Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya,  benarkah nabi amat redha terhadap orang Ansar dan nabi bersama dengan mereka.  Mohon penjelasan  Dato. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ‎

Maksudnya: ”Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

(Surah al-Taubah: 100)

Lafaz “وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ” bermaksud mereka yang meneladani orang-orang yang pertama-tama memeluk Islam daripada kaum Muhajirin dan Ansar. Mereka ialah generasi setelah para sahabat dan generasi setelahnya lagi sehinggalah hari kiamat, jika meneladani mereka dengan baik dalam perbuatan dan ucapan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 259)

Kaum Ansar 

Penduduk Madinah yang besar mewakili dua kabilah Arab iaitu Aus dan Khazraj.

Bani Aus:

Bani Aus (أوس) adalah salah satu kabilah Arab yang tinggal di Madinah pada masa awal penyebaran agama Islam. Nenek moyang Bani Aus berasal dari daerah Yaman, yang hijrah ke Yathrib (nama lama Madinah) setelah terjadi bencana pecahnya bendungan Ma’rib.

Nama kabilah ini berasal dari nama Al-Aus bin Harithah bin Tha’labah bin Amr Muzaiqiya, yang mana Amr Muzaiqiya adalah salah seorang pemimpin Bani Azad yang memimpin kaumnya berhijrah dari Yaman. Bani Aus dan kerabatnya Bani Khazraj adalah keturunan dari ibu yang sama, iaitu Qailah binti Kahil istri Haritsah bin Tsa’labah, dan dengan demikian secara bersama-sama juga mendapat julukan Bani Qailah. Bani Aus terbahagi menjadi banyak puak keluarga, di antaranya terutama adalah Bani Amru bin Auf dan Bani al-Nabit. Sesembahan utama Bani Aus pada masa pra-Islam adalah Manat, sebuah berhala yang letaknya di Qadid pada lintas jalur perdagangan antara Mekkah dan Madinah.

Pada musim haji tahun ke-12 dakwah Muhammad, dua orang dari Bani Aus yaitu Abdul Haitam bin at-Taiham dan Uwaim bin Saidah, serta sepuluh orang Bani Khazraj berbaiat terhadap agama Islam dalam peristiwa Baiat Aqabah I. Mereka menyebarkan ajaran tersebut pada para penduduk Yathrib lainnya, dan pesatnya perkembangan yang terjadi menyebabkan pada musim haji tahun ke-13, 11 orang dari Bani Aus dan 64 orang dari Bani Khazraj kembali berbaiat pada peristiwa Baiat Aqabah II.

Sebelum digabungkan melalui Piagam Madinah, Banu Aus bersekutu dengan suku-suku Yahudi Bani Qurayzhah dan Bani Nadhir untuk menghadapi Bani Khazraj dan sekutunya. Setelah masuk Islam, Bani Aus dan Bani Khazraj disebut secara bersama-sama sebagai kaum Anshar. Kaum Anshar dan kaum Muhajirin selanjutnya bersatu dalam mendukung kepemimpinan Rasulullah SAW dan para khalifah penerusnya dalam menegakkan pemerintahan serta menyebarkan agama Islam, terutama di Madinah serta Jazirah Arabia pada umumnya.[1]

Bani Khazraj:

Bani Khazraj (خزرج) adalah salah satu kabilah Arab yang tinggal di Madinah pada masa awal penyebaran agama Islam. Nenek moyang Bani Khazraj berasal dari daerah Yaman, yang hijrah ke Yathrib setelah terjadi bencana pecahnya bendungan Ma’rib.

Nama kabilah ini berasal dari nama Al-Khazraj bin Haritsah bin Tsa’labah bin Amr Muzaiqiya, yang mana Amr Muzaiqiya adalah salah seorang pemimpin Bani Azad yang memimpin kaumnya berhijrah dari Yaman. Bani Khazraj dan kerabatnya Bani Aus adalah keturunan dari ibu yang sama, yaitu Qailah binti Kahil istri Haritsah bin Tsa’labah, dan dengan demikian secara bersama-sama juga mendapat julukan Bani Qailah. Bani Khazraj terbahagi menjadi banyak puak keluarga, di antaranya terutama adalah Bani Auf, Bani Al-Harits, Bani Sa’idah, Bani Jusyam, dan Bani an-Najjar. Sesembahan utama Bani Khazraj pada masa pra-Islam adalah Manat, sebuah berhala yang letaknya di Qadid pada lintas jalur perdagangan antara Mekkah dan Madinah.

Pada musim haji tahun ke-11 dakwah Muhammad, enam orang kabilah Bani Khazraj, iaitu As’ad bin Zurarah dan Auf bin Harits dari Bani an-Najjar, Rafi bin Malik dari Bani Zuraiq, Quthbah bin Amir dari Bani Salamah, Uqbah bin Amir dari Bani Hiram, dan Jabir bin Abdiwah dari Bani Ubaid, melakukan baiat masuk Islam di Aqabah, Mina. Merekalah orang-orang Yathrib terawal yang menjadi Muslim, dan mereka lalu menyebarkan ajaran tersebut kepada para penduduk lainnya. Pada musim haji tahun berikutnya, mereka datang untuk kembali berbaiat disertai lima orang baru dari Bani Khazraj dan dua orang dari Bani Aus yang mana peristiwa itu disebut sebagai Baiat Aqabah I. Pesatnya perkembangan Islam di Yathrib menyebabkan pada musim haji tahun ke-13, 62 laki-laki dan 2 perempuan dari Bani Khazraj dan 11 laki-laki dari Bani Aus kembali berbaiat pada peristiwa Baiat Aqabah II.

Sebelum dipersatukan melalui Piagam Madinah, Banu Khazraj bersekutu dengan suku Yahudi Bani Qaynuqa untuk menghadapi Bani Aus dan sekutunya. Setelah masuk Islam, Bani Khazraj dan Bani Aus disebut secara bersama-sama sebagai kaum Anshar. Kaum Anshar dan kaum Muhajirin selanjutnya bersatu dalam mendukung kepemimpinan Rasulullah SAW dan para khalifah penerusnya dalam menegakkan pemerintahan serta menyebarkan agama Islam, terutama di Madinah serta Jazirah Arab pada umumnya.[2]

Selepas hijrah Rasulullah SAW ke Madinah, Baginda menamakan mereka dengan nama Ansar yang bermaksud mereka yang menolong Allah SWT dan Rasul-Nya serta orang yang beriman

Disebutkan dalam al-Taudih li Syarh Jami’ Sahih, (20/377) bahawa: Ansar adalah nama Islam untuk mereka yang menolong Rasulullah SAW dan mereka dikenal sebagai anak-anak Qaila iaitu daripada kalangan Aus dan Khazraj.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan bahawa benar Rasulullah SAW amat meredhai golongan Ansar disebabkan pengorbanan, kebaikan, dan kesetiaan mereka terhadap Baginda Rasulullah SAW serta dakwah yang dibawa oleh Baginda. Golongan Ansar, yang terdiri daripada kaum Aus dan Khazraj, memainkan peranan yang sangat penting dalam menyokong dan melindungi Rasulullah SAW dan para sahabat semasa hijrah dari Mekah ke Madinah. Mereka memberikan tempat tinggal, perlindungan, dan bantuan kewangan serta berperang bersama Baginda dalam mempertahankan Islam. Pengorbanan dan komitmen mereka yang tinggi terhadap Islam telah menjadikan mereka disanjung tinggi dan dirahmati oleh Rasulullah SAW. Keredhaan Rasulullah SAW terhadap mereka antara boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa beliau berkata:

 قَالَتِ الأَنْصَارُ يَوْمَ فَتْحِ مَكَّةَ، وَأَعْطَى قُرَيْشًا: وَاللَّهِ إِنَّ هَذَا لَهُوَ العَجَبُ، إِنَّ سُيُوفَنَا تَقْطُرُ مِنْ دِمَاءِ قُرَيْشٍ، وَغَنَائِمُنَا تُرَدُّ عَلَيْهِمْ، فَبَلَغَ ذَلِكَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَدَعَا الأَنْصَارَ، قَالَ: فَقَالَ: «مَا الَّذِي بَلَغَنِي عَنْكُمْ»، وَكَانُوا لاَ يَكْذِبُونَ، فَقَالُوا: هُوَ الَّذِي بَلَغَكَ، قَالَ: «أَوَلاَ تَرْضَوْنَ أَنْ يَرْجِعَ النَّاسُ بِالْغَنَائِمِ إِلَى بُيُوتِهِمْ، وَتَرْجِعُونَ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى بُيُوتِكُمْ؟ لَوْ سَلَكَتِ الأَنْصَارُ وَادِيًا، أَوْ شِعْبًا لَسَلَكْتُ وَادِيَ الأَنْصَارِ أَوْ شِعْبَهُمْ

Maksudnya: “Kaum Ansar berkata pada hari pembukaan kota Makkah –  Baginda  memberikan (harta rampasan) kepada kaum Quraisy – : “Demi Allah, sungguh ini adalah suatu perkara aneh. Pedang-pedang kita telah menumpahkan darah kaum Quraisy, sementara harta rampasan perang kita diberikan kepada mereka(tidak diberikan kepada kami sedikit pun).” Perkara itu sampai kepada Nabi SAW, lalu Baginda  memanggil kaum Ansar. Beliau berkata: Baginda bersabda: “Apakah (benar keluhan) yang sampai kepadaku tentang kamu?” – kaum Ansar adalah kaum yang tidak berbohong – mereka berkata: “Ia (berita itu) ialah seperti apa yang sampai kepadamu.” Baginda bersabda: “Adakah kamu tidak redha, sekiranya orang-orang (Quraisy) kembali ke rumah mereka dengan membawa rampasan perang, sedangkan kamu kembali ke rumah kamu dengan membawa pulang Rasulullah SAW? Sekiranya kaum Ansar (berjalan) melalui sesuatu lembah atau lorong, pasti aku akan melalui lembah atau lorong yang dilalui kaum Ansar.”

Riwayat Bukhari(3778)

Ketika mana Rasulullah SAW bersabda “Sekiranya kaum Ansar (berjalan) melalui sesuatu lembah atau lorong, pasti aku akan melalui lembah atau lorong yang dilalui kaum Ansar”. Baginda menghendaki menunjukkan persetujuannya yang baik terhadap mereka dan memberi keutamaan kepada mereka berbanding orang lain kerana beliau menyaksikan kebaikan mereka sebagai jiran dan kesetiaan mereka terhadap perjanjian, bukan kerana baginda mengikuti mereka; kerana baginda SAW  adalah pemimpin yang harus diikuti. (Lihat Minhah al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, 7/97)

Bahkan Rasulullah SAW pernah  bersabda kepada kaum wanita dan anak-anak kecil dari kaum Ansar:

أَنْتُم أحبُّ النَاسِ إِليَّ

Maksudnya: “Kalian semua adalah manusia yang aku cintai”

Riwayat Muslim(2508)

Justeru, melalui hadith di atas, jelaslah kepada kita bahawa Rasulullah SAW mengutamakan kaum Ansar berbanding kaum-kaum yang lain dan Rasulullah SAW meredhai mereka disebabkan kemuliaan akhlak mereka. Golongan Ansar tidak hanya menunjukkan pengorbanan yang besar tetapi juga mempraktikkan nilai-nilai kesetiaan, kebaikan, dan persaudaraan yang tinggi.  Sikap dan tindakan mulia ini menjadikan mereka istimewa di sisi Rasulullah SAW, yang mengakui dan menghargai sumbangan besar mereka terhadap perkembangan Islam.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Wallahua‘lam

Nota Hujung:

[1] Lihat https://id.wikipedia.org/wiki/Bani_Aus Diakases pada 10 Julai 2024

[2] Lihat https://id.wikipedia.org/wiki/Bani_Khazraj Diakses pada 10 Julai 2024

Leave a Reply