Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang satu kelompok yang dinamakan sebagai al-Hisyamiyyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mereka ialah pengikut Hisham bin ‘Amr al-Fuwati. Dia sangat melampau dalam perkara qadar sehingga dia menafikan sandaran perbuatan itu kepada Allah walaupun dinaskan oleh al-Quran al-Karim.

Beliau ialah Abu Muhammad Hisyam bin ‘Amr al-Fuwati al-Mu’tazili al-Kufi maula Bani Syaiban dan salah seorang tokoh Muktazilah pada kurun ketiga Hijri. Beliau menulis beberapa buku termasuklah kitab al-Makhluq, kitab Khalq al-Quran, kitab al-Tauhid dan beberapa lagi.

Namun begitu, Khalifah al-Ma’mun sangat-sangat menghormatinya. Baginda hampir-hampir mahu berdiri apabila Hisham datang mengunjunginya.

Antara perkara bid’ah yang dibawanya ialah:

  1. Dia menafikan bahawa Allah menjinakkan hati dalam kalangan hati-hati sesama manusia. Pendapat ini sangat bertentangan dengan firman Allah SWT:

لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَّا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ

Maksudnya: “..Sekiranya engkau membelanjakan apa-apa yang ada di muka bumi ini, nescaya engkau tidak dapat menjinakkan hati-hati mereka. Akan tetapi, Allah sahaja yang menjinakkan dalam kalangan (hati-hati) mereka…”

(Surah al-Anfal: 63)

  1. Dia menyatakan bahawa Allah tidak menjadikan perasaan kasih kepada iman dalam hati-hati orang yang beriman, tetapi mereka sendiri yang memilih iman itu. Pendapat ini bercanggah dengan firman Allah SWT:

وَلَٰكِنَّ اللَّهَ حَبَّبَ إِلَيْكُمُ الْإِيمَانَ وَزَيَّنَهُ فِي قُلُوبِكُمْ وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ

Maksudnya: “…Akan tetapi, Allah yang menjadikan kasih mereka kepada iman dan menghiasinya dalam hati-hati mereka serta menjadikan benci mereka kepada kafir, fasiq, dan derhaka… “

(Surah al-Hujurat: 7)

  1. Dia menafikan bahawa Allah mematerikan hati-hati. Pendapat ini berlawanan dengan firman Allah SWT:

 خَتَمَ اللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ ۖ وَعَلَىٰ أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ

Maksudnya: “Allah telah mematerikan hati-hati mereka serta pendengaran-pendengaran mereka, dan pada penglihatan-penglihatan mereka ada selaput…”

(Surah al-Baqarah: 7)

  1. Dalam perkara imamah (kepimpinan negara), mereka berkata bahawa tidak sah mengakad kepimpinan pada masa berlaku fitnah (kekacauan). (Lihat Sejarah Mazhab Aqidah dan Firqah Umat Islam, hlm. 148-150)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Leave a Reply