Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimana cara atau kaedah talak khulu‘? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mendefinisikan terlebih dahulu khulu‘ ini. Perkataan al-khal‘ (لْخَلْعُ) — dengan baris atas pada huruf kha’ — dari segi bahasa bermaksud menanggalkan, manakala al-khul‘ (الْخُلْعُ) — dengan baris depan pada huruf kha’ — adalah kata nama bagi perbuatan tersebut.

Adapun makna al-khul‘ (الْخُلْعُ) menurut para fuqaha, mereka telah mendefinisikannya dengan berbagai istilah yang berbeza bergantung kepada perbezaan mazhab mereka dalam menganggapnya sebagai talak atau fasakh. Ulama Hanafiyyah mendefinisikannya sebagai mengambil harta daripada wanita sebagai ganti kepada pemilikan nikah dengan lafaz khul‘ (الْخُلْعُ).

Manakala definisinya menurut jumhur ulama secara umum adalah perpisahan (antara suami isteri) dengan sesuatu gantian (bayaran) yang diingini oleh pihak suami dengan lafaz talak atau khul‘ (الْخُلْعُ). (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 19/234).

Dalam erti kata lain, khulu‘ bermaksud perpisahan antara suami isteri dengan sesuatu gantian atau bayaran yang diberikan oleh isteri kepada suami dengan lafaz talak atau khulu‘. Umumnya, masyarakat Malaysia lebih maklum dengan istilah “tebus talak.”

Seterusnya, dalam menjawab soalan ini, terdapat riwayat daripada daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa isteri Thabit bin Qais datang kepada Nabi SAW dan berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، ثَابِتُ بْنُ قَيْسٍ، مَا أَعْتِبُ عَلَيْهِ فِي خُلُقٍ وَلاَ دِينٍ، وَلَكِنِّي أَكْرَهُ الكُفْرَ فِي الإِسْلاَمِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَتَرُدِّينَ عَلَيْهِ حَدِيقَتَهُ؟ قَالَتْ: نَعَمْ. قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اقْبَلِ الحَدِيقَةَ وَطَلِّقْهَا تَطْلِيقَةً

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, aku tidak menyalahkan Thabit bin Qais atas kekurangannya pada akhlak dan agamanya, tetapi aku tidak menyukai kekufuran dalam Islam (kehidupan tidak mengikut ajaran Islam). Rasulullah SAW bersabda: ‘Adakah engkau sanggup memulangkan semula kebunnya kepadanya?’ Beliau menjawab: ‘Ya.’ Rasulullah SAW bersabda (kepada Thabit): ‘Terimalah kebun itu dan talaklah dia dengan talak satu.’

Riwayat al-Bukhari (5273)

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, para ulama telah bersepakat tentang pensyariatan khulu‘, kecuali Bakr bin Abdullah al-Muzani, seorang tabi’in yang terkenal, yang berpendapat bahawa tidak halal bagi seorang lelaki untuk mengambil apa-apa daripada isterinya sebagai ganti untuk menceraikannya, berdasarkan firman Allah SWT:

فَلَا تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا

Maksudnya: “Maka janganlah kamu mengambil sedikitpun daripada harta itu.”

(Surah al-Nisa’: 20)

Maka mereka membantahnya dengan firman Allah SWT:

فَلا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ

Maksudnya: “Maka tidaklah mereka berdosa — mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).

(Surah al-Baqarah: 229)

Namun, dia mendakwa ayat tersebut telah dimansuhkan oleh ayat dalam Surah al-Nisa’. Ibn Abi Syaibah dan selainnya telah meriwayatkan nya, dan ia dikritik sebagai pendapat yang ganjil berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ juga:

فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ

Maksudnya: “Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu.

(Surah al-Nisa’: 4)

Begitu juga firman-Nya dalam surah yang sama:

فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا

Maksudnya: “Maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya).”

(Surah al-Nisa’: 128)

Begitu juga berdasarkan hadith, dan kemungkinan ia tidak sahih di sisinya atau hadith itu tidak sampai kepadanya. Dan terhasilnya ijma‘ selepasnya bahawa ayat dalam surah al-Nisa’ (yang menjadi dalil bagi mereka yang tidak membenarkan khulu‘) telah dikhususkan oleh ayat dalam surah al-Baqarah dan dua ayat lain dalam surah al-Nisa’. (Lihat Fath al-Bari, 9/395-396).

Perbezaan antara talak biasa dan khulu‘ ialah talak berlaku dengan kehendak suami manakala khulu‘ berlaku dengan kemahuan isteri dan nekad untuk bercerai disertai dengan gantian atau pampasan. Oleh itu, dia disyariatkan untuk menebus diri daripada suaminya, dengan gantian memberi suatu kadar jumlah daripada mas kahwin yang dipersetujui bersama. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/127).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa talak khulu‘ atau tebus talak ini berlaku dengan cara isteri bertekad untuk berpisah dan meminta cerai dengan suaminya, disertai dengan gantian atau pampasan dengan suatu kadar jumlah daripada mas kahwin yang dipersetujui bersama yang diberikan oleh isteri kepada suaminya dengan lafaz talak atau khul‘ (الْخُلْعُ).

Kami juga ingin tegaskan di sini, para ulama berselisih pendapat berkenaan penceraian secara khulu‘; adakah ia dikira talak atau fasakh. Kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan ia merupakan talak bain dan bukannya fasakh sebagaimana pendapat jumhur ulama. Ini jelas sebagaimana dinyatakan oleh al-Mawardi bahawa sekiranya suami telah melafazkan khulu‘ disertakan dengan gantian maka ia merupakan talak yang sarih sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Umm, al-Imla’ dan Ahkam al-Quran. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 10/9).

Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan penjelasan tambahan berkenaan khulu‘ ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk:

#4196: Isteri Meminta Khulu’.[1]

#4203: Khulu’ Dikira Fasakh Atau Talak?[2]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/4196-isteri-meminta-khulu/. Diakses pada 10 Julai 2024.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/4203-khulu-dikira-fasakh-atau-talak/. Diakses pada 10 Julai 2024.

Leave a Reply