkan kepada orang-orang yang berhak, tanpa mengira tempat. Bahkan, penggunaan hadith itu sebagai dalil melarang juga dikritik oleh Imam al-Nawawi.”

Imam Ahmad bin Musa ibn ‘Ajil berkata: “Antara pendapat muktamad mazhab al-Syafi‘i yang tidak diikuti dalam lapangan fatwa kepada masyarakat adalah; isu larangan memindahkan zakat ke tempat lain, majoriti fuqaha’ kini menfatwakan sebaliknya dan mereka membolehkannya.” (Lihat Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi’in, hal. 182)

Kita boleh mengamalkan pendapat ringan ini atas kapasiti peribadi, Imam  ‘Abd al-Hamid al-Syirwani berkata: “Syeikh kami (Ibn Hajar al-Haitami) dan Imam al-Ramli berkata: “Dibolehkan bagi seseorang untuk beramal dengan pendapat yang membolehkan perpindahan kutipan harta zakat atas kapasiti peribadinya, demikian juga boleh untuk mengamalkan pendapat-pendapat lain (yang bukan muktamad) semisal ini dalam segenap isu hukum-hakam, jika ia merupakan pendapat ulama mazhab yang dipercayai ilmu mereka seperti al-Azra‘i, al-Subki, al-Isnawi dan lain-lain.” (Lihat Hasyiah al-Syarwani ‘ala al-Tuhfah, 7/172)

Kesimpulan dan Cadangan

Kesimpulannya, kami nyatakan di sini bahawa menurut muktamad mazhab al-Syafi‘i, membayar zakat ke luar negara adalah tidak afdal dan tidak sah bagi hak individu, dia mestilah membayar zakat semula kepada fakir miskin di wilayah/negeri/negara dia bekerja.

Namun, ada pendapat lain dalam mazhab yang membenarkannya iaitu pendapat Imam al-Ruyani, al-Khattabi, Ibn al-Solah dan lain-lain, mereka menyetujui pendapat mazhab Imam Abu Hanifah. Kita dibenarkan untuk beramal dengan pendapat tersebut bagi kapasiti peribadi kita. Diriwayatkan bahawa Mu‘az bin Jabal R.A pernah menghantar bantuan zakat dari Yaman ke kota Madinah untuk membantu Madinah yang ditimpa kemarau ketika itu kerana keperluan asnaf telah mencukupi dalam kalangan penduduk Yaman. ‘Umar bin al-Khattab R.A menerima zakat tersebut.

Kami menukilkan pendapat Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang menyatakan: “Menyalurkan zakat ke tempat lain tidak boleh dibuat secara suka-suka, melainkan kerana ada tiga alasan:

  • Penduduk asal negeri sudah berkecukupan;
  • Berlakunya keperluan yang mendesak di tempat luar tersebut;
  • Ia diaturkan oleh pemerintah demi maslahat rakyat.” (Lihat Fiqh al-Zakah, hal. 802).

Selain itu, bagi menjayakan hasrat melaksanakan zakat di negeri sendiri dan turut membantu negara luar/tempat lain, kami mencadangkan agar membayar zakat di amil negeri masing-masing dalam masa yang sama juga menjalankan akad Wakalah Zakat.

Pihak Pusat Pungutan Zakat di bawah seliaan ulil amri di negeri-negeri juga ada melaksanakan skim Wakalah Zakat. Wakalah ini adalah dasar pengembalian wang zakat oleh Majlis Agama Islam negeri kepada entiti yang membayar zakat di Pusat Pungutan Zakat negeri untuk diagihkan kepada asnaf yang layak.

Bagi Pusat Pungutan Zakat MAIWP misalnya, sekiranya seorang individu membayar semua jenis Zakat Harta kepada Pusat Pungutan Zakat-MAIWP, maka dia akan mendapat pulangan bayaran zakat:

  • Had minimum 5% sekiranya membuat bayaran zakat RM20,000
  • Had maksimum 50% sekiranya membuat bayaran zakat RM1,000,000 ke atas.

Apabila pembayar zakat mendapat semula pulangan bayaran zakat tersebut berdasarkan bahagian yang telah ditetapkan oleh Pusat Pungutan Zakat negeri masing-masing, dia boleh menyalurkan bantuan zakat tersebut ke mana-mana tempat yang dirasakan layak dan berhak di dalam atau luar negara seperti negara-negara umat Islam lain yang berkonflik.

Dengan itu, kita boleh menggabungkan antara dua kebaikan; membayar zakat di tempat sendiri dan menyalurkan bantuan zakat kepada saudara-saudara yang kurang bernasib baik di luar negara. Dalam isu Palestin, terutamanya apa yang berlaku di Ghaza, Rafah mutakhir ini, kami berpendapat, tidak menjadi masalah untuk mengeluarkan zakat kepada mereka kerana mereka bertarung dengan nyawa dalam menyambung kehidupan untuk makan, minum dan ubat-ubatan.

Kami akhiri dengan doa kepada semua dermawan yang bersedekah, berinfak dan berwakaf:

آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أعْطَيْتَ، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُوراً، وَبَارَكَ لَكَ فِيمَا أَبْقَيْتَ

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas pemberian yang kamu berikan, dan menjadikannya sebagai pembersih dosa-dosa kamu, dan memberkati saki-baki hartamu.

Wallahu a’lam.

Leave a Reply