Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Apakah hukum menggunakan duit ayah yang nyanyuk tanpa meminta izinnya bagi membeli keperluan dirinya seperti perubatan. Apakah juga boleh digunakan untuk membeli keperluan barangan rumah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba‘d:

Memegang amanah bukanlah suatu perkara yang mudah. Ia merupakan beban dan tanggungjawab yang berat. Allah SWT mengarahkan agar kita bersikap jujur dan telus sepanjang memegang amanah, meskipun amanah tersebut adalah harta milik ahli keluarga terdekat sendiri.

Allah SWT berfirman:

 إِنَّ ٱللَّهَ یَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلۡأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰۤ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَیۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُوا۟ بِٱلۡعَدۡلِۚ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengarahkan kalian untuk menyerahkan amanah kepada ahli yang berkelayakan menggalasnya; dan apabila kalian berhukum dalam kalangan manusia, hendaklah kalian berhukum dengan adil.”

(Surah al-Baqarah: 58)

Imam Ibn Jarir al-Tabari berkata: “Yang dimaksudkan adalah setiap pemegang amanah sama ada amanah keagamaan mahupun amanah duniawi. Dalam kalangan mufassirin ada yang mengatakan ayat ini merupakan arahan untuk orang yang berhutang agar membayar hutang, dan orang memegang serta menguruskan harta orang lain, agar menyalurkannya kepada jalan yang tepat dan baik.” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Qur’an, 8/493)

Orang Nyanyuk Termasuk Golongan al-Mahjur ‘alaih

Orang yang nyanyuk termasuk dalam kategori orang yang bersifat da’if (lemah kemampuannya). Harta mereka ini harus diuruskan oleh wali iaitu penjaga dan pengurus kebajikan dirinya. Golongan ini digelar al-mahjur ‘alaih iaitu golongan yang harus dikawal hartanya.

Hal ini sepertimana yang dinyatakan di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman:

فَإِنْ كَانَ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لَا يَسْتَطِيعُ أَنْ يُمِلَّ هُوَ فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُ بِالْعَدْلِ

Maksudnya: “Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar)”.

(Surah al-Baqarah: 282)

Imam al-Syafi‘i menafsirkan ‘orang safih’ iaitu orang bodoh; sebagai mereka yang mudah membazir, ‘orang lemah’ sebagai kanak-kanak (belum mumayyiz), orang dewasa sebagai tua yang nyanyuk dan mereka yang hilang kewarasan akal. Allah memberitahu bahawa wali (penjaga) mereka perlu mengambil alih tugasan berkaitan. Hal ini membuktikan bahawa harta mereka perlu dikekang dan dikawal. Tafsiran ini dinukilkan oleh al-Khatib al-Syirbini. (Lihat Mughni al-Muhtaj li Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, 3/310)

Maka, sebagai anak yang bertanggungjawab menjaga dan menguruskan harta bapa yang nyanyuk; anda hanya boleh mengambil hartanya untuk meluangkannya pada kemaslahatan bapa anda sahaja.

Wali Guna Untuk Kemaslahatan Bapa

Bayaran kos ubat-ubatan dan barangan rumah yang berkaitan makanan beliau dan makanan ahli keluarga yang tinggal bersama satu rumah adalah termasuk kemaslahatan dan kebajikan beliau. Justeru, seseorang anak hanya boleh mengambilnya dengan kadar yang sepatutnya dan penuh berhati-hati. Tidak boleh menggunakannya untuk tujuan peribadinya, sekalipun dia merupakan anak kandungnya.

Imam al-Ramli menyatakan: “Prinsip asal; penjaga harta (wali) golongan al-mahjur ‘alaih mestilah menguruskan harta tersebut atas dasar maslahat pemilik asalnya.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 5/318)

Imam Abu Ishaq al-Syirazi menegaskan: “Nazir (pemegang amanah) tidak berhak membelanjakan harta al-mahjur ‘alaih (orang yang dikekang hartanya) melainkan secara teliti dan berhati-hati. Bahkan dia tidak berhak membelanjakannya melainkan pada perkara yang mempunyai keuntungan dan kemaslahatan (buat pemilik asal iaitu orang yang dikekang hartanya itu).” (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Syafi‘i, 2/162)

Penjaga adalah wakil bagi pemilik asal. Imam Ibn al-Rif‘ah berkata: “Penjaga harta perlulah memelihara dengan berhati-hati sentiasa dan bersikap lebih waspada kerana dia sedang menguruskan harta orang lain dengan izin pemilik asal. Dia ibarat wakil bagi pemilik asal.” (Lihat Kifayah al-Nabih fi Syarh al-Tanbih, 11/119)

Berdasarkan pernyataan para ulama di atas, mereka menegaskan sebuah kaedah tuntas menjelaskan prinsip apabila seseorang diamanahkan mengurus hak milik orang lain dengan menyatakan:

تَصَرُّفُ حَقِّ الْغَيْرِ إِنَّمَا يَكُونُ بِالْأَحْسَنِ

Maksudnya: “Apabila kita diberi amanah menguruskan harta orang lain, maka hendaklah kita menyalurkannya kepada perkara yang terbaik.”

Kesimpulan

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa anak dibolehkan untuk mengambil sebahagian duit ayahnya yang sudah nyanyuk untuk membeli barang keperluan diri ayahnya seperti perubatan, makanan dan minuman di rumah untuk ahli keluarga yang secara asalnya berada di bawah tanggungannya dan lain-lain keperluan asasi rumah yang berkaitan secara langsung dengan kehidupannya. Ia dikira termasuk dalam perbuatan menyalurkan harta pemilik harta yang asal (ayahnya yang nyanyuk) kepada jalan yang benar. Ini kerana ayahnya sudah termasuk dalam golongan mahjur ‘alaih iaitu mereka yang tidak dibenarkan untuk menguruskan hartanya sendiri kerana ketidakmampuannya untuk menguruskan harta tersebut, sebaliknya ia hendaklah diuruskan oleh penjaga dan pengurus kebajikan dirinya.

Adapun menggunakan hartanya untuk kegunaan peribadi si anak, maka tidak dibolehkan jika dilakukan tanpa keizinan, walaupun dia merupakan darah daging atau kaum keluarga kerabatnya. Ingatlah dan sentiasalah bertaqwa kepada Allah SWT dalam urusan harta orang lain. Allah sentiasa memberkati dan melindungi orang-orang yang jujur, amanah, telus dan berintegriti. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply