Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya selalu terlupa jumlah rakaat ketika solat.  Untuk mengatasi masalah ini saya melipatkan  jari-jari tangan saya contohnya saya akan melipatkan jari hantu sebagai tanda saya berada dalam rakaat ketiga dan jari manis ketika di rakaat keempat.  Apakah hukumnya ustaz? Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ (1) الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.

(Surah al-Mu’minun: 1-2)

Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat di atas berkata: ‘Ali bin Abi Talhah menceritakan daripada Ibn Abbas R.anhuma: ” خَاشِعُونَ” (orang-orang yang khusyuk) iaitu orang-orang yang takut lagi penuh ketenangan. Daripada Ali bin Abi Talib R.A: Yang dimaksudkan dengan khusyu’ di sini ialah kekhusyukan hati.

Hasan al-Basri pula berkata: “Kekhusyukan mereka itu berada di dalam hati mereka, sehingga kerananya mereka menundukkan pandangan serta merendahkan diri mereka.” Khusyuk dalam solat hanya dapat dilakukan oleh orang yang memfokuskan hati padanya sambil melupakan pelbagai aktiviti yang lain. Pada ketika itulah akan terwujud ketenangan dan kebahagiaan baginya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/110).

Pada asasnya, pergerakan lebih daripada tiga kali secara berturut-turut di dalam solat adalah membatalkan solat mengikut mazhab Syafie kerana ia dikira pergerakan yang banyak.

Kata Abu Ishak al-Syirazi: “Jika seseorang melangkah tiga langkahan secara berturut atau memukul sebanyak tiga secara berturut maka batal solatnya.” (Lihat al-Tanbih Fi al-Fiqh al-Syafie, hlm. 76)

Imam al-Nawawi menyebut di dalam al-Minhaj: “Jika seseorang itu sengaja melakukan perbuatan di dalam solatnya, selain daripada perbuatan-perbuatan asal di dalam solat, sekalipun perbuatan itu daripada jenis perbuatan solat (rukun, dll), maka batallah solatnya, kecuali jika dia terlupa. Adapun jika perbuatan bukan daripada jenis perbuatan solat (rukun, dll) maka batal solat jika perbuatan (pergerakan) itu banyak pada uruf dan tidak batal jika perbuatan (pergerakan) itu sedikit pada uruf. Dua langkah atau dua pukulan itu adalah termasuk di dalam pergerakan sedikit, manakala tiga kali perbuatan (pergerakan) secara berturut-turut adalah banyak (maka ia membatalkan solat).” (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 53-54)

Al-Khatib al-Syarbini pula menyebut: “Dan perkara kedua yang membatalkan solat ialah pergerakan yang banyak yang bukan daripada jenis perbuatan solat secara uruf. Apa yang dianggap uruf sebagai pergerakan yang sedikit seperti mencabut khuf, memakai pakaian yang ringan maka ia adalah sedikit. Begitu juga dua langkah yang sederhana dan juga dua pukulan. Pergerakan sebanyak tiga kali atau lebih adalah dikira banyak (dan membatalkan solat) jika ianya dilakukan secara berturut-turut. Sama ada pergerakan tersebut adalah dari jenis pergerakan itu seperti tiga kali langkah ataupun bercampur dari segala jenis pergerakan seperti satu kali langkahan, satu kali pukulan dan mencabut capal ataupun tiga kali langkahan yang dilakukan dengan satu langkah yang besar. Jika dia melakukan satu pergerakan dengan niat tiga kali pergerakan maka batallah solatnya.” (Lihat al-Iqna’ Fi Hill al-Alfaz Abi Syuja’, 2/268)

Imam al-Nawawi menyebut: “Secara ringkas tentang apa yang disebut oleh ashab kami bahawa pergerakan yang bukan dari jenis pergerakan solat jika ianya banyak maka batal solat tanpa ada khilaf (tentang perkara tersebut). Jika pergerakan itu sedikit, ianya tidak membatalkan solat.”

Beliau menambah lagi: “Adapun apa yang yang dianggap orang ramai sebagai pergerakan yang banyak seperti langkahan kaki dan pergerakan yang banyak serta berturut-turut maka terbatallah solatnya. Kata Ashab kami: Di atas dasar ini maka satu kali pergerakan seperti satu kali langkahan dan pukulan adalah pergerakan yang sedikit dan pergerakan sebanyak tiga kali adalah banyak.” (Lihat al-Majmu’ syarh al-Muhazzab, 4/25-26)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan ia tidak membatalkan solat kerana jari termasuk pergerakan anggota tubuh yang kecil. Manakala, pergerakan yang besar seperti mengangkat tangan, melangkah dan seumpamanya sekiranya melebihi tiga kali dengan berturut-turut, maka batallah solatnya. Namun, nasihat kami jangan jadikan ia sebagai tabiat kerana ia akan menyebabkan kita akan berkekalan tidak khusyuk dan bergantung kepada sesuatu perkara.

Semoga Allah menjadikan kita hamba yang sentiasa mentaati-Nya dengan sebaik mungkin dan kami akhiri dengan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada sahabatnya, Muaz bin Jabal R.A:

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah aku untuk zikir kepada-Mu, syukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Riwayat Abu Daud (1522)

Wallahu a’lam.

Leave a Reply