Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, saya ingin bertanyakan soalan, adakah disunatkan juga untuk melakukan akikah pada anak tidak sah taraf? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Aqiqah dan Hukum Melakukannya

Akikah dari segi bahasa bermaksud nama bagi rambut bayi ketika lahir. Rambut tersebut dinamakan demikian kerana ia dicukur atau dipotong. Dari sudut istilah syarak pula bermaksud binatang yang disembelih sempena rambut bayi dicukur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/55 dan al-Minhaj al-Qawim, Ibn Hajar al-Haitami, hlm. 482)

Dalam erti kata lain, aqiqah bermaksud penyembelihan binatang korban sebagai tanda syukur di atas kelahiran anak beserta niat dan syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/276)

Hukum bagi pelaksanaan aqiqah ialah sunat muakkad bagi yang berkemampuan. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/426)

Asal pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى

Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya.”

Riwayat al-Bukhari (2839)

Ia sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi tersebut di samping memberikan nama yang baik dan juga mencukur rambut bayi tersebut. Ini berdasarkan sabda Baginda SAW yang diriwayatkan  daripada Samurah RA:

الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Penyembelihan aqiqah dilakukan pada hari yang ketujuh selepas kelahirannya, dalam masa yang sama diberikan nama dan dicukur rambutnya.”

Riwayat Abu Daud (1522)

Berdasarkan hadis di atas, penetapan hari ketujuh merupakan hari yang disunatkan sahaja. Sekiranya ada pihak yang ingin melakukan sebelum hari ketujuh ataupun selepasnya, pahala aqiqah tetap dikira di sisi mazhab Syafi’iyyah. (Lihat al-Majmu’, 8/431)

Syeikh Zakariyya al-Ansari menyebut di dalam kitabnya, bahawa waktu untuk melakukan aqiqah adalah bermula daripada kelahiran bayi tersebut sehinggalah waktu mencapai usia baligh. (Lihat al-Ghurur al-Bahiyyah, 5/171)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa ibu bapa yang menyambut kelahiran baru disunatkan untuk melaksanakan akikah sebagai ungkapan rasa syukur atas anugerah kelahiran tersebut. Namun, dalam konteks ini, anak yang tidak sah taraf disunatkan kepada ibunya untuk melaksanakan akikah baginya. Ini kerana nasab anak kepada ibunya tetap terjaga dalam semua keadaan kelahiran, sama ada secara syar’i atau sebaliknya.

Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada daripada Samurah RA bahawa baginda bersabda :

الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Penyembelihan aqiqah dilakukan pada hari yang ketujuh selepas kelahirannya, dalam masa yang sama diberikan nama dan dicukur rambutnya.”

Riwayat Abu Daud (1522)

Begitu juga hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ummu Kurzi al-Khiuza’iyyah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 عَنِ الغُلَامِ شَاتَانِ، وَعَنِ الْأنثىَ وَاحِدَةٌ

Maksudnya: “Akikah bagi anak lelaki dua ekor kambing yang setara dan bagi anak perempuan pula seekor kambing.”

Riwayat Abu Dawud (2835)

Dapat difahami melalui kedua-dua hadith ini berkaitan anjuran melakukan akikah adalah berbentuk umum iaitu dianjurkan untuk dilakukannya seamada ana tersebut dari hasil perhubungan yang sah di sisi syarak mahupun tidak. Yang demikian juga telah disebutkan dalam Fatwa al-Lajnah al-Daimah (10/454) bahawa: Perintah akikah di dalamnya menunjukkan keumuman.

Imam al-Ramli dalam isu ini meneyebutkan bahawa: Dan anak zina berada dalam nafkah ibunya, maka disunatkan baginya untuk melakukan akikah untuk anak tersebut dan tidak wajib melakukan perkara yang boleh mendedahkan aib. (Lihat Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, 8/146)

Begitu juga Syeikh bin Baz manyatakan bahawa: Disunatkan bagi ibu tersebut untuk melakukan akikah untuk anaknya, dan dia wajib menafkahi anak tersebut jika mampu. Jika tidak mampu, anak tersebut diserahkan kepada pengasuh-pengasuh di negara. Jika dia mampu, dia harus membesarkan dan menjaga anak tersebut dengan baik, serta melakukan akikah untuknya. Dia juga wajib membesarkan anak tersebut dan bertaubat kepada Allah atas perbuatannya, kerana anak tersebut dinisbahkan kepadanya.

Lelaki yang berzina dengannya wajib bertaubat, tetapi tidak ada kewajipan nafkah baginya. Anak tersebut bukanlah anaknya, melainkan anak zina. Lelaki tersebut wajib bertaubat kepada Allah, dan anak tersebut dinisbahkan kepada ibunya, serta ibu wajib menafkahi anak tersebut[1]

Justeru kami katakan bahawa anak yang baru lahir disunatkan untuk melaksanakan akikah baginya, walaupun status kelahiran anak tersebut tidak sah taraf. Anjuran ini ditujukan kepada ibu yang melahirkan kerana anak yang tidak sah taraf ini dinasabkan kepada ibunya dan bukan kepada ayahnya, dan ibu tersebut bertanggungjawab untuk memberikan nafkah kepadanya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan:74)

Wallahu A’lam

Nota Hujung:

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/20094/%D8%AD%D9% Diakses pada 9 Julai 2025

Leave a Reply