Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum azan sebelum tanam uri kerana ada sebuah video yang viral sebelum ini di sosial media. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh…”

(Surah al-Fussilat: 33)

‘Aisyah R.Anha berkata, “Mereka yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah tukang azan (muazzin). Ketika dia mengumandangkan kalimat ‘حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ’, sesungguhnya dia telah mengajak kepada Allah.”   (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 5/731; al-Iklil fi Istinbat al-Tanzil, hlm. 228; al-Asas fi al-Tafsir, 9/5047)

Ibn Kathir berkata: “Tidak ada seorang pun yang paling baik perkataannya daripada orang yang mengajak saudaranya untuk beribadah kepada Allah, beramal soleh dan mengatakan, “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang beriman.”

Ayat tersebut berlaku umum, bagi setiap orang yang mengajak kepada kebaikan, yang secara peribadi telah menjadi baik. Rasulullah adalah orang yang telah memiliki keutamaan dalam hal ini. Baginda adalah orang yang mencintai kebaikan bagi dirinya dan juga orang lain. Sehingga beliau layak dijadikan sebagai imam dalam berdakwah kepada Allah.

Ayat tersebut juga sesuai dengan keadaan para muazzin yang selalu mengumandangkan azan serta mengingatkan orang untuk beramal soleh (mendirikan solat). (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 5/731)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan azan merupakan syiar Islam yang penting dan ia disyariatkan bagi tujuan memberitahu kepada orang ramai tentang masuknya waktu solat fardhu lima waktu. Selain itu, azan juga berfungsi menyeru umat Islam untuk datang ke masjid dan menunaikan solat secara berjemaah. Ia adalah panggilan yang mengingatkan dan mengajak umat Islam untuk melaksanakan salah satu kewajipan utama dalam agama.

Hal ini sebagaimana yang diriwayatakan daripada  Malik bin al-Huwairith R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ

Maksudnya: “Maka apabila waktu solat telah masuk, hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan.”

Riwayat al-Bukhari (628)

Syeikh Abdullah bin Hamid menyatakan, para fuqaha telah bersepakat mengenai pensyariatan azan dan iqamah secara umumnya, dan kedua-duanya termasuk dalam syiar zahir bagi agama Islam. Kalaulah penduduk suatu tempat bersepakat untuk meninggalkan kedua-duanya, maka mereka hendaklah diperangi. Sesungguhnya telah dinukilkan ijma‘ ulama ke atas perkara tersebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Qurtubi, Imam al-Nawawi dan lain-lain. (Lihat Ikhtiyarat al-Syeikh Abdullah bin Hamid wa Ara’uhu al-Fiqhiyyah, 1/244).

Terdapat juga keadaan yang disunatkan untuk dilaungkan azan antaranya ialah melaungkan azan di telinga bayi. Yang demikian berdasarkan sebuah hadith riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi daripada Abi Rafi’ daripada ayahnya RA:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَذَّنَ فِي أُذُنِ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ – حِينَ وَلَدَتْهُ فَاطِمَةُ – بِالصَّلاَةِ

Maksudnya: “Aku telah melihat Rasulullah SAW telah mengazankan pada telinga al-Hasan bin ‘Ali iaitu setelah Fatimah melahirkannya dengan azan solat.”

Riwayat Abu Daud (5105) dan al-Tirmizi (1514)

Ianya adalah pendapat golongan mutaakhirin dari al-Hanafiyyah dan al-Malikiyyah dan ianya juga adalah qaul dari al-Syafi’iyyah dan juga al-Hanabilah. (Lihat al-Bahr al-Ra’iq, 1/272; Radd al-Mukhtar, 1/385; al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/325; Mughni al-Muhtaj, 1/134; al-Mughni, 13/401 dan Syarh Muntaha al-Iradaat, 1/130-131 )

Menurut al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah: terkadang azan disunatkan untuk dikumandangkan pada selain solat, seperti azan di telinga bayi yang baru lahir, orang yang kesusahan, orang yang pengsan, orang yang marah, orang yang buruk perangainya sama ada manusia atau haiwan, ketika pasukan berperang, ketika berlaku kebakaran. Dikatakan juga ketika menurunkan jenazah ke dalam kubur dengan mengqiyaskannya terhadap waktu pertama kemunculannya ke dunia. Namun saya menolak pendapat ini sebagaimana yang termaktub dalam kitab Syarah al-‘Ubab. Disunahkan juga mengumandangkan azan ketika seseorang kerasukan jin berdasarkan hadith sahih, begitu juga azan dan iqamah ketika ingin bermusafir.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj, 1/330).

Justeru dalam isu, kami tidak menemui sebarang dalil atau amalan sahabat yang mengumandangkan azan sebelum proses penanaman mayat atau janin. Oleh itu, kami berpendapat bahawa amalan melafazkan azan tidak perlu dilakukan kecuali dalam situasi-situasi yang telah disebutkan sebelum ini. Kami ingin menasihati di sini bahawa setiap amalan yang ingin dilaksanakan haruslah selaras dengan apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan mematuhi tuntutan syarak.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Wallahua‘lam.

Leave a Reply