Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Ayah saya sudah meninggal, tapi saya sebagai anak jarang melawat kuburnya dan hanya mendoakan nya dari rumah sahaja, boleh ke tidak mengapa begitu? Dan adakah orang yang telah meninggal boleh tahu siapa yang kirimkan doa kepadanya walaupun dia sudah meninggal dunia? Minta pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sunat Ziarah Kubur

Hukum menziarahi kubur adalah sunat, bahkan amalan sunat yang amat dituntut untuk mengingati kematian dan negeri akhirat yang kekal abadi.

Buraidah al-Aslami R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنِّي كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا؛ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْآخِرَةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku pernah melarang kamu untuk menziarahi perkuburan. Maka (sekarang) ziarahilahnya kerana ia mengingatkan kamu kepada akhirat.”

Riwayat Ahmad (23005)

Imam Sa‘id bin Muhammad Ba ‘Isyn berkata: “Disunatkan untuk menziarahi kubur terutamanya bagi kaum lelaki secara mutlak, sama ada kubur di sekitar dalam negeri atau luar negeri. Adapun bagi kaum wanita, dibolehkan menziarahi kubur Nabi, atau orang alim, atau keluarga dan kerabatnya; bersama mahramnya. Adapun selain ini, maka hukumnya makruh bagi wanita.” (Lihat Busyra al-Karim fi Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hal. 474)

Jarang menziarahi kubur bukanlah suatu perkara yang haram atau berdosa, kerana menziarahinya adalah amalan sunat yang dituntut, bukan amalan yang diwajibkan.

Namun, jarang menziarahi kubur adalah sama sahaja seperti jarang menziarahi dirinya semasa masih hidup. Menjauhkan atau menjarakkan diri daripada saling menziarahi dan berhubung adalah suatu perkara yang tidak wajar dilakukan.

 ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A pernah berkata:

أَذَى الْمُؤْمِنِ فِي مَوْتِهِ كَأَذَاهُ فِي حَيَاتِهِ

Maksudnya: “Menyakiti orang Mukmin semasa dia telah mati adalah sama sahaja seperti menyakiti orang Mukmin semasa dia masih hidup.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam al-Musannaf (11990)

Mengekalkan hubungan dan tali silaturrahim adalah tuntutan Rasulullah SAW.  ‘Abdullah bin Salam R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَفْشُوا السَّلَامَ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ، وَصِلُوا الْأَرْحَامَ، وَصَلُّوا وَالنَّاسُ نِيَامٌ، تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ

Maksudnya: “Sebarkan salam, berilah makan, sambunglah tali silaturrahim, solatlah malam ketika ramai orang sedang tidur; nescaya engkau akan masuk syurga dengan penuh sejahtera.”

Riwayat al-Tirmizi (2485) dan Ibn Majah (1334)

Galakan ini bersifat umum, merangkumi yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Sepertimana kita dianjurkan untuk memberi salam kepada yang masih hidup, begitu juga sunnah Rasulullah SAW mengajar kita untuk memberi salam kepada orang-orang yang telah meninggal dunia ketika menziarahi kubur. Begitu juga, sepertimana dianjurkan untuk menyambung tali silaturrahim dengan orang yang masih hidup dengan menziarahinya, begitu juga dianjurkan untuk menziarahi orang yang telah meninggal dunia di kubur mereka untuk berbakti kepada mereka walau setelah mati, dan mengingati negeri akhirat.

Bahkan, menziarahi kubur ibu bapa adalah lebih besar tuntutan dan anjurannya. Imam al-San‘ani berkata: “Menziarahi kubur adalah sunat (mandub) di sisi persepakatan para ulama, lebih-lebih lagi kubur kedua ibu bapa. Ia lebih lagi dituntut kerana ada diriwayatkan athar yang menggalakkannya.” (Lihat Subul al-Salam ٍSyarh Bulugh al-Maram, 2/114)

Berhubung dengan soalan adakah orang yang telah meninggal boleh tahu siapa yang kirimkan doa kepadanya walaupun dia sudah meninggal dunia, kami menyatakan bahawa mereka boleh mengetahuinya.

Hal ini berdasarkan hadith Abu Hurairah R.A yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الرَّجُلَ لَتُرْفَعُ دَرَجَتُهُ فِي الْجَنَّةِ فَيَقُولُ: أَنَّى هَذَا؟ فَيُقَالُ: بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ

Maksudnya: “Sesungguhnya ada orang (di alam akhirat) yang diangkat darjatnya di dalam syurga. Dia tertanya-tanya: ‘Bagaimana aku boleh mendapatkan ini?’ Maka dijawab: ‘Daripada doa yang dikirim oleh anakmu.’”

Riwayat Ibn Majah (3660)

Berdasarkan hadith di atas, malaikat memberitahu kepada orang yang ditingkatkan darjatnya bahawa doa dan zikir yang dikirimkan oleh anaknya itu sampai kepadanya dan memberi manfaat buatnya di alam sana.

Begitu juga dengan hadith ‘Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَا مِنْ رَجُلٍ يَمُرُّ بِقَبْرِ الرَّجُلِ الَّذِي كَانَ يَعْرِفُهُ فِي الدُّنْيَا فَيُسَلِّمُ عَلَيْهِ، إِلَّا رَدَّ اللَّه عَلَيْهِ رُوحَهُ حَتَّى يَرُدَّ عَلَيْهِ السَّلَامَ

Maksudnya: “Tidak ada seorang pun yang melintasi kubur rakannya yang dahulu dia kenali di dunia ini kemudian dia memberi salam kepadanya, melainkan Allah akan mengembalikan rohnya itu untuk menjawab salam tersebut.”

Riwayat Ibn ‘Abd al-Bar di dalam al-Istizkar (1/85), dinilai sahih oleh Ibn ‘Abd al-Bar dan Ibn Taimiyyah.

Hadith di atas ini menyatakan bahawa orang-orang yang telah meninggal dunia di alam kubur mendengar dan mengetahui salam yang disampaikan kepada mereka, begitu juga doa-doa serta pahala yang dikirimkan atau disedekahkan kepada mereka. Mereka mengetahuinya dan semua itu bermanfaat untuk mereka di alam barzakh sana.

Kesimpulan

Sebagai ringkasan, jarang menziarahi kubur bukanlah suatu perkara yang dilarang, sebaliknya kita dianjurkan untuk menziarahi kubur kerana padanya mengingatkan kita kepada kematian dan hari akhirat. Begitu juga sentiasa mendoakan rahmat dan keampunan buat ibu bapa yang sudah pergi meninggalkan termasuk dalam perkara yang dituntut, lebih-lebih lagi doa daripada anak kandung. Bahkan doa ini adalah lebih-lebih lagi dituntut daripada anak yang soleh.

Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW juga bersabda:

إذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إلَّا مِنْ ثَلَاثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah catatan amalan daripadanya kecuali tiga perkara: sedekah yang berterusan, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan buatnya.”

Riwayat Muslim (1631)

Kami akhiri dengan doa yang dianjurkan untuk dibaca buat keampunan dan rahmat sekalian umat Islam yang telah pergi meninggalkan kita:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّينَا وَمَيِّتِنَا، وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا، وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا، وَشَاهِدِنَا وغَائِبِنَا، اللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى الْإِيمَانِ، وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى الْإِسْلَامِ، اللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ، وَلَا تَفْتِنَّا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampunkanlah orang hidup dan orang yang mati dalam kalangan kami, yang kecil mahupun dewasa dalam kalangan kami, lelaki dan perempuan dalam kalangan kami, orang yang dekat mahupun jauh dalam kalangan kami. Ya Allah, sesiapa yang Engkau masih izinkan untuk hidup, maka hidupkanlah dia di atas Iman. Sesiapa yang engkau hendaki untuk dia mati, maka matikanlah dia di atas Islam. Ya Allah, janganlah engkau haramkan kami daripada beroleh pahalanya, dan janganlah engkau menguji kami selepas daripadanya.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply