#6225: Golongan al-Murdariyyah (المردارية)

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan kelompok yang disebut dengan gelaran al-Murdariyyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mereka ialah pengikut Abu Musa ‘Isa bin Subaih yang digelar dengan nama al-Murdar. Dia dianggap sebagai orang yang penting dalam mazhab Mu’tazilah.

Dia adalah Isa bin Subaih, yang juga dikenali sebagai Abu Musa al-Murdar. Kepadanya, dikembalikan jasa dan sumbangan dalam penyebaran Mu’tazilah di Baghdad – sebuah gerakan yang asalnya ditubuhkan oleh Bisyr bin al-Mu’tamir. Dia berjaya menyebarkan ajarannya di Baghdad kerana sifatnya yang warak, zuhud, kuat beribadah, pintar berhujah, dan fasih berpidato. Begitu juga dengan kemampuannya dalam memberi nasihat dan menceritakan kisah yang menarik. Dia digelar sebagai Rahib Mu’tazilah.  Dia meninggal dunia pada tahun 226H.

Antara ajarannya ialah:

  • Dia pernah berkata, sesungguhnya, Allah itu mentakdirkan berlaku bohong dan zalim. Jika Dia berbohong dan zalim, maka Dia ialah Tuhan yang bersifat bohong dan zalim.
  • Dia terlalu melampau menyatakan al-Quran itu makhluk, sehingga dia berani berkata bahawa manusia boleh juga dilafazkan kata-kata yang fasih seperti al-Quran. Dia menambah lagi bahawa sesiapa yang berkata al-Quran itu qadim, hukumnya adalah kafir.
  • Dia mengisytiharkan bahawa dia berlepas diri dari Mu’awiyah, ‘Amr bin al-‘As, dan orang yang menyokong kedua-duanya RA. Adapun Saidina ‘Uthman RA, dia tidak menentukan sikap kerana amalannya bercampur baik dan jahat, tetapi dia mengecam keras orang-orang yang membunuh Saidina ‘Uthman RA.
  • Dialah yang menjadi orang pertama yang menimbulkan fitnah al-Quran itu makhluk dalam kalangan penduduk Baghdad. (Lihat Sejarah Mazhab Aqidah dan Firqah Umat Islam, 145-146)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *