Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan maksudnya dan syarahnya, serta kedudukan hadith tersebut?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
تَجِدُ مِنْ شَرِّ النَّاسِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عِنْدَ اللَّهِ ذَا الْوَجْهَيْنِ، الَّذِي يَأْتِي هَؤُلاَءِ بِوَجْهٍ وَهَؤُلاَءِ بِوَجْهٍ
Maksudnya: “Kamu akan dapati antara golongan manusia yang amat jahat pada hari kiamat kelak ialah orang yang bermuka dua; iaitu dia datang ke suatu golongan dengan wajah tertentu dan datang ke golongan lain dengan wajah yang lain pula.”
Riwayat al-Bukhari (6058)
Golongan yang berjaya itu masing-masing menerima diri mereka sendiri. Kata-kata dan perbuatan mereka selari, antara keadaan sembunyi mahupun terang-terangan. Zahir mereka sama seperti batin mereka, dan sebaliknya. Mereka hanya memiliki satu watak yang masyarakat mengenali mereka dengannya. Pendirian mereka juga tetap dan prinsip mereka pula teguh.
Adapun orang yang gagal menyangka bahawa kejayaan akan tercapai dengan bermuka-muka serta menggadaikan prinsip menurut hawa nafsunya. Oleh yang demikian, dia ialah antara golongan manusia yang amat jahat kerana ketiadaan jiwa yang tenang dalam dirinya. Keamanan diri pula ditimpa nilai moral yang tidak konsisten, bermuka-muka berdasarkan maslahatnya.
Dia menipu dirinya sendiri sebelum dia menipu daya sesebuah kaum atau kaum yang lain. Peribadinya ini dipanggil sebagai syakhsiyyah mahzuzah (lemah keazaman) syakhsiyyah zi’baqiyyah (sering mengelak-elak) atau syakhşiyyah intihaziyyah (merebut peluang dan mengeksploitasi). Dia cuba untuk menutup kelemahannya dengan percubaan memuaskan hati semua pihak.
Kadangkala, dia memiliki kesemua sifat peribadi ini. Lantaran itu, Nabi SAW menyifatkannya dengan zu al-wajhayn dan menggolongkannya dalam kalangan manusia paling jahat di sisi Allah SWT pada hari kiamat kelak.
Peribadi-peribadi ini ada beberapa bentuk seperti berikut:
- Syakhsiyyah Intihaziyyah. Sebahagian orang menamakannya dengan syakhsiyyah zi’baqiyyah iaitu peribadi yang bermuka-muka menurut keadaan supaya dia dapat mengambil peluang-peluang tertentu untuk kemaslahatan dirinya. Empunya peribadi ini memiliki dua wajah menurut hawa nafsunya. Tiada baginya prinsip mahupun pendirian. Kadangkala dia berpindah dari kiri ke kanan bukan disebabkan keyakinan dirinya, namun menurut keuntungannya.
- Syakhsiyyah Mahzuzah. Orang ini akan berubah mengikut sekelilingnya. Jika dia dikelilingi oleh orang-orang baik, dia akan memainkan muka baik. Jika dia bersama orang-orang yang rosak, dia turut akan rosak. Dia tidak mempunyai pegangan, hanya terpengaruh dengan orang sekelilingnya sahaja tanpa dia mempengaruhi mereka. Dia tidak suka membuatkan orang lain memarahinya.
Sebaliknya, tujuannya hanyalah keredaan orang lain. Dalam menjelaskan sifat peribadi ini, Syeikh ‘Abdul Karim al-Khudair berkata:
“Kamu akan mendapati apabila dia bersama golongan yang baik, dialah sebaik-baik manusia. Ketika dia bersama golongan yang jahat, dialah sejahat-jahat manusia. Saat dia bersama orang-orang biasa, dia juga akan jadi seperti mereka. Kesemua ini dilakukan agar dia dapat hidup dengan semua golongan manusia dan seluruh lapisan masyarakat.
Bagi seorang Muslim pula, hendaklah dia menjadi seorang yang lurus di atas jalan yang lurus pada zahir dan batin. Dia menyukai siapa yang dia suka, dan memarahi siapa yang dia marah kepadanya. Kamu akan mendapati sebahagian manusia apabila dia duduk di sesebuah perhimpunan dia akan lebih menonjol berbanding orang awam, dan dia adalah seorang penuntut ilmu pada asalnya, di mana dia diberikan tempat pada perhimpunan-perhimpunan mereka.”
Apabila dia duduk bersama para ‘abid dan zahid, kamu akan melihatnya menundukkan kepala seakan-akan dialah orang yang paling zuhud. Apabila dia duduk bersama orang-orang yang jahat, dia akan sampaikan kepada mereka berita-berita dan menarik mereka untuk berbicara. Dia, dhu al-wajhayn yang datang ke suatu golongan dengan wajah tertentu dan datang ke golongan lain dengan wajah yang lain pula ini, akan menonjol dalam kalangan mereka.
iii. Syakhsiyyah Mufsidah. Orang ini pergi ke sesebuah kaum untuk berpura-pura setia kepada mereka. Kemudian, dia pergi kepada kaum lain dengan tujuan yang sama. Selepas itu, dia akan menyampai-nyampaikan berita antara kedua-dua pihak atas tujuan merosakkan mereka. Inilah pandangan sebilangan pensyarah hadis ini.
Apa pun, orang ini memiliki peribadi lemah yang memainkan peranan-peranan sedemikian bagi menyembunyikan kelemahannya dan kekurangannya. Punca utamanya adalah dia tidak berdamai dengan dirinya sendiri.
Sebahagian orang menyangka bahawa menerima diri sendiri bermaksud tidak peduli dengan terang-terangan melakukan maksiat lalu dia pun mengumumkan perbuatannya itu di hadapan orang ramai melalui alat komunikasi sosial dengan alasan dia menerima dirinya sendiri.
Lantaran itu, dia tidak mahu menunjukkan kepada sebahagian orang dengan sebuah perwatakan dan menyembunyikan sisinya yang lain. Ini bukanlah menerima diri sendiri sama sekali.
Seorang Muslim dituntut ke atasnya agar menutup keaiban dirinya dan tidak menyebarkan kekejian dalam masyarakat, serta menentang nafsunya dengan meninggalkan maksiat. Dalam perjuangannya menentang nafsu ini, dia diberi ganjaran pahala kerana dia risau akan maksiat yang dilakukan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW:
كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ ”.
Maksudnya: “Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-Mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian, dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: “Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini”. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan daripada dirinya.
Riwayat al-Bukhari (6069)
Inilah sepertimana dijelaskan dalam 40 Hadis Aspirasi Kejayaan Rasulullah oleh Profesor Dr. Ali Ibrahim Sa’ud al-’Ajeen, hlm. 248-255)
Semoga kita menjadi hamba Allah SWT yang soleh, lagi bertakwa serta berprinsip. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”