#6261: Merendam Pakaian yang Terkena Air Liur Anjing

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya juga nak bertanya adakah boleh baju yang terkena air liur anjing direndam dengan air tanah, kemudian direndam sebanyak 6 kali dalam air mutlak. Adakah air itu boleh bertakung atau wajib mengalir semasa menyucikan pakaian?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, para ulama berbeza pendapat mengenai hukum kenajisan anjing. Ulama dalam kalangan mazhab Hanafi berpendapat, anjing bukanlah dianggap sebagai najis ‘ain, akan tetapi air lebihan yang diminumnya dan lembapannya adalah dikira sebagai najis. Selain itu, ulama dalam kalangan mazhab Maliki pula berpendapat, anjing adalah suci ‘ain. Mereka berhujah bahawa hukum asal sesuatu itu adalah suci. Justeru, setiap haiwan yang hidup — sekalipun anjing dan babi — adalah suci, termasuklah peluhnya, air matanya, hingusnya dan air liurnya juga dihukumkan sebagai suci, kecuali apa-apa yang keluar dari haiwan itu berupa telur, hingus, air mata atau air liur selepas ia mati tanpa disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Maka, ketika itu ia dikira sebagai najis dan hukum ini hanya terpakai pada haiwan yang bangkainya dianggap najis. Manakala ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan Hanbali pula berpendapat, anjing adalah najis ‘ain. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 35/129).

Rasululullah SAW bersabda:

إذا ولَغَ الكَلبُ في إناءِ أحدِكُم فلْيُرِقْهُ ثم ليَغسِلْهُ سَبعَ مَرّاتٍ

Maksudnya: “Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka tuanglah (yakni buang) air itu. Kemudian, basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali.”

Riwayat al-Nasa’i (66)

Hadith ini jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing itu. Dalam erti kata lain, jika ia bukan dianggap sebagai najis, sudah tentu tidak diperintahkan untuk menuangnya — yakni membuang baki air daripada sisa minum anjing — kerana perbuatan tersebut termasuk dalam merosakkan harta benda dan kita dilarang daripada mensia-siakan (membazir) harta.

Begitu juga dengan riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.

Riwayat Muslim (279)

Hadith ini juga jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing. Hal ini kerana kesucian itu datang selepas daripada hadas atau najis. Maka, dalam konteks di sini kesucian bekas itu daripada hadas adalah tidak mungkin. Justeru, jelaslah bahawa bekas itu disucikan daripada najis. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568).

Oleh itu jelaslah bahawa kenajisan anjing ini dikategorikan sebagai najis mughallazah iaitu najis jenis yang berat. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya dengan air tanah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak boleh untuk menyucikan najis mughallazah dengan hanya merendam di dalam baldi atau bekas takungan air yang tidak melebihi 2 kolah kerana ia akan menjadikan air tersebut air musta’mal yang tidak boleh digunakan untuk menyucikan.

Maka, Cadangan kami sekiranya mahu menyucikan najis mughallazah, maka ikutilah tatacara di bawah:

  1. Bersihkan/ buang dahulu ain najis seperti tahi, kencing dan seumpamanya.
  2. Basuh dengan menggunakan satu kali air tanah.
  3. Basuh dengan menggunakan air mutlak sebanyak enam kali.

Namun, sekiranya anda ingin membersihkan dengan  cara rendam, maka boleh untuk anda lakukannya di sungai kerana airnya yang mengalir yang sudah pasti melebihi 2 kolah. Begitu juga, tidak perlu untuk anda mengangkat pakaian tersebut sebanyak 6 kali kerana air tersebut mengalir. Maka, cukup dengan merendamnya sekitar 6 basuhan air mutlak selepas dibasuh dengan satu kali air tanah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *