Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat hadith bahawa Nabi dibangkitkan dengan pedang untuk memerangi musuh-musuh Islam hingga akhirnya mereka diibadatkan kepada Allah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ

Maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam).”

(Surah al-Baqarah: 256)

Al-Tabari dalam tafsir ayat ini menyebut: “Sebahagian ulama menyatakan sebab turun ayat ini ialah seorang lelaki Ansar yang memiliki anak-anak yang sudah dewasa yang beragama Kristian (atau Yahudi). Apabila dia memeluk Islam maka dia ingin memaksa anak-anak itu masuk Islam lalu Allah melarangnya agar anak-anak itu memilih sendiri untuk memeluk agama Islam.” Menurut al-Tabari, inilah tafsiran yang benar. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 5/414).

Menjawab persoalan di atas, kami katakan hadith tersebut seperti berikut: Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بُعِثْتُ بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ بِالسَّيْفِ حَتَّى يُعْبَدَ اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ

Maksudnya: “Aku diutus dengan pedang menjelang hari Kiamat hingga hanya Allah yang disembah dan tiada sekutu bagi-Nya.”

Riwayat Ahmad (5667). Isnadnya dha’if sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam takhrij al-Musnad. Hadis ini bertaraf daif menurut pandangan para muhaqqiq. Oleh sebab itu, al-Bukhari tidak pernah meriwayatkannya melainkan dengan sighah tadh’if sebelum hadis no. 2914 dalam kitabnya. Demikian juga ia tidak diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya.

Syeikh al-Qaradhawi berkata, “Sekiranya kita saling menguatkan hadis ini dengan tidak melihat sanad hadis dan perbahasan ulama pada sanad hadis, dan kemudian hanya meneliti matan dan maksudnya, kita akan dapati hadis ini mungkar kerana ia tidak menepati apa yang disebutkan oleh al-Quran khususnya risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Ini kerana, al-Quran tidak pernah menyebutkan sama sekali dalam mana-mana ayatnya bahawa Muhammad itu diutuskan oleh Allah SWT dengan pedang. Sebaliknya, al-Quran mengatakan berkali-kali bahawa Allah mengutuskan Baginda dengan petunjuk dan agama yang benar, dengan rahmat, syifa dan nasihat teladan buat seluruh manusia. (Lihat Fiqh al-Jihad, 1/325)

Hakikatnya, ayat-ayat perang, ketegasan dan kekerasan itu perlu difahami tafsirannya melalui konteks situasi peperangan. Manakala, ayat-ayat tentang kebebasan, berlapang dada, kemaafan dan kerahmatan pula hendaklah difahami tafsirannya secara umum tanpa terikat dengan sebarang konteks. Hal ini kerana, umat ini dipertanggungjawabkan berdakwah kepada Allah SWT dengan berhikmah, nasihat teladan yang baik dan berbahas dengan cara terbaik, iaitu umat yang dilahirkan untuk mengajak setiap insan kepada petunjuk dan seruan mereka. (Lihat Kerahmatan Islam dan Fenomena Terrorisme oleh Prof. Dr. Ali Muhyiddin al-Qarahdaghi, hlm. 324)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Leave a Reply