Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, berjemaah sunat terawih dengan isteri OKU di rumah atau berjemaah di masjid. Mana lebih baik? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba‘d:
Solat Terawih merupakan salah satu ibadat solat sunat yang dituntut bagi umat Islam untuk melaksanakannya khususnya di bulan Ramadan yang penuh berkat. Ganjaran melakukannya adalah begitu agung dan besar, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A; beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.”
Riwayat al-Bukhari (37)
Imam al-Nawawi menjelaskan hadith di atas, berkata: “Qiyam Ramadan adalah solat Terawih yang dilaksanakan pada tiap-tiap malamnya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/377)
Dianjurkan untuk melaksanakan solat Terawih secara berjemaah di masjid, terutamanya bagi ahlinya iaitu lelaki Muslim yang baligh dan berakal; menurut pendapat muktamad mazhab al-Syafi‘i.
Imam al-Nawawi turut berkata: “Dan dibolehkan (solat tarawih itu dilakukan) secara bersendirian dan juga secara berjemaah. Berkenaan yang manakah yang lebih afdhal antara keduanya; terdapat dua pendapat yang masyhur sebagaimana yang disebutkan oleh penulis kitab asal dan dinukilkan oleh majoriti (al-Syafi‘iyyah), yang sahih menurut persepakatan ashab, (Terawih) secara berjemaah itu adalah lebih afdhal.” (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/31)
Adapun bagi suami yang hendak melaksanakan solat Terawih secara berjemaah di masjid dan dia mempunyai isteri yang berstatus OKU (Orang Kelainan Upaya/Orang Kekurangan Upaya), kami jelaskan hukumnya dengan dibahagikan kepada tiga keadaan:
- Sekiranya isteri OKU itu mampu pergi ke masjid bersama-sama suami, tidak memudaratkan atau menyusahkan orang lain.
Jika isteri OKU tersebut boleh pergi ke masjid tanpa memudaratkan/menyusahkan dirinya sendiri atau orang sekelilingnya, maka dibenarkan untuk pergi untuk menunaikan solat Terawih secara berjemaah di masjid bersama suaminya.
Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Dibenarkan untuk wanita bersolat berjemaah di masjid, sekiranya aman daripada fitnah. Berdasarkan hadith: “Janganlah kalian menghalang hamba perempuan Allah daripada menghadiri rumah Allah (masjid-masjid).” Namun, sekiranya ia mendorong kepada fitnah, khususnya jika wanita itu berhias atau bersolek, atau menarik perhatian; maka hukumnya menjadi makruh. Apapun, adalah lebih baik bagi wanita untuk menunaikan solat berjemaah di rumah. Ini lebih memelihara dan menjaga maruah dirinya daripada sebarang gangguan dan tohmahan awam.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/252)
Namun, solat wanita di rumahnya adalah lebih baik. Hanya lelaki yang dituntut pergi ke masjid/surau. Dibenarkan wanita untuk mengikuti suami ke masjid/surau, lebih-lebih lagi wanita yang terlalu bergantung kepada suaminya.
- Sekiranya isteri OKU tersebut tinggal di rumah dan boleh menguruskan diri sendiri, atau ada orang lain yang boleh menjaga dan menguruskannya.
Jika isteri OKU itu boleh berdikari sementara tempoh suaminya pergi ke masjid, atau ada orang lain yang boleh menjaganya; maka dianjurkan untuk si suami pergi menunaikan solat Terawih berjemaah di masjid, sepertimana para lelaki dituntut untuk melaksanakan solat fardhu secara berjemaah di masjid.
Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Pendapat yang asah (paling sahih di dalam mazhab al-Syafi‘i) adalah disunatkan untuk melaksanakan solat Terawih secara berjemaah; berdasarkan perbuatan sahabat Nabi SAW khususnya Saidina ‘Umar bin al-Khattab R.A.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/240)
Imam ‘Abd al-Hamid al-Syarwani berkata: “Mereka (para Sahabat) ketika zaman ‘Umar R.A kembali menghidupkan perlaksanaan solat Terawih (secara berjemaah) di masjid.” (Lihat Hasyiah al-Syarwani ‘ala al-Tuhfah, 2/241)
Dalam keadaan ini, dianjurkan bagi suami untuk pergi menunaikan solat Terawih berjemaah di masjid. Tuntutan terawih berjemaah di masjid menghimpunkan keutamaan berjemaah dan keutamaan waktu yang agung, iaitu Ramadan. Ia tidak datang setiap malam, hanya ada pada musim tertentu sahaja. Sewajarnya fadhilat ini dikejar dan diutamakan, apabila keadaan mengizinkan.
- Sekiranya isteri OKU memerlukan penjagaan rapi, meninggalkannya sendirian hanya mendatangkan kemudaratan, dan hanya suami seorang sahaja yang ada untuk menjaganya.
Jika isteri OKU memerlukan penjagaan rapi dan hanya suami sahaja yang ada untuk menjaganya, tiada orang lain; maka suami harus mengutamakan penjagaan isteri. Suami harus menunaikan solat sunat Terawih secara berjemaah bersama si isteri di rumah.
Takut-takut jika berlaku sebarang perkara yang menyusahkan atau kurang menyenangkan berlaku jika isteri dibiarkan tanpa pengawasan atau penjagaan. Dibenarkan untuk suami yang menjaga keselamatan dan kebajikan jiwa seperti ini, untuk bahkan meninggalkan solat fardu berjemaah di masjid. Apatahlagi solat sunat semata.
Seorang lelaki dibenarkan untuk meninggalkan solat fardhu berjemaah di masjid kerana takutkan sesuatu yang buruk atau menyusahkan bakal menimpa sama ada ke atas nyawa atau harta dirinya dan juga ahli keluarganya.
Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari berkata: “Dibenarkan untuk meninggalkan solat berjemaah kerana takutkan (atas nasib) nyawa atau maruah yang dipelihara dan dijamin oleh syariat (maksum).” (Lihat Fath al-Wahhab bi Syarh Minhaj al-Tullab, 1/71)
Imam al-Damiri berkata: “Dibenarkan untuk meninggalkan solat berjemaah kerana uzur, ‘Abdullah bin ‘Abbas R.A menafsirkan uzur bermaksud rasa takutkan sesuatu. Yang dimaksudkan adalah takut terhadap keselamatan jiwa dan harta yang dijamin oleh syarak.” (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 2/340)
Nyawa dan keselamatan si isteri yang OKU tersebut adalah di bawah jaminan dan peliharaan syarak. Maka sekiranya bertembung antara menjaga isteri OKU dengan solat berjemaah, maka boleh untuk mengutamakan penjagaannya berbanding solat berjemaah.
Jika itu keadaannya berhubung solat fardhu, maka lebih-lebih lagi anjuran berjemaah untuk solat sunat gugur kerana kepentingan si isteri yang kurang berkemampuan ini. Hendaklah si suami menunaikan solat Terawih secara berjemaah bersama isteri OKU di rumah. Kedua-duanya tetap mendapat pahala Qiyam Ramadan dan pahala berjemaah bersama-sama.
Kesimpulan
Kesimpulannya, menunaikan solat sunat terawih secara berjemaah bersama isteri berstatus OKU di rumah adalah lebih baik jika isteri itu memerlukan bantuan atau pemantauan, dan tiada orang lain yang dapat menjaga si isteri tersebut.
Hal ini kerana ia lebih menjamin keselamatan dan kebajikan si isteri tersebut. Ini amat dititikberatkan oleh syariat Islam hingga syariat membenarkan penjaganya untuk tidak hadir solat berjemaah di masjid.
Melainkan jika ada orang lain yang boleh menjaga si isteri sebut. Maka, dianjurkan untuk lelaki untuk mengutamakan peluang bersolat Terawih secara berjemaah di masjid dan surau, kerana pahala berjemaah di masjid lebih besar dan lebih agung di sisi Allah SWT, khususnya di bulan Ramadan.
Semoga Allah mengurniakan kekuatan untuk melaksanakan amal soleh dan ketaatan khususnya di bulan yang suci dan mulia, Ramadan Mubarak. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun lagi Maha Pemurah dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.”
Wallahu a‘lam.