Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami maksud ayat 124 Surah Taha terutamanya perkataan ‘ضَنكًا’?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا
Maksudnya: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit.”
(Surah Taha: 124)
Al-Tabari berkata: Allah SWT berfirman: Sesiapa yang telah Aku peringatkan dengannya, namun dia berpaling dari peringatan-Ku, tidak mahu menerimanya, dan tidak merasa takut, maka dia akan mendapat kehidupan yang sempit.
Lafaz ‘الضَّنْكُ’ yang digunakan untuk rumah, tempat dan penghidupan, yang bermaksud sempit atau keras. Dikatakan ‘هَذَا مَنْزِلٌ ضَنْكٌ’ (“rumah ini sempit”) atau penghidupan yang sempit. Lafaz ‘الضَّنْكُ’ digunakan untuk muzakkar, mu’annath, tunggal dan jamak.
Menurut al-Tabari, para ahli tafsir berbeza pendapat tentang tempat yang dijadikan Allah untuk mereka berpaling dari peringatan-Nya sebagai penghidupan yang sempit, dan keadaan yang Allah sediakan bagi mereka.
- Sebahagian ahli tafsir berpendapat bahawa penghidupan itu adalah di akhirat kelak, di neraka Jahannam, tempat Allah menjadikan makanan mereka di dalamnya dari Pohon Dhari’ (الضَّرِيعُ) (pohon berduri di dalam neraka) dan Zaqqum.
- Sebahagian berpendapat bahawa maksudnya adalah, baginya penghidupan di dunia dari sesuatu yang haram. Allah menyebut penghidupan mereka dengan penghidupan yang sempit, kerana penghidupan yang haram, meskipun dilihat longgar, tetapi sesungguhnya ia sempit.
- Sebahagian ahli tafsir yang menyatakan bahawa penghidupan mereka yang sempit maksudnya adalah di dunia, dan disebut penghidupan yang sempit (meskipun longgar), berhujah bahawa hal itu kerana mereka membelanjakan harta mereka dengan mendustakan bahawa ia dari kurniaan Allah, dan buruk sangka mereka kepada Allah, sehingga penghidupan mereka menjadi sempit atas mereka.
- Dikatakan bahawa sekelompok orang sesat yang berpaling dari kebenaran, meskipun memiliki keluasan harta di dunia, sesungguhnya penghidupan mereka adalah sempit, kerana mereka menganggap yang memberikan kecukupan kepada mereka bukanlah Allah. Mereka telah berprasangka buruk kepada Allah. Jadi, jika seorang hamba mendustakan Allah dan berprasangka buruk kepada-Nya, maka penghidupannya akan menjadi sempit.
- Sebahagian yang lain berpendapat bahawa maksudnya adalah di alam barzakh, iaitu seksa kubur.
Imam al-Tabari kemudian berkata: Pendapat yang paling tepat adalah yang menyatakan bahawa maknanya adalah seksa kubur. (Lihat Jami’ al-Bayan, 16/192)
Al-Syaukani berkata: ‘ فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا’, yakni kehidupan yang sulit. (Lihat Fath al-Qadir, 3/221)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”