Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan ukuran Ka’bah daripada dulu sampai sekarang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.”

(Surah Ali Imran: 96)

Allah SWT mengkhabarkan mengenai keagungan Baitullah al-Haram yang merupakan rumah ibadat pertama yang dibina untuk beribadah kepada-Nya di atas muka bumi yang terletak di Makkah, padanya terdapat keberkatan dan petunjuk (hidayah) bagi seluruh manusia. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, 213-214)

Firman Allah SWT:

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ‎

Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;

(Surah al-Baqarah: 127)

Abu al-Walid al-Azraqi berkata:

  • Nabi Ibrahim AS menjadikan panjang binaan Kaabah setinggi 9 hasta (4.11 meter), panjangnya 30 hasta (13.72 meter), lebarnya pula 22 hasta (10.06 meter), tanpa atap.
  • Kemudian Quraisy membinanya pada zaman jahiliyah dan ditambah tingginya lagi sebanyak 9 hasta menjadikannya 18 hasta. Mereka memendekkan ukuran panjang tersebut menjadi 6 hasta dan sejengkal dalam kadar begitu hingga ke zaman Abdullah bin al-Zubair.
  • Zaman Abdullah bin al-Zubair, beliau membina kembali mengikut kaedah Nabi Ibrahim AS. Ditambah tingginya sebanyak 9 hasta lagi menjadikannya 27 hasta.
  • Kemudian Hajjaj membinanya tanpa mengubah ketinggian. Kaabah pada hari ini tingginya 27 hasta. Adapun besarnya antara Rukun Aswad dengan Rukun Syami ialah 25 hasta dan begitu juga antara Rukun Yamani dengan Rukun Gharbi iaitu 25 hasta. Antara Yamani dengan Hajar al-Aswad ialah 20 hasta dan antara Syami dan Gharbi ialah 21 hasta. (Lihat Akhbar Makkah, 1/228-229)

Dalam al-Rahiq al-Makhtum disebutkan: “Kaabah menjadi berbentuk hampir segi empat dengan ketinggian 15 meter. Panjang setiap sisi yang mengandungi Hajar al-Aswad dan sisi yang bertentangan dengannya adalah 10.10 meter. Hajar al-Aswad diletakkan pada ketinggian 1.50 meter dari lantai tempat tawaf. Sisi yang mengandungi pintu dan sisi yang bertentangan dengannya adalah 12 meter dan pintunya berada pada ketinggian dua meter dari tanah. Di sekeliling Kaabah terdapat struktur binaan di bahagian bawahnya yang dipanggil Syazarwan, dengan ketinggian purata 0.25 meter dan lebar purata 0.30 meter. Struktur ini adalah sebahagian daripada binaan asal Kaabah tetapi kaum Quraisy mengeluarkannya kerana kekurangan perbelanjaan.” (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 52-53)

Dalam ukuran Kaabah pada masa kini seperti berikut:

  • Tinggi: 14 meter
  • Panjang sudut Multazam (Hajar al-Aswad – rukun Iraqi): 12.84 meter
  • Panjang di sudut Hijir Ismail (rukun Iraqi – rukun Syami): 11.28 meter
  • Panjang di antara rukun Syami dan rukun Yamani: 12.11 meter.
  • Antara rukun Yamani dan Hajar al-Aswad: 11.52 meter. (Lihat Tarikh Makkah, hlm. 42)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply