Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah kita memanggil atau menggelarkan mereka yang bersungguh mendirikan pendidikan dan tarbiah dianggap sebagai jihad?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: “Oeh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Surah al-Taubah (122)

Ibn al-Arabi berkata: Makna umum ayat ini, yakni kepada hak sesiapa yang datang selepas wafat Nabi SAW, ialah bahawa bukan umat islam perlu keluar berjihad kesemuanya tetapi hendaklah sebahagian mereka bertafaqquh (mendalami ilmu) dalam agama. Kemudian mereka pulang kepada kaumnya untuk ajar mereka. Justeru menuntut ilmu diasingkan daripada jihad fi sabilillah sedangkan jihad merupakan jalan kemuncak islam itu sendiri. (Lihat Ahkam al-Quran, 2/601)

Jelas menunjukkan gandingan mempelajari ilmu bersama dengan berjihad fi sabilillah, maka layaklah ia juga dipanggil sebagai jihad. Jihad pendidikan tarbiah yang diselia oleh Rasulullah SAW sendiri untuk menanamkan keislaman yang hakiki secara halus pada hati kumpulan generasi awal merupakan salah satu jenis jihad yang teragung. Al-Quran al-Karim telah mengisyaratkan peranan agung yang dijalankan oleh Rasulullah SAW ini melalui firman Allah SWT:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ

Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia…”

(Surah Ali Imran: 110)

Umat ini tidak akan muncul dengan kekuatan yang telah dijatuhkan oleh empayar-empayar lain secara tiba-tiba tanpa sebarang pembentukan dan persiapan, tetapi mereka betul-betul dikeluarkan iaitu dikeluarkan usaha yang besar dalam mempersiapkan mereka oleh Rasulullah SAW serta cakna (‘inayah) Allah SWT sehingga dipersiapkan dengan persiapan ini, dan dikeluarkan dengan bentuk yang ini.

Rasulullah SAW telah mendidik mereka seorang demi seorang. Rasulullah SAW mendidik mereka dengan perkataan, perbuatan, pengamalan dan teladan yang baik mengenai keimanan yang jitu seperti gunung yang megah, supaya mereka benar-benar masuk Islam dan meninggalkan segala perkara yang pernah mereka lakukan pada zaman jahiliyah sehingga hati-hati mereka menjadi lapang daripada segala bentuk syubhah atau keraguan, kemudian diisi dengan pegangan akidah yang benar, akhlak yang luhur dan prinsip-prinsip Islam. Lalu, mengembalikan fitrah yang sejahtera kepada mereka, kemudian mendidik akal, perasaan, tatasusila dan pemikiran mereka.

Rasulullah SAW tidak hanya mencukupkannya pada perkara-perkara yang umum tetapi Baginda juga menanamkan pada perkara-perkara tambahan (fada’il). Baginda mengikuti perkembangan mereka sebagaimana layaknya seorang petani mengambil berat terhadap tanamannya; firman Allah SWT:

كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ

Maksudnya: Seperti pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga la menjadi kuat, lalu la tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Dia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu).

(Surah al-Fath: 29)

Inilah sepertimana dalam Kerahmatan Islam dan Fenomena Terrorisme oleh Prof. Dr. Ali Muhyiddin al-Qarahdaghi, (hlm. 289-290)

Marilah sama-sama kita martabatkan pendidikan Islam dan juga ilmu agar Islam terkehadapan dalam memimpin dunia mengikut acuan neraca Syariah. Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

Leave a Reply