Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, bagaimana Saidina Umar ibn al-Khattab R.A berhijrah ke Madinah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللَّهِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ (20) يُبَشِّرُهُمْ رَبُّهُم بِرَحْمَةٍ مِّنْهُ وَرِضْوَانٍ وَجَنَّاتٍ لَّهُمْ فِيهَا نَعِيمٌ مُّقِيمٌ (21) خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisi-Nya pahala yang besar.”

(Surah al-Taubah: 20-22)

Imam Ibn Jarir al-Tabari menyatakan: Orang yang beriman membenarkan dengan tauhidnya. Berhijrah dan berjihad menentang orang musyrikin pada agama Allah dengan harta benda dan jiwa mereka. Itulah sebesar-besar darjat dan setinggi-tinggi kedudukan berbanding dengan hanya pemberi minum bakal haji, pemakmur Masjid al-Haram dari kalangan musyrikin. (Lihat Tafsir al-Tabari, 11/382)

Syeikh Mahmud al-Misri dalam Ashab al-Rasul SAW (1/191) menyebut:

Ketika Umar R.A hendak berhijrah, beliau meninggalkan al-Habib SAW. Beliau berdiri di hadapan orang-orang musyrikin dan bersikap dengan sebuah sikap yang membuatkan mereka rendah dan membuktikan kelemahan mereka serta membuatkan hati mereka ketakutan.

Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata: ‘Ali bin Abi Talib R.A berkata: Aku tidak mengetahui seorang lelaki dari kaum Muhajirin yang berhijrah, melainkan dia melakukannya dengan sembunyi-sembunyi kecuali ‘Umar bin al-Khattab. Ketika hendak berhijrah, dia mengambil pedangnya, menyiapkan busurnya, membawa beberapa anak panah di tangannya, dan memegang tombak pendeknya.

Dia menuju ke Ka’bah sementara para pembesar Quraisy sedang berada di halamannya. Dia melakukan tawaf di Ka’bah tujuh pusingan dengan tenang, lalu pergi menghampiri maqam (Ibrahim) dan solat dua rakaat. Kemudian, dia berdiri di hadapan mereka seorang demi seorang, dan berkata kepada mereka, “Wajah-wajah yang buruk! Allah tidak akan menghinakan kecuali hidung-hidung ini. Sesiapa yang ingin membuatkan ibunya meratap, menjadikan anaknya yatim dan menjadikan isterinya janda, hendaklah dia menemui aku di sebalik lembah ini.”

‘Ali berkata: Tidak ada seorang pun yang mengikutinya kecuali orang-orang yang lemah, yang telah diberikan pelajaran dan bimbingan olehnya. Lalu dia berangkat kepada apa yang diinginkan.” (Lihat juga Usd al-Ghabah oleh Ibn al-Athir, 4/144 dengan sanad yang sahih. Khabar ini juga terdapat dalam al-Riyadh al-Nadhirah, 1/198)

Benarlah firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَٰكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Padahal Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang yang beriman.

(Surah al-Munafiqun: 8)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Leave a Reply