Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Saya terfikir, adakah kita dikira berdosa jika kita menginspirasikan seseorang sehingga mereka melakukan dosa. Dalam konteks ini, kita tidak menghasut mahupun mengarah tetapi hanya dengan tingkah laku, sehingga menyebabkan orang lain terikut dengan dosa kita. Terima Kasih Dr.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba‘d:

Menginspirasikan orang lain berbuat sesuatu dengan tingkah laku adalah sama sahaja seperti mengajak dan menyuruh orang lain melakukan perkara tersebut.

Jarir bin ‘Abdullah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا، وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ، وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا، وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang merintiskan sebuah jalan/cara yang baik di dalam Islam, maka dia akan mendapat pahala amalannya tersebut berserta pahala orang yang mengamalkannya jua selepasnya, tanpa mengurangi sedikitpun pahala mereka. Sesiapa yang merintiskan sebuah jalan/cara yang buruk di dalam Islam, maka dia akan mendapat dosa amalannya tersebut, berserta beban dosa orang yang melakukannya jua selepasnya, tanpa mengurangi sedikitpun dosa mereka semua.”

Riwayat Muslim (1020)

Perbuatan مَنْ سَنَّ bermaksud “sesiapa sahaja yang merintiskan sebuah jalan/cara”. Perbuatan merintiskan sebuah jalan atau cara tidak semestinya dilakukan dengan arahan lisan, ia boleh terjadi dengan contoh tauladan dan tingkah laku semata-mata.

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas mengatakan: “Di dalam hadith ini terdapat anjuran untuk memulakan amalan kebaikan dan merintiskan sunnah yang baik dan mulia serta larangan dan ancaman mereka sebuah perbuatan buruk dan merintiskan sunnah (jalan/cara) yang buruk jua. Rasulullah menyebutkan hadith ini ketika melihat seorang lelaki memulakan langkah untuk bersedekah dengan begitu banyak, kemudian diikuti oleh orang ramai selepasnya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/104)

Hadith tersebut menunjukkan bahawa tindakan memberi inspirasi, mengajar dan mengajak orang boleh dilakukan menerusi tingkah-laku tanpa sebarang arahan, suruhan atau hasutan secara lisan. Cukup dengan menunjukkan contoh tauladan menerusi tindakan kepada orang ramai. Orang ramai akan mengikuti dan menirunya.

Begitu juga jika seseorang merintis sebuah perbuatan dosa, kemudian orang lain turut mengikutinya, maka dia turut mendapatkan bahagian dosa tersebut meskipun tidak mengarahkannya dengan jelas. Hal ini sepertimana keadaan salah seorang anak Nabi Adam A.S yang dikatakan bernama Qabil, apabila dia membunuh adiknya, Habil.

Dia tidak pernah mengarah atau menghasut orang lain untuk membunuh, tetapi dia tetap beroleh beban dosanya kerana merintis perbuatan dosa tersebut. ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تُقْتَلُ نَفْسٌ ظُلْمًا، إِلَّا كَانَ عَلَى ابْنِ آدَمَ الْأَوَّلِ كِفْلٌ مِنْ دَمِهَا؛ لِأَنَّهُ أَوَّلُ مَنْ سَنَّ الْقَتْلَ

Maksudnya: “Tidaklah terbunuh suatu jiwa pun melainkan anak Adam yang pertama kali membunuh itu pasti bakal mendapat saham dosanya juga, kerana dia orang yang pertama sekali membunuh.”

Riwayat al-Bukhari (3335)

Orang yang menginspirasikan orang lain berbuat dosa dengan tingkah lakunya akan turut mendapat dosa kerana merintiskan dosa tersebut, bahkan dikira mengajak dan mengajar orang lain untuk melakukan dosa.

Namun, jika dia bertaubat, dia tidak akan mendapat dosa itu lagi. Hal ini kerana orang yang bertaubat dan taubatnya diterima adalah seperti orang yang tidak pernah melakukan kesalahan tersebut. Demikian yang dinyatakan oleh Imam Ibn al-Mulaqqin. (Lihat al-Taudhih li Syarh al-Jami‘ al-Sahih, 19/288)

Kesimpulan dan Nasihat

Kesimpulannya, sebarang tindakan kita yang mendorong dan memberi inspirasi kepada orang lain dalam keadaan kita menyedarinya tanpa mengingkari; pasti beban dosa tersebut akan kita galas dan tanggung sekali bersamanya sebagai seorang perintis dan pemula.

Dalam masa yang sama, kami turut menasihatkan semua termasuklah diri kami supaya:

  1. Bersegera bertaubat dengan taubat nasuha setiap kali selepas berbuat dosa
  2. Sentiasa mencegah kemungkaran dan kemaksiatan meskipun kita penuh kekurangan
  3. Mencintai kebaikan, kebenaran dan cahaya petunjuk serta sekalian ahlinya.

Semoga Allah mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama dan kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, jua kebahagiaan di dunia dan di akhirat kelak. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَ حَبَّبْ إِلَيْنَا الْإِيمَانَ وَزَيِّنْهُ فِي قُلُوبِنَا، وَكَرِّهْ إِلَيْنَا الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الرَّاشِدِينَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah kami cintakan keimanan dan hiasilah hati kami dengannya, jadikanlah kami ini benci akan kekufuran, kefasikan dan kemaksiatan. Jadikanlah kami orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply