Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Haji Mabrur Dianggap Sebagai Jihad?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Aisyah Umm al-Mukminin R.Anha, bahawasanya dia berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، نَرَى الجِهَادَ أَفْضَلَ العَمَلِ، أَفَلاَ نُجَاهِدُ؟ قَالَ: «لاَ، لَكِنَّ أَفْضَلَ الجِهَادِ حَجٌّ مَبْرُورٌ»

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, kami menganggap jihad merupakan amal yang paling utama. Apakah kami boleh berjihad?” Baginda bersabda: “Tidak, tetapi jihad yang paling utama ialah haji yang mabrur.”

Riwayat al-Bukhari (1520)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata:

Kebanyakan perawi menukil dengan lafazh “لَكُنَّ” yang bermaksud: “Bagi kamu semua kaum wanita.”  Sementara dalam riwayat Al Hamawi disebutkan dengan lafaz “لَكِنَّ” yang bermaksud “tetapi”.

Lafaz pertama lebih banyak faedahnya kerana mencakupi penetapan keutamaan haji sekaligus menjawab pertanyaan Aisyah mengenai jihad. Haji dinamakan jihad disebabkan dalam pelaksanaannya memerlukan kesungguhan melawan hawa nafsu. Di sini, ingin dibawakan keterangan bahawa haji merupakan jihad yang paling utama. (Lihat Fath al-Bari, 8/365)

Ibn Rajab berkata: Antara aspek yang perlu difahami adalah bahawa ibadah haji merangkumi seluruh hari dalam sepuluh hari (awal Zulhijjah) tersebut, dan ia hendaklah dilaksanakan dengan cara yang paling sempurna. Ini termasuk kebaikan dalam melaksanakan perkara-perkara wajib, melakukan perkara-perkara yang sunat, menjauhi perkara yang diharamkan dan tidak disukai. Ini termasuk juga dengan memperbanyak zikrullah, melakukan kebaikan kepada hamba-hamba-Nya, serta mengangkat suara dengan bertalbiah dan berkorban. Oleh itu, haji ini mungkin lebih utama daripada jihad. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Rajab, 7/53)

Al-Mubarakfuri menukilkan bahawa Ibn Battal berkata: Hadith ‘Aisyah menunjukkan bahawa jihad bukanlah kewajiban bagi wanita. Namun, bukanlah maksudnya bahawa “Jihad paling afdhal adalah haji mabrur.” Menurut riwayat al-Bukhari, ‘جِهَادُكُنَّ الحَجُّ’ (“Jihad kamu adalah haji.”) Ini menunjukkan bahawa wanita tidak perlu secara sukarela terlibat dalam jihad. Ia bukanlah kewajiban kerana ia bertentangan dengan apa yang diharapkan daripada mereka dalam hal menutup aurat dan mengelakkan interaksi dengan lelaki. Oleh itu, haji adalah lebih baik bagi mereka daripada jihad. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/196)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Leave a Reply