Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, bolehkah Dato Seri jelaskan tentang syarahan hadith Nabi SAW melarang bertanya umur orang? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba‘d:

Dalam menjawab soalan di atas, kami tidak menjumpai sebarang hadith yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW berkenaan larangan bertanya umur orang; sama ada hadith sahih, dha’if mahupun hadith yang maudhu’ (palsu).

Sewajarnya kita lebih berhati-hati dalam menisbahkan sebarang perkara kepada Baginda Rasulullah SAW, agar tidak terjerumus ke jurang dosa berdusta atas nama Baginda yang agung dan suci. Perkara ini senada dengan hadith al-Mughirah bin Syu‘bah yang meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

إنَّ كَذِبًا عَلَيَّ ليسَ كَكَذِبٍ على أَحَدٍ، مَن كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya berdusta atas namaku tidak sama dengan berdusta atas nama orang selain (manusia biasa). Sesiapa yang berdusta atas namaku, maka bersiap sedialah untuknya sebuah tempat duduk di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (1291)

Setakat yang kami jumpai tentang larangan memberitahu umur dan larangan bertanya umur; ia merupakan perkataan Imam al-Syafi‘i yang bersumberkan perilaku dan sikap peribadi Imam Malik bin Anas, semoga Allah merahmati kedua-dua imam yang hebat dan agung ini.

Hal ini berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Imam Abu Nu‘aim al-Asbahani menerusi sanadnya daripada Imam al-Rabi‘ bin Sulaiman al-Muradi bahawa:

سَأَلَ رَجُلٌ الشَّافِعِيَّ عَنْ سِنِّهِ، فَقَالَ: ” لَيْسَ مِنَ الْمُرُوءَةِ أَنْ يُخْبِرَ الرَّجُلُ بِسِنِّهِ، سَأَلَ رَجُلٌ مَالِكًا عَنْ سِنِّهِ فَقَالَ: أَقْبِلْ عَلَى شَأْنِكَ

Maksudnya: “Seorang datang bertanyakan kepada Imam al-Syafi‘i tentang berapakah umurnya. Imam al-Syafi‘i membalas: ‘Bukanlah suatu sikap yang bermaruah bagi seseorang untuk memberitahu tentang umurnya. Seorang lelaki pernah bertanya Imam Malik tentang berapakah umurnya, Malik membalas: Jaga urusan kamu sendiri sudahlah.’”

Riwayat Abu Nu‘aim di dalam Hilyah al-Auliya’ (2/129)

Namun, Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi, salah seorang ulama mazhab Maliki; mempunyai pendirian yang berbeza. Beliau memberi komentar terhadap nasihat ini, beliau menyatakan: “Sebahagian pihak meriwayatkan daripada Imam Malik bahawa beliau berkata: “Bukanlah suatu sikap yang bermaruah bagi seseorang untuk memberitahu orang lain tentang umurnya; kerana jika umurnya muda, orang yang memandang rendah akan dirinya. Jika terlalu tua, maka orang akan memandangnya sebagai lemah.” (Imam al-Qurtubi berkata): Ini merupakan pendapat yang dha’if. Hal ini kerana, Imam Malik sendiri memberitahu tentang umur Rasulullah SAW dalam keadaan beliau menyembunyikan umur dirinya sendiri. Sedangkan beliau adalah salah satu ulama teragung yang dijadikan ikutan dan pedoman. Maka, tiada masalah untuk memberitahu umur kita kepada sesiapa; sama ada umurnya muda atau tua.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, 20/195)

Kesimpulan

Konklusinya, larangan bertanya atau memberitahu umur ini tidak thabit dan tidak sahih daripada Nabi Muhammad SAW mahupun para Sahabat dan para Tabi‘in. Sebaliknya, larangan memberitahu umur dan nasihat agar tidak bertanya tentang umur ini diriwayatkan daripada perkataan Imam al-Syafi‘i dan sikap gurunya, Imam Malik bin Anas.

Kami berpandangan, jika maklumat berkenaan umur atau tarikh lahir diperlukan untuk sebarang urusan penting dan kemaslahatan duniawi mahupun ukhrawi; maka bertanya dan memberitahu jumlah umur adalah tidak mengapa, bahkan boleh menjadi dituntut. Jika umur ditanya dalam keadaan niat hendak memperlekehkan umur seseorang, atau sekadar perbualan sia-sia, maka yang demikian ini sewajarnya dielakkan dan dihindari. Bertanyalah perkara yang lebih bermanfaat, dan bercakaplah dengan kebaikan dan kerendahan hati semata-mata.

Semoga Allah mengurniakan keindahan akhlak dan peribadi serta kekuatan untuk melaksanakan amal soleh yang diredhai-Nya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَ حَبَّبْ إِلَيْنَا الْإِيمَانَ وَزَيِّنْهُ فِي قُلُوبِنَا، وَكَرِّهْ إِلَيْنَا الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الرَّاشِدِينَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah kami cintakan keimanan dan hiasilah hati kami dengannya, jadikanlah kami ini benci akan kekufuran, kefasikan dan kemaksiatan. Jadikanlah kami orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply