Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum azan ketika menyambut tahun baru?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba‘d:

Ringkasnya, hukum azan sempena tahun baharu adalah makruh dan wajar dielakkan berdasarkan kaedah dan usul mazhab al-Syafi‘i.

Allah SWT berfirman:

وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلࣰا مِّمَّن دَعَاۤ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَـٰلِحࣰا وَقَالَ إِنَّنِی مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِینَ

Maksudnya: “Siapakah yang lebih baik perkataannya berbanding orang yang menyeru ke jalan Allah dan beramal soleh serta mengatakan: “Sesungguhnya saya termasuk dalam kalangan orang-orang Muslim.”’

(Surah Fussilat: 33)

Imam Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan dengan sanad beliau, bahawa Qais bin Hazim menafsirkan “orang yang menyeru ke jalan Allah” di dalam ayat di atas adalah muazzin, iaitu orang yang melaungkan azan. (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Qur’an, 21/469)

Mu‘awiyah bin Abu Sufyan R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْمُؤَذِّنُونَ أَطْوَلُ النَّاسِ أَعْنَاقًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Orang yang melaungkan azan adalah orang yang paling panjang lehernya di hari kiamat kelak.”

Riwayat Muslim (387)

Imam al-Nawawi mensyarahkan: “Dikatakan maknanya adalah: tukang azan itu merupakan orang yang paling rindu kepada Allah dan paling tinggi harapannya terhadap rahmat kasih-sayang Allah SWT. Hal ini kerana, orang yang paling berharap dan paling tinggi kerinduannya akan meninggikan lehernya untuk melihat dan mencari sesuatu yang diharapkan dan dirindui tersebut. Maka maknanya adalah: lehernya panjang untuk melihat betapa banyaknya pahala yang telah disediakan untuknya (tukang azan).” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/92)

Waktu Azan Dikumandangkan

Takrif azan di sisi Imam Ibn Hajar al-Haitami adalah:

“Zikir khusus yang disyariatkan secara asalnya untuk memberitahu kepada orang ramai tentang masuk waktu waktu solat-solat fardu.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 1/460)

Imam ‘Abd al-Hamid al-Syarwani berkata: “Perkataan beliau (Syeikh Ibn Hajar al-Haitami) “secara asalnya” adalah untuk mengisyaratkan bahawa ada juga keadaan yang dituntut untuk melaungkan azan meskipun di luar waktu seperti azan di telinga orang yang sedang berduka (kerana putus cinta) dan lain-lain sebab (yang diriwayatkan).” (Lihat Hasyiah al-Syarwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj, 1/460)

Berdasarkan takrif di atas, kita tahu bahawa:

  • Azan adalah zikir yang khusus, ditetapkan oleh dalil syara’ (tauqifi)
  • Azan disyariatkan ketika masa yang khusus dan tertentu.
  • Antara masa tersebut adalah: ketika masuk waktu solat, azan di telinga orang yang sedang berduka dan lain-lain sebab yang disebut di dalam athar.

Berdasarkan pernyataan ini, terdapat waktu dan keadaan khusus untuk melaungkan azan.

Imam Zainuddin al-Malibari mengatakan: “Disunatkan untuk mengumandangkan azan di beberapa tempat selain ketika masuk waktu solat, iaitu ketika:

  • Di telinga orang yang kemurungan
  • Di telinga orang yang dirasuk dan mengamuk
  • Di telinga orang yang terlalu marah
  • Di telinga orang atau haiwan yang buruk atau kasar perangainya
  • Ketika berlakunya api marak dan kebakaran
  • Ketika hantu atau syaitan menjelma di hadapan
  • Di belakang rombongan musafir ketika hendak pergi
  • Di telinga kanan bayi, dan iqamah di telinga kiri bayi.”

(Lihat Fath al-Mu‘in bi Syarh Qurrah al-‘Ain, hal. 150)

Syeikh Daud al-Fatani mengatakan: “Disunatkan bang (azan) selain solat 5 waktu seperti pada waktu:

  • Dibangkan pada telinga orang yang banyak percintaan kerana menghilang bagi percintaan.
  • Pada orang dan binatang yang jahat perangainya
  • Telinga orang yang dimasuk oleh syaitan
  • Telinga orang yang sangat marah
  • Tatkala kebakaran
  • Tatkala berdempik (bertembung) tentera peperangan
  • Bang dan iqamat di belakang orang yang musafir
  • Apabila sangat keras kejahatan jin kerana bang itu menolakkan ia akan kejahatan kerana syaitan apabila mendengar bang berpaling ia lari.”

(Lihat Bughyah al-Tullab li Murid Ma‘rifah al-Ahkam bi al-Sawab, hlm. 174)

Berdasarkan senarai keadaan sunat azan di atas, tidak ada satu pun yang menganjurkan untuk mengumandangkan azan ketika menjelang detik tahun baharu, sama ada tahun baharu Syamsiyah (Gregorian/Masihi) atau Qamariyah (Hijri).

Azan Tahun Baharu

Melaungkan azan di luar waktu-waktu yang disenaraikan di atas adalah tidak disunatkan bahkan dihukum makruh oleh para ulama, terutamanya ulama mazhab al-Syafi‘i.

Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Azan disyariatkan untuk dikumandangkan ketika masuknya waktu untuk mendirikan solat fardu; bukan untuk solat-solat yang dinazarkan, solat jenazah mahupun solat sunat, sekalipun solat sunat yang disyariatkan untuk berjemaah. Azan untuk solat-solat ini adalah tidak disunatkan bahkan makruh, kerana anjuran berkenaannya tidak warid di dalam dalil-dalil syara’, meskipun ada tempat dianjurkan untuk laungkan azan selain waktu solat (seperti yang disenaraikan di atas).” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 1/461)

Ada yang cuba untuk melaungkan azan ketika menurunkan jenazah di liang lahad, berhujahkan qiyas. Mereka mengkiaskan sepertimana detik awal hayat manusia ketika lahirnya, dia diperdengarkan azan, maka begitu juga detik terakhir hidupnya di dunia sebelum dikambus tanah.

Namun, amalan ini dan penghujahannya dikritik oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami. Beliau berkata: “Pandangan ini amat lemah, kerana tiada ruang qiyas dalam perkara ini meskipun qiyas tersebut sahih. Apatahlagi jika qiyas itu rosak (fasid) kerana tiada perkaitan yang tepat.” (Lihat manuskrip al-I‘ab Syarh al-‘Ubab, hlm. 243)

Kesimpulan

Hukum melaungkan azan sempena tahun baharu adalah makruh, tidak digalakkan. Azan adalah ibadah yang bersifat tauqifi (memerlukan dalil) dalam tatacara dan perlaksanaannya, termasuklah waktu mengumandangkannya.

Tiada sebarang dalil yang sahih dan jelas mengarahkan azan sempena tahun baharu, malah hal ini boleh mengelirukan masyarakat awam. Amalan ini seharusnya dielakkan. Oleh yang demikian, hendaklah seseorang yang ingin melaksanakan sesuatu amalan memastikan amalan tersebut adalah bersandarkan amalan yang sahih yang dianjurkan oleh syarak. Walaupun begitu, jika azan tahun baharu hijrah yang dimaksudkan selepas masuk waktu maghrib, sebagai tanda masuk waktu maghrib, maka ia tidaklah menjadi kesalahan kerana azan dikumandangkan menandakan masuknya waktu maghrib yang juga dianggap sebagai malam pertama bagi tahun baharu hijrah.

Semoga Allah SWT mengurniakan kefaqihan dalam beragama dan kekuatan untuk melaksanakan amal soleh kepada kita semua. Kami akhiri dengan doa:

وَقُل رَّبِّ أَدۡخِلۡنِي مُدۡخَلَ صِدۡقٖ وَأَخۡرِجۡنِي مُخۡرَجَ صِدۡقٖ وَٱجۡعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلۡطَٰنٗا نَّصِيرٗا

Maksudnya: “Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, masukkan aku ke dalam tempat masuk yang benar dan keluarkan aku daripada tempat keluar yang benar. Dan berikan aku kekuasaan serta pertolongan daripada sisi-Mu.”

(Surah al-Isra’: 80)

Wallahu a ‘lam.

Leave a Reply