Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum guna pintu ada kalimah Allah atau Muhammad pada tingkat bawah untuk rumah dua tingkat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, seseorang Muslim hendaklah memuliakan Allah dan Rasul-Nya, Muhammad SAW, serta tidak melakukan sesuatu yang boleh dilihat merendahkan atau menghina kedudukan Allah SWT mahupun Baginda SAW. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ لَعَنَهُمُ ٱللَّهُ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًۭا مُّهِينًۭا ٥٧ وَٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ بِغَيْرِ مَا ٱكْتَسَبُوا۟ فَقَدِ ٱحْتَمَلُوا۟ بُهْتَـٰنًۭا وَإِثْمًۭا مُّبِينًۭا

Maksudnya:Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya. Allah akan melaknatinya di dunia dan di akhirat, dan menyediakan baginya siksa yang menghinakan. Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.”

(Surah al-Ahzab: 57-58)

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebutkan bahawa Allah SWT memperingatkan dan mengancam orang yang menyakiti Allah dengan menentang perintah-perintah-Nya dan melanggar larangan-larangan-Nya serta tiada henti-hentinya melakukan hal tersebut, juga menyakiti Rasul-Nya dengan mencelanya atau merendahkan martabatnya. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/480).

Begitu juga Allah SWT berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُّهِينًا

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredhai Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.

(Surah al-Ahzab: 57)

Ibn Kathir menyebutkan dalam tafsirnya, Allah SWT menjauhkan mereka daripada rahmat-Nya di dunia dan di akhirat, serta menjanjikan mereka di akhirat nanti azab yang menghinakan dan mereka kekal di dalam azab itu selama-lamanya. (Lihat Tafsir Ibn Kathir,  6/480).

Seterusnya, berbalik kepada soalan di atas, kami katakan bahawa tidak mengapa menggunakan pintu yang ada kalimah “Allah” dan “Muhammad” di tingkat bawah bagi rumah dua tingkat selagi mana tidak bertujuan untuk menghina atau merendahkannya. Ini selari dengan kaedah yang menyebutkan:

 الأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara itu dinilai berdasarkan niat.”

Lebih-lebih lagi, tingkat bawah dan tingkat atas sebenarnya terpisah dan tidak bersekali. Dalam erti kata lain, kedua-dua tingkat itu sebenarnya seolah-olah seperti dua buah rumah yang berasingan. Justeru, tidak ada masalah selagi mana kalimah “Allah” dan “Muhammad” diletakkan di tempat yang sesuai dan tujuan nama itu diletakkan bukanlah untuk merendahkan atau menghinanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Leave a Reply