Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Saya sering terbatuk ketika solat dan kadang² batuk saya berkahak. Namun saya terpaksa menelannya ketika sedang solat apakah hukumnya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Antara perkara yang membatalkan solat adalah makan dan minum dengan sengaja, iaitu memasukkan sesuatu ke dalam rongga mulut sama ada sedikit atau banyak, batal solatnya. Perkara ini merupakan ijma‘ para ulama seperti yang dinukilkan oleh Imam Ibn al-Munzir dalam kalangan ulama mazhab al-Syafi‘i. (Lihat al-Ijma‘, hal. 39)

Hukum Telan Kahak: Persamaan Puasa dan Solat

Menelan kahak adalah termasuk dalam perbuatan ini. Hukum telan kahak ketika solat adalah sama dengan hukum telan kahak ketika berpuasa. Ini merupakan persamaan antara hukum solat dengan hukum puasa.

Imam al-Baghawi mengatakan: “Hukum menelan kahak yang turun dari otak ketika solat adalah sama sahaja dengan hukum menelan kahak ketika berpuasa.” (Lihat al-Tahzib fi Fiqh al-Syafi‘i, 2/163)

Hukumnya berdasarkan keadaannya menurut pendapat muktamad mazhab al-Syafi‘i adalah seperti berikut:

  1. Apabila kahak sudah sampai kepada bahagian had zahir mulut kemudian dia masih menelan lagi kahak tersebut; maka solatnya terbatal.

Bahagian zahir mulut adalah makhraj huruf Kha’ (خ) iaitu bahagian puncak tekak (tekak yang paling dekat dengan lidah) dan ada pendapat lain juga menyatakan makhraj huruf Ha’ (ح) iaitu pertengahan tekak/halkum.

Hal ini dinyatakan al-Khatib al-Syirbini apabila beliau berkata:

“Sekiranya turun kahak daripada otak dan sampai kepada had zahir daripada mulut iaitu pada makhraj huruf Kha’ () begitu juga dengan makhraj Ha’ () berdasarkan pendapat yang kuat juga, maka jangan dibiarkan kahak itu berjalan pada rongga mulut dan hendaklah mengeluarkannya jika dia mampu. Dan sekiranya dia tidak mengeluarkan kahak itu sedangkan dia mampu untuk mengeluarkannya dan sampai pula kahak tersebut ke bahagian dalam maka puasanya adalah batal.” (Lihat al-Iqna‘ fi halli Alfaz Abi Syuja‘, 1/337)

Begitulah juga hukumnya dengan menelan kahak ketika solat, apabila kahak telah sampai kepada makhraj Kha’ atau makhraj Ha’, jika seseorang itu masih menelan kahak tersebut; maka batallah solatnya sama seperti batal puasa seperti yang dinaskan oleh Imam al-Baghawi di atas.

  1. Sekiranya kahak masih berada bahagian had batin mulut, maka tidak batal solatnya.

Had batin mulut adalah di bawah daripada makhraj Ha’ (ح), iaitu bahagian tengah halkum ke bawah menuju ke perut. Jika kahak berada pada kawasan ini, seperti menelan kahak yang berada di pertengahan halkum hingga turun ke perut, maka tidak batal solatnya.

Imam al-Nawawi menyatakan: “Sekiranya kahak tidak sampai ke had zahir daripada mulut maka ia tidak memudaratkan (tidak membatalkan).” (Lihat Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, 2/360)

  1. Jika kahak itu turun dengan sendirinya, apabila dikemam begitu lama dan menjadi terpecah dengan sendirinya bersama air liur.

Imam al-Isnawi berkata: “Terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama tentang keadaan ini, pendapat yang paling menepati fatwa-fatwa para Imam (al-Syafi‘iyyah) adalah ia membatalkan.” (Lihat al-Muhimmat fi Syarh al-Raudhah wa al-Rafi‘i, 4/72)

Kesimpulan

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan di atas, jelaslah bahawa jika kahak telah sampai ke pangkal lidah dan puncak tekak iaitu pada makhraj Kha’ (خ), maka tidak boleh menelannya ketika solat. Jika telan juga, maka solat tersebut batal. Apatah lagi jika kahak telah sampai ke lidah.

Kami mencadangkan agar tuan membawa tisu atau sapu tangan di dalam poket, untuk meludahkan kahak sekiranya diuji dengan kerap batuk dan banyak mengeluarkan kahak. Janganlah meludah ke arah kiblat atau ke arah kanan Perkara ini selaras dengan sabdaan Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى نُخَامَةً فِي الْقِبْلَةِ، فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِ حَتَّى رُئِيَ فِي وَجْهِهِ، فَقَامَ فَحَكَّهُ بِيَدِهِ فَقَالَ ‏”‏ إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَامَ فِي صَلاَتِهِ، فَإِنَّهُ يُنَاجِي رَبَّهُ ـ أَوْ إِنَّ رَبَّهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ ـ فَلاَ يَبْزُقَنَّ أَحَدُكُمْ قِبَلَ قِبْلَتِهِ، وَلَكِنْ عَنْ يَسَارِهِ، أَوْ تَحْتَ قَدَمَيْهِ ‏”‏‏.‏ ثُمَّ أَخَذَ طَرَفَ رِدَائِهِ فَبَصَقَ فِيهِ، ثُمَّ رَدَّ بَعْضَهُ عَلَى بَعْضٍ، فَقَالَ ‏”‏ أَوْ يَفْعَلْ هَكَذَا

Maksudnya: “Bahawasanya Nabi SAW terlihat kahak di (dinding) kiblat, dan Nabi tidak menyukai akan hal itu sehingga terpapar (kemarahan) pada wajahnya. Lalu Baginda SAW pun bangun dan membuang (kahak) dengan tangannya. Lalu Baginda bersabda “Apabila seseorang daripada kamu mendirikan solat, sesungguhnya dia sedang bermunajat kepada tuhan-Nya, atau Tuhan-Nya berada di antara dirinya dan qiblat, maka tidak patut seorang pun meludah ke arah kiblat, tetapi (ludahlah) disebelah kirinya atau di bawah kakinya”. Kemudian Baginda SAW mengambil hujung selendangnya, dan meludah kemudian melipat bahagian itu kemudian bersabda “Atau hendaklah orang itu melakukan seperti ini.”

Riwayat al-Bukhari (405)

Semoga Allah mengurniakan kita kefaqihan dalam beragama dan kekuatan untuk melaksanakan amal soleh dengan cara yang diredhai oleh-Nya. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَاۤ إِن نَّسِینَاۤ أَوۡ أَخۡطَأۡنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَیۡنَاۤ إِصۡرࣰا كَمَا حَمَلۡتَهُۥ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَاۤۚ أَنتَ مَوۡلَىٰنَا فَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَـٰفِرِینَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau hukum pada apa yang kami lupa atau tersilap. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau beratkan kami dengan kesusahan yang ditanggung oleh orang-orang sebelum kami. Wahai Tuhan kami, janganlah engkau bebankan kami dengan beban yang tidak mampu kami pikul. Maafkan kami, ampunkanlah kami dan rahmatilah kami dengan kasih-sayang-Mu. Engkaulah pelindung kami maka menangkanlah kami mengatasi orang-orang kafir.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply