Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukumnya menjadi vegetarian kerana kesan teruk perladangan haiwan, terutamanya lembu yang kadar pelepasan karbonnya tinggi? Saya teringat pernah mendengar kuliah seorang ustaz bahawa haiwan-haiwan yang diciptakan oleh Allah SWT ini adalah untuk dimakan, sekiranya tidak dimakan, maka sia-sia lah hidupnya. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, Allah SWT tidak menjadikan satu-satu penciptaan dalam alam semesta ini melainkan ia pasti mempunyai tujuan dan manfaat tertentu. Begitu juga penciptaan haiwan yang dapat dimanfaatkan oleh manusia dalam banyak perkara, termasuklah untuk digunakan bulu-bulu sebagai pakaian dan daging-daging sebagai makanan. Firman Allah SWT:

وَالْأَنْعَامَ خَلَقَهَا ۗ لَكُمْ فِيهَا دِفْءٌ وَمَنَافِعُ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ

Maksudnya: “Binatang-binatang ternakan juga telah diciptakan oleh-Nya untuk kamu. Di mana padanya terdapat benda-benda yang dapat menghangatkan tubuh dan pelbagai manfaat yang lain; dan daripadanya juga kamu makan.”

(Surah al-Nahl: 5)

Pada ayat berikutnya, Allah SWT berfirman:

وَهُوَ الَّذِي سَخَّرَ الْبَحْرَ لِتَأْكُلُوا مِنْهُ لَحْمًا طَرِيًّا وَتَسْتَخْرِجُوا مِنْهُ حِلْيَةً تَلْبَسُونَهَا

Maksudnya: “Dan Dia yang mempermudahkan lautan, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang segar, mengeluarkan daripadanya perhiasan-perhiasan untuk dipakai, melihat kapal-kapal belayar membelah lautan, serta mencari rezeki daripada kurniaan-Nya; semoga kamu bersyukur.”

(Surah al-Nahl: 14)

Allah SWT anugerahkan kepada hamba-hamba-Nya manusia dengan penciptaan binatang-binatang seperti unta, lembu dan kambing. Dijadikan pada binatang-binatang ini banyak perkara yang dapat dimanfaatkan dan dijadikan maslahah, dari bulu-bulunya yang boleh dijadikan pakaian, susunya yang boleh diminum, anak pinaknya yang boleh dimakan, serta keindahan ciptaannya yang boleh dijadikan perhiasan.

Allah SWT juga mengkhabarkan bagaimana Dia telah membentangkan lautan berombak badai itu sebagai manfaat yang dikurniakan oleh Allah SWT buat para hamba-Nya. Dijadikan hidupan laut itu kesemuanya halal untuk dimakan, sama ada yang hidup atau bangkainya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/478-482)

Tambahan lagi, Allah SWT menjadikan sekalian penciptaannya di muka bumi ini, termasuk batu-batuan dan tumbuh-tumbuhan agar dapat diambil manfaat oleh umat manusia. Firman-Nya:

أَلَمْ تَرَوْا أَنَّ اللَّهَ سَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَأَسْبَغَ عَلَيْكُمْ نِعَمَهُ ظَاهِرَةً وَبَاطِنَةً

Maksudnya: “Tidakkah kamu perhatikan bahawa Allah telah menundukkan bagi kamu segala apa yang berada di langit dan di bumi dan Dia melimpahkan segala nikmat zahir dan batin ke atas kamu?”

(Surah Luqman: 20)

Al-Qurtubi berkata, Allah SWT menyebutkan pelbagai nikmat-Nya kepada anak-anak Adam A.S, dan Dia menjadikan apa yang ada di langit sebagai manfaat buat mereka, seperti matahari, bulan, bintang, serta para malaikat mengelilingi mereka dan menyampaikan kepada mereka manfaat-manfaat tersebut. Dia juga jadikan buat mereka apa yang ada di daratan dari gunung-ganang, pokok-pokok, buah-buahan dan apa sahaja perkara yang tidak terhitung banyaknya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 14/73)

Maka jelas sekali bahawa setiap penciptaan itu pasti ada kelebihan yang dapat manusia manfaatkan dalam kehidupan mereka, untuk membina empayar Islam yang lebih kuat dan hebat, di samping menjadi tanda-tanda kebesaran dan keesaan Allah SWT.

Vegetarian

Diet pemakanan vegan adalah satu bentuk diet yang hanya mengambil sayur-sayuran sebagai pemakanan, dan ia dilakukan atas sebab-sebab yang tertentu seperti sebab peribadi, kepercayaan, dan lain-lain. Menurut dapatan kami, diet ini diperkenalkan oleh Dr William Lambe pada tahun 1806 di London, semasa dia berusia kira-kira 40 tahun. Dia mempromosikan diet pemakanan tumbuh-tumbuhan sahaja tanpa mengambil makanan yang berunsurkan telur dan tenusu. Pada asalnya, pengamalan ini dilakukan sebagai usaha untuk menyelesaikan penyakit kroniknya sendiri, dan ia diilhamkan oleh peningkatan kesihatannya ketika itu, lalu dia mula menulis tentang diet ini dan faedahnya.

Rajah 1: Dr William Lambe

https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/e/ea/Photographic_portrait_of_W._Lambe._Wellcome_L0013385.jpg/800px-Photographic_portrait_of_W._Lambe._Wellcome_L0013385.jpg 

Sementara itu, pada tahun 1809 di Salford, Pendeta William Cowherd cuba mengangkat kebaikan diet pemakanan yang dia panggil sebagai ‘diet sayur-sayuran,’ dengan menegaskan para pengikutnya agar menahan diri daripada makan daging, meskipun pada diet tersebut masih  dibenarkan sumber tenusu dan telur. Kini, diet ini lebih dikenali sebagai Lacto-ovo Vegetarianism.[1]

Rajah 2: Pendeta Willian Cowherd

https://static.vegsoc.org/app/uploads/2023/12/william-cowherd-scaled-1-723×1024.jpg 

Kemudian, vegetarian atau diet vegan ini kekal hingga ke hari ini dan turut diamalkan oleh ramai pihak merentasi agama serta kepercayaan, termasuklah masyarakat Islam sendiri. Oleh kerana Islam mendidik umatnya dengan Kalamullah serta al-Sunnah al-Nabawiyyah, dengan dipandu oleh kefahaman ulama-ulama yang mempunyai kepakaran serta keahlian dalam bidang mereka yang tersendiri, timbul tanda tanya dalam pengamal diet ini sama ada ia bertentangan dengan syara‘ atau tidak. Sebagaimana yang dinyatakan dalam persoalan, mereka khuatir perbuatan ini termasuk dalam mengkufuri nikmat Allah SWT, seterusnya mensia-siakan tujuan asal penciptaan binatang-binatang itu.

Kami melihat, diet vegan ini tidak menjadi masalah untuk diamalkan, bahkan sekiranya ia dapat memastikan kesihatan seseorang itu menjadi lebih stabil, maka lebih digalakkan untuk berbuat demikian. Akan tetapi, pengamal diet ini tidak boleh berpegang dengan beberapa kepercayaan berikut:

Pertama, dia tidak boleh berpegang bahawa memakan daging itu adalah haram, kerana Allah SWT melarang perbuatan mengharamkan apa yang halal di sisi syara‘. Firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengharamkan perkara baik yang telah dihalalkan oleh Allah untuk kamu dan melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-Ma’idah: 87)

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ ۚ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۗ كَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang mengharamkan perhiasan daripada Allah yang diciptakan untuk para hamba-Nya? Dan siapakah yang mengharamkan rezeki-rezeki yang baik.’ Katakanlah: ‘Semua nikmat itu disediakan Allah untuk orang-orang yang beriman serta yang tidak beriman pada kehidupan dunia dan disediakan khusus untuk golongan yang beriman sahaja pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat Kami secara terperinci kepada golongan yang mengetahui.”

(Surah al-A‘raf: 32)

Ibn Kathir berkata, ayat ini merupakan respon balas dari Allah SWT terhadap golongan yang mengharamkan sesuka hati mereka tanpa sebarang perintah syara‘, daripada makanan, minuman, dan pakaian. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/367)

Allah SWT juga berfirman:

قُلْ أَرَأَيْتُم مَّا أَنزَلَ اللَّهُ لَكُم مِّن رِّزْقٍ فَجَعَلْتُم مِّنْهُ حَرَامًا وَحَلَالًا قُلْ آللَّهُ أَذِنَ لَكُمْ ۖ أَمْ عَلَى اللَّهِ تَفْتَرُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (kepada golongan kafir musyrik itu): ‘Terangkanlah kepadaku tentang rezeki yang telah diturunkan Allah kepada kamu, lalu kamu jadikan sebahagiannya halal dan sebahagian yang lain haram.’ Katakanlah lagi (kepada mereka): ‘Adakah Allah telah memberi keizinan-Nya kepada kamu atau kamu hanya mengada-adakan pembohongan terhadap Allah?’”

(Surah Yunus: 59)

Ini adalah ucapan yang ditujukan kepada orang-orang Arab kafir yang mengharamkan tasik, tanah tandus, bahagian tanaman dan ternakan, dan perkara-perkara lain yang tidak diizinkan Allah. Mereka mengada-adakannya dengan kehendak mereka sendiri. (Lihat al-Muharrar al-Wajiz, 3/127)

Kedua, seorang vegetarian itu tidak boleh beriktikad bahawa meninggalkan produk yang bersumberkan haiwan itu lebih afdhal, atau seseorang itu akan mendapat pahala jika meninggalkan produk bersumberkan haiwan, atau seorang vegetarian itu lebih dekat dengan Allah SWT, atau seumpamanya.

Pada zaman Rasulullah SAW, terdapat 3 orang sahabat yang pernah bertekad untuk melakukan beberapa amalan, dengan iktikad amalan tersebut dapat memberikan pahala yang lebih kepada mereka. Mereka datang ke rumah para isteri Nabi SAW, bertanya mengenai ibadah Nabi SAW. Apabila diberitahu, maka seakan-akan mereka menganggap ibadah Nabi sedikit. Oleh itu mereka berkata:

وَأَيْنَ نَحْنُ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ. قَالَ أَحَدُهُمْ: أَمَّا أَنَا فَإِنِّي أُصَلِّي اللَّيْلَ أَبَدًا. وَقَالَ آخَرُ: أَنَا أَصُومُ الدَّهْرَ وَلاَ أُفْطِرُ. وَقَالَ آخَرُ: أَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلاَ أَتَزَوَّجُ أَبَدًا. فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ، فَقَالَ: أَنْتُمُ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا، أَمَا وَاللَّهِ، إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ، وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya: “‘Apakah kedudukan kita dibandingkan dengan Rasulullah SAW? Sesungguhnya telah diampunkan buatnya dosa-dosanya yang terdahulu dan yang akan datang.’ Salah seorang daripada mereka berkata: ‘Adapun aku, sesungguhnya aku akan menunaikan solat malam buat selama-lamanya dan tidak tidur.’ Manakala yang lain pula berkata: ‘Aku akan berpuasa setahun penuh dan tidak akan berbuka.’ Dan yang seorang lagi berkata: ‘Aku akan menjauhi perempuan dan tidak akan berkahwin buat selama-lamanya.’ Setelah itu, Rasulullah SAW datang, lalu bersabda: ‘Kamu yang telah mengatakan begini dan begitu? Ketahuilah, demi Allah, sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut daripada kalangan kamu kepada Allah, dan juga orang yang paling bertaqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan meninggalkan puasa, aku juga mendirikan solat malam dan tidur, dan aku juga menikahi wanita. Oleh itu, sesiapa yang berpaling daripada sunnahku, maka dia bukan daripada kalanganku’.”

Riwayat al-Bukhari (5063) dan Muslim (1401)

Penting untuk kami tekankan kedua-dua tegahan di atas agar diet vegan ini tidak didasari dengan mana-mana unsur kepercayaan yang berselisih dengan kefahaman Islam yang sahih. Terdapat perbezaan yang besar antara orang yang tidak berminat untuk makan daging, atau perlu mengurangkan pengambilan daging atas dasar kesihatan, dengan mereka yang tidak mengambil produk berasaskan haiwan serta tenusu atas dasar kepercayaan agama seperti hindu.

Sekiranya jelas perbahasan ini, maka kami katakan bahawa vegetarian itu dibenarkan dan tidak menjadi masalah selama mana tidak menyalahi syara‘ dan tidak memberikan sebarang mudharat pada kesihatan tubuh badan. Ia berbalik kepada kehendak peribadi yang mungkin terkadang lebih suka akan sayur-sayuran berbanding daging.

Semoga kita diberikan kefahaman yang baik oleh Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Lihat https://vegsoc.org/who-we-are/history/. Diakses pada 4 Julai 2024.

Leave a Reply