Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Saya pernah berniat sekiranya projek ternakan saya mula mengeluarkan hasil saya mahu menyembelih seekor kambing dan menjamu ahli kariah makan. Soalan saya. Adakah niat tersebut dikira nazar? Bolehkah saya makan sembelihan tersebut.?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Nazar merupakan ibadat yang besar nilainya di sisi Allah SWT, kerana seseorang itu mewajibkan ke atas dirinya sesuatu amalan yang tidak wajib secara asalnya. Perkara ini dapat menggandakan pahala hamba tersebut dalam melaksanakan amalan itu.
Allah SWT berfirman:
وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ
Maksudnya: “Wajiblah mereka memenuhi nazar mereka.”
(Surah al-Haj: 19)
‘Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَ اللَّهَ فَلَا يَعْصِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka laksanakanlah nazar tersebut. Sesiapa yang bernazar untuk memaksiati Allah, maka janganlah dia melaksanakan nazar maksiat tersebut.”
Riwayat al-Bukhari (6696)
Syarat-Syarat Nazar
Untuk sebuah niat atau janji menjadi nazar, mestilah memenuhi syarat nazar. Syarat-syarat nazar adalah seperti berikut:
- Sighah (bentuk kata yang dilafazkan)
- Manzur (suatu perbuatan yang dinazarkan untuk dilaksanakan), seperti solat, puasa, sedekah, haji dan lain-lain ibadat
- Nazir (penazar) yang beragama Islam, bebas memilih dan berkemampuan melaksanakan nazar tersebut.
Antara syarat nazar adalah ia mempunyai sighah (bentuk lafaz) yang tertentu. Jika seseorang menyebutnya, maka barulah menjadi nazar yang wajib ditunaikan.
Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari berkata: “Berkenaan sighah (bentuk lafaz) nazar, maka hendaklah lafaz tersebut mesti berunsur sesuatu yang mewajibkan ke atas dirinya (iltizam), seperti:
- Demi Allah, (wajib) ke atas aku untuk melaksanakan sekian sekian (لِلَّهِ عَلَيَّ),
- Atau, dia mengatakan: “Wajib ke atasku untuk buat sekian sekian (عَلَيَّ كَذَا).
(Lihat Minhaj al-Tullab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, hal. 180)
Maka, semata-mata niat belum menjadikan niat atau janji tersebut sebagai nazar. Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari juga turut menegaskan: “Nazar tidak menjadi jika hanya dengan niat atau tekad hati semata-mata, sepertimana akad-akad transaksi yang lain.” (Lihat Fath al-Wahhab bi Syarh Minhaj al-Tullab, 2/252)
Apa yang tuan niatkan, belum menjadi nazar lagi. Ia semata-mata niat baik yang belum dilaksanakan.
Kesimpulan
Kesimpulannya, niat tuan belum menjadi nazar dan sembelihan kambing tersebut adalah seperti mana sembelihan biasa untuk dimakan. Justeru, tuan boleh makan dagingnya, atau menjamu makan kepada orang ramai dengannya, mahupun menyedekahkannya kepada sesiapa yang tuan inginkan, sama ada dalam kalangan fakir miskin, jiran tetangga, kaum kerabat dan orang kaya.
Semoga Allah mengurniakan kefahaman yang sahih dan tepat dalam beragama kepada kita semua, serta merahmati kita di dunia dan di akhirat. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah (amalan) kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Baqarah: 127)
Wallahu a‘lam.