Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Nabi Sulaiman pernah bersama isterinya 90 orang dan tidak dikurniakan anak kecuali separuh? Ini kerana dia tidak menyebut kalimah insya Allah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nabi Sulaiman AS mempunyai kelebihan yang banyak, antaranya kerajaaan yang agung dia antara hamba Allah yang paling banyak bersyukur.

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Surah al-Naml (19)

Al-Syaukani berkata: Disebut dalam al-Kassyaf: “Hakikat ‘أَوْزِعْنِي’ adalah, jadikanlah aku dapat mengatur kesyukuran atas nikmat-Mu kepadaku, mempertahankan dan mengikatnya agar tidak lagi lepas dariku, sehingga menjadikan aku selalu bersyukur kepada-Mu.”

Al-Wahidi berkata: ‘أَوْزِعْنِي’ maksudnya iaitu ilhamkanlah aku agar mensyukuri nikmat-Mu yang Engkau anugerahkan kepadaku.” Al-Qurtubi berkata: Asal perkataan tersebut daripada ‘وَزَعَ’ (mencegah), jadi seakan-akan dia berkata: ‘Cegahlah aku daripada perkara-perkara yang menimbulkan kemurkaan-Mu.’  (Lihat Fath al-Qadir, 8/286)

Sayyid Qutb dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Doa Nabi Sulaiman AS ini dimulakan dengan “رَبِّّ” (“Wahai Tuhanku!). Di sini beliau menggunakan kata-kata seruan dari dekat dan secara langsung. Kemudian beliau memohon dengan “أَوْزِعْنِي” (Ilhamkanlah aku) atau tumpahkan diriku yakni kumpulkan seluruh diriku dan anggotaku, perasaanku, lidahku, hatiku, fikiranku, perkataanku, susunan perkataanku, amalanku dan tujuanku. Begitu juga seluruh daya tenagaku supaya seluruhnya ditumpukan “agar tetap bersyukur dengan nikmat yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua-dua ibubapaku.”

Ungkapan ini membayangkan nikmat Allah yang telah mengharukan hati Nabi Sulaiman AS pada saat itu dan menggambarkan bentuk perasaan keterharuan, kekuatan tawajjuh dan rasa hatinya yang bergelora ketika beliau menyedari nikmat Allah dan limpah kurniaan kepadanya dan kepada kedua ibubapanya. Beliau mengalami nikmat dan rahmat Allah itu dengan penuh perasaan lalu memohon seperti doa di atas. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 12/155)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan benar. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

قَالَ سُلَيْمَانُ: لَأَطُوفَنَّ اللَّيْلَةَ عَلَى تِسْعِينَ امْرَأَةً، كُلٌّ تَلِدُ غُلاَمًا يُقَاتِلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، فَقَالَ لَهُ صَاحِبُهُ – قَالَ سُفْيَانُ: يَعْنِي المـَلَكَ – قُلْ: إِنْ شَاءَ اللَّهُ، فَنَسِيَ، فَطَافَ بِهِنَّ فَلَمْ تَأْتِ امْرَأَةٌ مِنْهُنَّ بِوَلَدٍ إِلَّا وَاحِدَةٌ بِشِقِّ غُلاَمٍ.  فَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ يَرْوِيهِ: قَالَ: لَوْ قَالَ: إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَمْ يَحْنَثْ، وَكَانَ دَرَكًا لَهُ فِي حَاجَتِهِ  – وَقَالَ مَرَّةً: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – لَوِ اسْتَثْنَى.

Maksudnya: Nabi Sulaiman berkata: “Sesungguhnya malam ini aku akan mengelilingi (meniduri) sembilan puluh isteri, semuanya akan melahirkan seorang anak lelaki yang akan berperang pada jalan Allah.” Lalu temannya berkata kepadanya – Sufyan mengatakan: temannya itu ialah seorang malaikat- “Ucapkanlah In sya-Allah,” namun dia lupa, lalu dia tidur dengan mereka semua, namun tiada seorang pun daripada mereka semua yang melahirkan anak kecuali seorang isteri sahaja yang melahirkan separuh anak lelaki. Lalu Abu Hurairah berkata dengan meriwayatkannya (daripada Rasulullah S.A.W): Baginda bersabda: “Seandainya dia mengatakan In sya-Allah, nescaya dia tidak melanggar sumpah, dan hajatnya akan kesampaian (dengan sumpahnya itu).” Beliau juga pernah berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Seandainya dia mengecualikan (dia tidak dikira sebagai melanggar sumpahnya).”

Riwayat al-Bukhari (6720)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Leave a Reply