#6220:  Sejarah Pembinaan Kaabah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan berkenaan sejarah pembinaan Kaabah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.”

(Surah Ali Imran: 96)

Allah SWT mengkhabarkan mengenai keagungan Baitullah al-Haram yang merupakan rumah ibadat pertama yang dibina untuk beribadah kepada-Nya di atas muka bumi yang terletak di Makkah, padanya terdapat keberkatan dan petunjuk (hidayah) bagi seluruh manusia. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, 213-214)

Firman Allah SWT:

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ‎

Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;

(Surah al-Baqarah: 127)

Sejak zaman Nabi Ibrahim hingga ke zaman Qusai keadaan Masjidil Haram hanyalah kawasan lapang sekitar Ka’bah, tidak ada bangunan, ianya dilingkungi oleh rumah orang Quraisy. (Lihat Tarikh ‘Imarah al-Masjid al-Haram, hlm. 5)

Lebih kurang dua ratus tahun sebelum hijrah, Makkah telah menjadi sebuah bandar. Sebelum itu tiada binaan di kawasan sekitar Ka’bah. Penduduk Makkah tinggal di sekitar lurah Bukit Merah (sekitar kawasan Mudda‘a dan Al-Ma’lah) dan Jabal Abu Qubais yang menghadap ke arah lembah itu.

Apabila Qusai bin Kilab memegang pemerintahan Makkah, beliau telah menerajui binaan bandar Makkah dan reka bentuknya. Semua rumah telah dibina mengelilingi Ka’bah dengan satu kawasan persegi dikosongkan sekitarnya. Dengan permulaan yang ringkas ini, Makkah telah berkembang menjadi Bandar Suci bagi seluruh dunia Islam. (Lihat Masyru’ al-Malik Abd al-’Aziz li Tausi’ah al-Masjid al-Haram, hlm. 23)

Kiswah ialah kain hitam atau kelambu yang menutupi empat dinding Ka’bah. Telah diriwayatkan bahawa orang yang pertama membuat kiswah ialah Nabi Ismail Ada yang mengatakan bahawa Tubba’ Al-Himyari, iaitu raja Yaman yang bernama As‘ad pada seribu tahun sebelum kebangkitan Nabi Muhammad SAW menjadi rasul. Kemudian amalan menutup Ka’bah dengan kiswah berterusan hingga sampai kepada zaman Islam, ketika zaman Rasulullah SAW serta khalifah selepasnya dan sampai kepada zaman kita pada masa ini. (Lihat Tarikh al-Ka’bah, hlm. 244; Fath al-Bari, 3/536; Makkah al-Mukarramah: Sejarah, hlm.90 dan 123)

Mengikut riwayat al-Azraqi di dalam Kitab Makkah, daripada Mujahid, katanya: Sesungguhnya Allah SWT menciptakan tempat ini sebagai rumah-Nya (al-Bayt) dan sebelum menciptakan sesuatu di bumi sejarak dua ribu tahun. Dan segala asasnya tertanam pada bumi yang ketujuh.

Daripada Mujahid juga:  Sesungguhnya  rumah ini (al-Bait) adalah salah satu daripada empat belas rumah. Setiap langit, mempunyai sebuah rumah (al-Bait) dan setiap bumi mempunyai sebuah rumah yang berbetulan kedudukan antara satu sama lain.

Al-Azraqi juga meriwayatkan daripada Ali bin al-Husin bin Ali bin Abu Talib R.Anhum, katanya: Sesungguhnya Allah SWT mengutuskan para Malaikat sambil berfirman: “Binakan untukku di bumi sebuah rumah yang berbetulan dengan Baitul Ma’mur dan begitu juga daripada segi kadar keluasannya.” Allah SWT memerintahkan sesiapa di bumi dalam kalangan makhluk-Nya supaya melakukan tawaf dengannya sebagaimana ahli langit melakukan tawaf di Baitul Ma’mur, katanya: Ini adalah sebelum diciptakan Adam AS.

Ibn Abbas R.Anhuma berkata: Ia merupakan tempat ibadat yang pertama dibina oleh Nabi Adam AS di muka bumi.

Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib RA, bahawa makna rumah yang pertama dibina dikatakan dengan tujuan untuk beribadat atau mencari keberkatan. Pendapat ini diucapkan daripada al-Hasan dan Qatadah. Sesungguhnya sebelum ini terdapat banyak rumah yang dibina, tetapi ia merupakan rumah pertama yang ditentukan untuk beribadat.

Menurut Ketua Hakim Negara al-Mawardi, katanya: Ulama telah bersepakat bahawa Kaabah itu merupakan rumah yang pertama untuk ibadat. Tetapi mereka berbeza pendapat berkenaan adakah ia merupakan rumah yang pertama didirikan kerana lainnya? Aku berkata: Pendapat yang sahih ialah yang pertama: Iaitu pendapat jumhur, bahawa ia adalah rumah yang pertama didirikan secara mutlak. Wallahu a’lam.

Makna bagi firman Allah SWT ini mengandungi banyak kebaikan, dinasabkan keberkatan sebagai hal (حال). Al-Zajjaj dan selainnya berkata: Makna kekal dan stabil di Makkah dalam hal keberkatan dan ia merupakan hal (حال) daripada keberkatan, iaitu ditentukan dalam keadaan berkat. Firman-Nya:

فِيهِ ءَايَـٰتٌۢ بَيِّنَـٰتٌ مَّقَامُ إِبْرَٰهِيمَ

Maksudnya: Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata.

(Surah Ali ‘Imran: 97)

Pendapat yang terpilih bahawa ia adalah manasik haji, aman daripada ketakutan, Hilangnya batu-batu jamrah dengan sebab banyak lontaran dan lontaran secara berulang-ulang sepanjang zaman dan tahun. Begitu juga ditegah burung daripada melintas atasnya (Kaabah),  sembuh daripada penyakit yang dideritainya, hukuman dan balasan disegerakan kepada sesiapa yang melanggar kehormatannya, hancurnya tentera bergajah apabila mereka hendak menghancurkan kaabah dan selain daripada itu.

Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-’Umrah (hlm. 424-430) menyatakan: Ketahuilah bahawa Kaabah yang dibina ini, – semoga Allah SWT menambahkan kemuliaan –  dengan penambahan sebanyak lima kali:

  1. Binaan Malaikat atau Adam AS sebagaimana yang telah dibincangkan hal perbezaan pendapat berkenaan ini sebelum ini
  2. Binaan Nabi Ibrahim AS.
  3. Binaan Quraisy pada zaman jahiliyah, Rasulullah SAW telah hadir dalam proses pembinaan ini dan memindahkan bersama mereka hajarul aswad seperti yang thabit dalam hadith sahih.
  4. Binaan Ibn al-Zubair.
  5. Binaan Hajjaj bin Yusuf.

Binaan Hajjaj bin Yusuf ini merupakan binaan yang ada pada hari ini. Begitulah Kaabah pada zaman Rasulullah SAW. Ada pendapat mengatakan bahawa kaabah dibina sebanyak dua kali lagi selain lima kali.

  • Dibina oleh Amaliqah selepas Nabi Ibrahim AS.
  • Binaan Qabilah Jurhum selepas Amaliqah kemudian oleh Quraisy. Wallahu a’lam.

Ulama’ berkata: Penguasaan Kaabah selepas Nabi Ibrahim AS di bawah pengurusan Amaliqah dan qabilah Jurhum sehingga mereka pupus dan digantikan mereka dengan kaum Quraisy selepas mereka menguasai Tanah Haram. Ini disebabkan kerana jumlah mereka yang ramai, sedangkan jumlah mereka pada sebelum itu adalah sedikit, dan kaum Quraisy menjadi izzah dan mulia selepas mereka melalui fasa kehinaan.

Orang yang membantu memperbaharui binaan Kaabah selepas Nabi Ibrahim ialah Qusay bin Kilab dengan menggunakan kayu, daun dan pelepah tamar. Kemudian Quraisy membinanya semula dan Rasulullah SAW pada ketika itu berusia 25 tahun. Ada pendapat mengatakan 35 tahun. Abu Huzaifah bin al-Mughirah berkata: “Wahai kaum! Angkatkan pintu Kaabah hingga ia tidak dapat dimasuki kecuali dengan tangga, pada saat itu tidak akan  ada seorang yang dapat masuk ke dalamnya kecuali orang yang kamu mahu. Jika datang seseorang yang kamu benci, kamu lemparkannya dan dia akan jatuh sebagai kehinaan dan balasan bagi yang melihatnya.” Lantas orang-orang Quraisy melakukan apa yang dikehendakinya.

Disebabkan binaan Kaabah sebegitu, maka ia diruntuhkan kerana ketika itu tingginya hanya setinggi orang yang berdiri dan mereka mahu meninggikannya lagi. Penyebab lain yang menyebabkan kaabah runtuh adalah kerana seorang perempuan datang dengan membawa nyalaan bara api untuk membakar Kaabah, kemudian dia jatuhkan api tersebut dan tersangkut pada kelambu Kaabah yang menyebabkan terbakarnya Kaabah tersebut.

Pintu Kaabah pada asalnya berada di atas tanah pada zaman Nabi Ibrahim AS, pada zaman Jurhum dan selepas itu sehinggalah ia dibina semula oleh Quraisy lalu diangkat pintunya, dijadikan atap yang pada asalnya masih belum mempunyai atap. Ditambah ketinggiannya 18 hasta, mereka berebut untuk meletakkan Hajar al-Aswad di tempatnya di rukun Hajar al-Aswad. Kemudian mereka redha dan bersetuju supaya Nabi SAW yang meletakkannya.

Thabit dalam hadith sahih, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, sabda Rasulullah SAW:

نَزَلَ الْحَجَرُ الأَسْوَدُ مِنَ الْجَنَّةِ وَهُوَ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ اللَّبَنِ فَسَوَّدَتْهُ خَطايا بَنِي آدم

Maksudnya: “Hajar al-Aswad dikeluarkan daripada syurga dalam keaadaan yang amat putih bersih umpama susu, kemudiannya ia bertukar menjadi gelap kehitaman angkara dosa Bani Adam.”

Riwayat al-Tirmizi (877). Al-Tirmizi berkata: hadith ini hasan sahih.

Ketika pembinaan Abdullah bin al-Zubair, diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda kepadanya:

لَوْلَا أَنَّ قَوْمَكِ حَدِيثُو عَهْدٍ بِجَاهِلِيَّةٍ لأَنْفَقْتُ كَنْزَ الْكَعْبَةِ فِي سَبِيلِ الله وَلَجَعَلْتُ بَابَهَا بِالأَرْضِ وَلأَدْخَلْتُ فِيهَا مِنَ الْحِجْرِ

Maksudnya: “Wahai Aisyah! Kalaulah kerana kaummu (Quraisy) yang masih baru meninggalkan suasana jahiliah (kufur) nescaya aku akan mengarahkan supaya diruntuhkan Kaabah dan dibina semula dengan memasukkan bahagian yang telah dikeluarkan oleh Quraisy dan merendahkan binaan (pintunya) di atas tanah, mengadakan baginya dua pintu, satu di bahagian timur dan satu lagi di bahagian barat, binaannya menurut asas yang dibina oleh Nabi Ibrahim A.S.”

Bersandarkan kepada hadith ini, Ibn al-Zubair meruntuhkan Kaabah dan membinanya semula menurut apa yang dicita-citakan oleh Rasulullah SAW.

Hal ini setelah berlakunya kepungan terhadap Abdullah bin al-Zubair serta pengikutnya di Makkah, mereka telah berselindung di alam Masjid al-Haram. Tentera yang datang dari Syam di bawah pimpinan al-Husain bin Numair telah menyerang mereka. Akibat daripada beberapa serangan tersebut, kebakaran telah berlaku lalu terkena Kaabah. Terdapat pula riwayat yang mengatakan bahawa kebakaran itu berpunca daripada api yang dinyalakan oleh salah seorang dalam kalangan mereka yang sedang berlindung di dalam Masjid al-Haram.

Setelah Ibn al-Zubair bermesyuarat dengan beberapa orang sahabat tentang Kaabah, Abdullah bin Abbas R.Anhuma mencadangkan agar dibaiki bahagian-bahagian yang rosak sahaja dan setelah beberapa hari selepas kejadian itu Ibn al-Zubair memutuskan untuk membina semula Kaabah berdasarkan hadith Aisyah. Lalu Kaabah diruntuhkan dan beliau membinanya semula mengikut binaan Nabi Ibrahim A.S.

Ibn Hajar al-Asqalani menyebutkan: Bahawa ketika Ibn al-Zubair ingin membina semula Kaabah, beliau mengasingkan batu-batu yang sesuai untuk digunakan semula dalam pembinaan Kaabah. Mereka membina semula dengan batu-batu tersebut. Kemudian, mereka melihat batu-batu yang tidak sesuai untuk digunakan dalam pembinaan. Beliau memerintahkan agar batu-batu itu digali dalam perut Kaabah dan ditanam di dalamnya. Mereka mengikuti asas-asas pembinaan Nabi Ibrahim sekitar Hajar Aswad tetapi tidak menjumpai apa-apa sehingga Ibn al-Zubair merasa tertekan. Kemudian, mereka berjaya menemuinya setelah menyelidikinya dengan mendalam. Abdullah bin al-Zubair turun dan mereka menyingkap asas-asas Nabi Ibrahim yang berupa batu-batu seperti punggung unta. Mereka menggoncangkan batu-batu asas itu dengan alat penggali dan batu-batu asas rumah itu terlepas. Mereka melihatnya sebagai binaan yang saling terikat antara satu sama lain. Ibn al-Zubair memuji Allah dan membesarkan-Nya. Beliau kemudian memanggil orang ramai dan memerintahkan para pemuka dan tokoh-tokoh mereka turun sehingga mereka menyaksikan apa yang dilihatnya dan melihat binaan yang bersambung itu. Beliau menjadi saksi kepada mereka atas perkara tersebut. (Lihat Fath al-Bari, 3/446)

Semoga penjelasan ringkas ini dapat menerangkan berkenaan sejarah pembinaan Kaabah. Wallahua’lam

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *