#6235: Kelompok al-Nazzamiyyah (النظامية)

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan kelompok yang dinamakan sebagai al-Nazzamiyyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mereka ialah pengikut Abu Ishaq Ibrahim bin Sayyar al-Basri yang dikenali dengan nama al-Nazzam. Dia menjadi murid kepada al-‘Allaf dan menjadi guru kepada al-Jahiz.

Nama lengkapnya ialah Ibrahim bin Sayyar bin Hani’ al-Nazzam al-Basri, dan dilahirkan di Basrah. Berkenaan tarikh kelahirannya, terdapat beberapa  pendapat. Perbezaan pandangan tentang tahun kelahirannya adalah antara tahun 160 H hingga 185 H. Beliau belajar daripada Abu al-Huzail al-‘Allaf dan kemudian memisahkan diri daripadanya dan membentuk mazhab baru yang dinamakan al-Nazzamiyyah. Beliau meninggal dunia di Baghdad dan berkenaan tarikh kematiannya juga, terdapat perselisihan pendapat, iaitu antara tahun 221 H hingga tahun 229 H.

  • Dia mempunyai pendapat yang terlanjur dalam perkara qadar, iaitu berpendapat bahawa Allah tidak bersifat Qudrah dalam perkara baik dan jahat.
  • Dia juga bersepakat dengan ahli falsafah tentang hakikat manusia, iaitu terdiri daripada nyawa, roh, dan badan.
  • Nazzamiyyah menolak ijma’ ulama’ sebagai salah satu daripada sumber hukum Islam.
  • Dalam perkara imamah (kepimpinan negara), mestilah dengan nas dan penentuan daripada imam yang dahulu. Mereka berkata, Rasulullah SAW telah memberikan secara nas bahawa ‘Ali yang menjadi khalifah selepas kewafatannya, tetapi ‘Umar menyembunyikan perkara tersebut.

Mereka menuduh Saidina ‘Umar syak dalam perkara Sulh (Perdamaian) Hudaibiyyah dan beberapa lagi penyelewengan yang lain. (Lihat Sejarah Mazhab Aqidah dan Firqah Umat Islam, hlm. 141)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *