Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Siapakah Suhaib al-Rumi R.A dan bagaimana cara beliau berhijrah ke kota suci Madinah Munawwarah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍۢ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍۢ (١٠) تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌۭ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
(Surah al-Saff: 10-11)
Pada ayat yang pertama, Allah SWT memanggil para hambanya dan menyifatkan mereka sebagai beriman, kemudian Dia memerintahkan pula mereka untuk beriman.
Imam al-Tabari menjelaskan munasabah kedua-dua ayat ini, Allah SWT menyifatkan hamba-Nya itu beriman, yakni merujuk kepada mereka yang beriman sebelum diutuskan Rasulullah SAW. mereka adalah Ahli Kitab yang dahulunya beriman dengan kitab Taurat, tetapi mendustakan Injil serta al-Quran, dan juga mereka yang dahulunya beriman dengan kitab Injil dan Taurat, tetapi mendustakan kenabian Muhammad SAW dan risalah al-Quran.
Allah SWT memerintahkan mereka ini untuk beriman pula kepada-Nya dan Nabi Muhammad SAW selaku Rasul-Nya, serta beriman dengan apa yang dibawanya dari risalah al-Quran, berjihad menegakkan agama Allah SWT sama ada dengan harta atau diri sendiri. Sesungguhnya itu adalah lebih baik berbanding mensia-siakannya dan mengabaikannya. (Lihat Jami‘ al-Bayah, 9/312; 23/362)
Bagaimana Kehidupan Awal Suhaib al-Rumi?
Syeikh Mahmud al-Misri dalam Ashab al-Rasul SAW (2/31-43) menyebut:
Pada awalnya, Suhaib R.A membesar dalam keluarga yang sempurna, penuh dengan kenikmatan dan kebahagiaan. Bapanya merupakan penguasa al-Ubbalah yang berkhidmat di bawah kekuasaan Kisra. Suhaib, anak lelaki beliau, tinggal bersamanya di sebuah istana yang menghadap Sungai Furat, terletak di seberang Jazirah dan al-Mushil. Bapanya berasal dari Bani Numair dan ibunya dari Bani Tamim, namun Suhaib lebih dikenali sebagai ‘orang Rom’ kerana dia telah lama tinggal di negeri Rom.
Ketika Suhaib menikmati hidup dalam kebahagiaan dan kemewahan, ibunya membawanya untuk bersantai bersama para pembantu dan pengawal ke desa al-Tsanni di negeri Irak. Namun, kota tersebut rupanya sedang diserang oleh pasukan Rom. Pengawal-pengawal Suhaib terbunuh, harta benda mereka dirampas dan anak-anak mereka ditawan. Antara tawanan tersebut adalah Shuhaib.
Suhaib kemudian dijual di pasar hamba. Akibatnya, dia terpaksa hidup berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat lain, dari satu majikan ke majikan yang lain, sehingga akhirnya dia sampai di kota Makkah.
Ada yang mengatakan: Suhaib dibeli oleh ‘Abdullah bin Jud’an dan kemudian dimerdekakan olehnya. Ada juga yang mengatakan: Shuhaib melarikan diri dari majikannya ke Makkah dan mendapatkan perlindungan dari ‘Abdullah bin Jud’an. Suhaib akhirnya bekerja membantu ‘Abdullah dalam perniagaan dan berjaya mengumpulkan harta yang banyak.
Suhaib dengan penuh sabar menunggu kedatangan Nabi SAW, terutamanya selepas mendengar seorang ahli nujum Nasrani yang berkata kepada salah seorang pemimpin mereka, “Sesungguhnya, masa untuk kedatangan seorang Nabi yang membenarkan risalah ‘Isa putera Maryam sudah hampir tiba. Dia akan muncul di Makkah, di Semenanjung Arab, membawa manusia keluar dari kegelapan menuju ke arah cahaya.””
Ketika di Makkah, Suhaib terlibat aktif dalam perniagaan hingga dia mengumpul kekayaan yang banyak. Namun, hatinya masih menanti-nantikan kekayaan yang paling berharga, iaitu anugerah Islam. Tidak lama selepas itu, Suhaib mendengar tentang pengutusan Nabi SAW dan dengan segera, dia termasuk dalam kalangan mereka yang bersegera menerima agama Islam. (Lihat Ashab al-Rasul SAW, 2/31-43)
Bagaimana Kisah Islamnya Suhaib al-Rumi?
Pada suatu hari di Makkah, bisikan tentang Muhammad bin ‘Abdillah yang mengajak kepada agama baru mulai tersebar. Agama ini mengajak umat manusia untuk menyembah satu Tuhan dan meninggalkan segala bentuk penyembahan berhala, termasuk Lata, ‘Uzza, dan Hubal. Seiring berjalannya waktu, bisikan tersebut semakin nyaring terdengar, pandangan menjadi semakin jelas dan tanda-tanda dakwah Islam semakin tampak. Kebenaran mulai menemukan jalannya ke dalam hati Shuhaib, sehingga dia mulai bertanya, “Apa yang diseru oleh Muhammad?” Dia menemukan jawapannya melalui realiti. Muhammad mengajak manusia untuk membebaskan diri dari penghambaan berhala, mengajak manusia untuk saling mengasihi, mengajak mereka kepada persamaan dan keadilan, dan mengajak manusia untuk keluar dari kegelapan menuju jalan yang terang. (Lihat Ashab al-Rasul SAW, 2/31-43)
Pada suatu pagi, sebelum kehidupan di Makkah bermula dan sebelum penduduknya meninggalkan rumah mereka, Suhaib telah mengambil langkah menuju ke rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam.” (Lihat Rijal Mubassyaruna bi al-Jannah, hlm. 450)
Suhaib berjalan menuju rumah al-Arqam dengan penuh berhati-hati, sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Setibanya di hadapan rumah tersebut, dia terserempak dengan ‘Ammar bin Yasir yang berada di dekat pintu. Suhaib, yang sebelum ini telah mengenali ‘Ammar, berhenti seketika sebelum mendekatinya dan bertanya, “Apa tujuanmu di sini, wahai ‘Ammar?” ‘Ammar membalas soalan dengan bertanya, “Apa pula tujuanmu di sini, wahai Shuhaib?” Lalu Suhaib menjawab, “Aku ingin memasuki rumah ini dan mendengar kata-kata orang itu (iaitu Muhammad).” ‘Ammar menyatakan, “Itulah juga yang aku inginkan.” Maka Suhaib berkata, “Jika begitu, marilah kita masuk bersama, dengan berkat dari Allah.”
Suhaib bin Sinan al-Rumi dan ‘Ammar bin Yasir telah masuk menemui Nabi SAW. Mereka berdua mendengar sabda Nabi SAW, sehingga cahaya iman mulai bersinar di dalam hati mereka. Mereka berdua berlumba-lumba untuk membai’ah Nabi SAW dalam agama Islam dan mereka berdua bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad adalah hamba serta utusan-Nya. Mereka menghabiskan hari itu di sisi Nabi SAW, untuk mendapatkan petunjuk daripada Baginda dan menikmati kebersamaan dengan Baginda.
Malam pun tiba dan aktiviti di Makkah berhenti. Mereka berdua keluar dari rumah itu di bawah kegelapan malam, tetapi mereka telah membawa cahaya iman dalam dada mereka yang cukup untuk menerangi seluruh dunia. (Lihat Suwar min Hayat al-Sahabah, hlm. 101; Ashab al-Rasul SAW, 2/31-43)
Bagaimana Seksaan Kaum Quraisy Terhadap Suhaib?
Suhaib memulakan kehidupan yang baru. Dia merasa seolah-olah baru dilahirkan pada hari dia tiba di rumah al-Arqam dan memberi pengakuan bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah. Suhaib merasa bahawa dia telah mencapai tujuan yang selama ini dia impikan. Semua ini telah menghapuskan kehidupan masa lalunya dan menghilangkannya dari fikirannya. Kehidupan dia kini telah berubah. Dia kini mempunyai tujuan dan sasaran. Cahaya iman mulai bersinar dari wajahnya dan kalimat tauhid menerangi jalan hidupnya.
Ketika suara Islam semakin kuat dan tersebar, kaum musyrikin Makkah memutuskan untuk melawannya dan menyeksa sesiapa sahaja yang mengikutinya. Orang-orang Quraisy semakin marah apabila mereka melihat orang-orang yang lemah memeluk agama Allah secara beramai-ramai. Mereka tidak mendapat tempat untuk meluahkan kemarahan mereka selain daripada menyeksa orang-orang lemah tersebut yang telah memeluk Islam dan mengikuti Muhammad SAW. (Lihat Rijal Mubassyaruna bi al-Jannah, hlm. 451)
Daripada Ibn Mas’ud, beliau berkata, ‘Orang pertama yang menunjukkan keislaman mereka adalah tujuh orang: (1) Rasulullah SAW, (2) Abu Bakar, (3) ‘Ammar dan (4) ibunya, Sumayyah, (5) Suhaib, (6) Bilal, dan (7) al-Miqdad R.Anhum. Bagi Rasulullah SAW, Allah melindunginya melalui bantuan bapa saudaranya, manakala Abu Bakar dilindungi oleh kaumnya. Bagi yang lain, orang-orang musyrikin menangkap mereka, memberikan mereka pakaian besi dan menjemur mereka di bawah terik matahari. Tiada seorang pun daripada mereka yang tidak memberikan apa yang diinginkan oleh musyrikin kecuali Bilal. Bilal telah menyerahkan dirinya kepada Allah. Kaumnya tidak menghiraukannya sehingga mereka menyeksanya dan menyerahkannya kepada kanak-kanak untuk dipermainkan dan dihinakan. Mereka membawa Bilal berkeliling di bukit-bukit Makkah sementara dia berkata, ‘Ahad, Ahad.’
Diriwayatkan oleh al-Hakim (3/284). Al-Hakim menyatakan, “sanadnya sahih, tetapi kedua-duanya tidak meriwayatkannya,” dan al-Zahabi menyatakan, “Sahih.” Ia juga diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (1/149) dan lbn ‘Abd al-Bar dalam al-lsti’aab.
Suhaib menghadapi ujian ini dengan sabar, menerima ketetapan Allah SWT, dan mengharapkan apa yang ada di sisi-Nya. Dia merasakan seksaan di jalan Allah ini sebagai sesuatu yang manis. Dia menyedari bahawa jalan menuju Syurga dipenuhi dengan hal-hal yang tidak disukai oleh jiwa. (Lihat Ashab al-Rasul SAW, 2/31-43)
Bagaimana Penghijrahan Suhaib ke Madinah?
Ketika peristiwa hijrah, Suhaib R.A ketika itu menunggu masa yang tepat untuk berhijrah. Ketika beliau ingin berangkat, orang-orang Quraisy lantas menghadang jalannya. Lalu Suhaib pun mengorbankan seluruh hartanya sebagai imbalan, supaya mereka membiarkannya pergi menyusuli Nabi SAW dan Abu Bakar R.A
Suhaib meraih sebuah hadiah besar. Sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan al-Quran tentangnya yang dibaca sehingga hari Kiamat, dan Rasulullah SAW bersabda kepadanya:
رِبْحُ الْبَيْعِ أَبَا يَحْيَ
Maksudnya: “Jual beli yang menguntungkan, wahai Abu Yahya.”[1]
Kisahnya adalah seperti berikut:
Ketika Suhaib keluar untuk berhijrah, orang-orang Makkah mengekorinya. Lalu Suhaib mempersiapkan bekas anak panahnya dan dia mengeluarkan empat puluh anak panahnya, lalu dia berkata: “Tidaklah kamu semua menyentuhku, kecuali aku akan membenamkan sebatang anak panah di tubuhnya. Setelah itu, aku akan menghunus pedangku dan kamu semua akan mengetahui bahawa aku adalah seorang pahlawan. Aku telah meninggalkan di Makkah dua orang wanita penyanyi, keduanya untuk kamu semua.”
Turunlah kepada Nabi SAW:
وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ
Maksudnya: “Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata.”
(Surah al-Baqarah: 207)
Ketika Nabi SAW melihatnya, Baginda bersabda:
أَبَا يَحْيَ رِبْحُ الْبَيْعِ
Maksudnya: “Wahai Abu Yahya! Jual beli yang menguntungkan.”
Nabi SAW pun membacakan ayat ini kepadanya.
Hadith ini diriwayatkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak (3/398) dan beliau berkata: “Sahih sesuai dengan syarat Muslim, namun kedua-duanya tidak meriwayatkannya.”
Daripada Abu Uthman, bahawa ketika Suhaib hendak berhijrah, orang-orang Makkah berkata kepadanya, “Engkau datang kepada kami dalam keadaan miskin dan hina, lalu kehidupanmu berubah.” Lantas Suhaib menjawab, “Bagaimana jika aku meninggalkan hartaku untuk kamu semua. Apakah kamu akan membiarkan aku pergi?” Mereka menjawab, “Ya.” Maka Suhaib menyerahkan hartanya kepada mereka. Perkara tersebut sampai kepada Nabi SAW, lalu Baginda bersabda:
رَبِحَ صُهَيْبٌ! رَبِحَ صُهَيْبٌ!
Maksudnya: “Suhaib telah beruntung! Suhaib telah beruntung!”
Berkenaan riwayat ini, Syeikh al-Arna’ut berkata: “Diriwayatkan oleh Ibn Sa’d (3/227) dan para perawinya adalah thiqah.”
Daripada Suhaib R.A, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda:
أُرِيتُ دَارَ هِجْرَتِكُمْ سَبْخَةً بَيْنَ ظَهْرَانَيْ حَرَّةٍ، فَإِمَّا أَنْ تَكُونَ هَجَرَ، وَإِمَّا أَنْ تَكُونَ يَثْرِبَ.
Maksudnya: “Aku melihat negeri hijrah kamu semua. Ia adalah negeri yang berpasir di antara dua bukit hitam. Boleh jadi, itu adalah Hajar atau Yathrib.”
Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (5822) al-Bazzar (2085), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (7296) dan al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah (2/522) Hadith ini dinilai dha’if oleh al-Albani dalam Silsilah al-Dha’ifah, no. 2749 dan Dha’if al-Jami’ al-Saghir, no. 790)
Suhaib berkata: “Maka Rasulullah SAW berangkat ke Madinah. Sebenarnya aku ingin berangkat bersama beliau, tetapi orang-orang Quraisy menghalangku. Malam itu, aku habiskan dengan berdiri tanpa duduk. Mereka berkata, “Allah telah menyibukkannya daripada kamu semua dengan perutnya.” Sedangkan aku tidak sakit.
Lalu mereka tidur. Maka pun berangkat. Dalam jarak satu barid ‘pos’[2], beberapa orang daripada mereka berjaya menyusuliku. Aku berkata kepada mereka, “Aku berikan emasku dalam jumlah beberapa uqiyah. Apakah kamu semua akan membiarkan aku pergi?” Maka mereka menerimanya.
Aku berkata kepada mereka, “Galilah di bawah tangga pintu, nescaya kamu semua akan menemuinya dan ambillah daripada fulanah dua hullah.” Maka mereka pun membiarkanku pergi. Aku berjalan sehingga aku berjaya menyusuli Nabi SAW tatkala beliau di Quba’. Ketika beliau melihatku, dia berkata: “Wahai Abu Yahya! Jual beli yang menguntungkan.” Baginda mengulanginya tiga kali. Maka aku berkata: “Tidak ada yang mengkhabarkan hal ini kepadamu selain Jibril.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/172. Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Hadith ini dinilai dha’if oleh al-Albani dalam Silsilah al-Dha’ifah, no. 2749 dan Dha’if al-Jami’ al-Saghir, no. 790)
Demi Allah, dunia dengan segala isinya yang mencakupi perhiasan, kesenangan dan harta benda tidak dapat menandingi sabda Nabi SAW untuk Suhaib R.A: “Jual beli yang menguntungkan, wahai Abu Yahya..jual beli yang menguntungkan, wahai Abu Yahya.” (Lihat Ashab al-Rasul SAW, 2/31-43)
Saat Akhir Kehidupan
Suhaib R.A terus menjalani hidupnya dengan jihad dan amal soleh. Beliau berjihad dengan harta dan jiwanya demi memperoleh redha Allah sehingga usianya mencapai tujuh puluh tahun. Suhaib R.A melihat bahawa Allah SWT telah memuliakan bala tentera-Nya, memberikan kemenangan kepada agama-Nya, menyempurnakan nikmat-Nya atas orang-orang beriman, benteng-benteng kekufuran dan kemaksiatan di negeri Rom dan Parsi telah hancur, dan kalimat tauhid telah menggema di seluruh penjuru bumi. (Lihat Rijal Mubassyaruna bi al-Jannah, hlm. 463)
Ketika fitnah berlaku, Suhaib memilih untuk tidak terlibat dan sibuk dengan urusannya sendiri. Setelah kehidupan yang panjang dan penuh dengan pengorbanan dan pemberian, Suhaib R.A meninggal dunia di Madinah pada bulan Syawal tahun 38 H. (Lihat Ashab al-Rasul SAW, 2/31-43)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”
Nota HujungL
[1] Hadith ini diriwayatkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak (3/398) dan beliau berkata: “Sahih sesuai dengan syarat Muslim, namun kedua-duanya tidak meriwayatkannya.”
[2] Barid ialah ukuran jarak purata di antara dua buah stesen atau perhentian pos. Di Parsi, satu barid bersamaan dengan dua farsakh atau 9.654 km (enam batu); di Mesir dan di dunia Islam sebelah barat, satu barid bersamaan dengan empat farsakh atau 19.308 km (12batu) dari kota Fustat.