Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya sering mengulang bacaan ayat 22 dari Surah al-Baqarah agar dapat memperingatkan diri sendiri tentang larangan melakukan syirik. Mungkin ustaz boleh terangkan sedikit perincian tentang ayat ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Ibn Faris berkata, [شَ – رَ – كَ] adalah akar kata yang memiliki dua makna dasar, iaitu:

  • Penyertaan/perbandingan dan lawan bagi bersendirian.
  • Perpanjangan dan kelurusan

Dari makna yang pertama diambil kata syarikah (شَرِكَةٌ) iaitu sesuatu yang dimiliki oleh dua orang, tidak hanya khusus bagi salah seorang dari mereka. Dikatakan pula (شَارَكْتُ فُلَانًا فِي الشَّيْءِ) apabila aku telah menjadi sekutu baginya. Dan dikatakan (أَشْرَكْتُ فُلَانًا) apabila aku menjadikannya sebagai sekutu bagimu. (Lihat Mu‘jam Maqayis al-Lughah, 3/265)

Dari sudut istilah, Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di menyebut, syirik adalah menjadikan bagi Allah sekutu yang mana dia berdoa kepadanya sebagai dia berdoa kepada Allah, atau takut kepadanya, atau mengharap kepadanya, atau dia mencintainya sebagaimana kecintaan kepada Allah, atau dia melakukan kepadanya satu jenis daripada jenis-jenis ibadah. (Lihat al-Qaul al-Sadid fi Maqasid al-Tauhid, hlm. 24)

Antara kata sinonim bagi perkataan syirik ini adalah sekutu. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, sekutu bermaksud kawan atau teman yang turut sama dalam sesuatu pakatan seperti perniagaan, perusahaan, dan lain-lain. Dalam konteks perbahasan aqidah, sekutu bererti mendakwa bahawa wujudnya entiti lain yang turut sama menguasai sekalian alam ini. Perbuatan ini jelas satu kesyirikan yang sangat ditegah oleh Allah SWT sebagaimana dalam firman-Nya:

فَلَا تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَندَادًا وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Maka janganlah kamu menyekutukan Allah sedangkan kamu mengetahui tentang keesaan-Nya.”

(Surah al-Baqarah: 22)

Yakni, janganlah dijadikan bagi Allah SWT itu sekutu dan menyamakan-Nya dengan sesuatu dari kalangan makhluk, sehinggakan kita disembah sekutu tersebut sepertimana Allah disembah, dicintai sebagaimana Allah dicintai. Makhluk-makhluk itu sama sahaja seperti kita, dicipta oleh Allah SWT, dikurniakan rezeki dan diatur, tidak memiliki apa pun yang berada di langit dan di bumi walau sebesar zarah, tidak mampu memberi manfaat dan tidak juga mendatangkan mudarat. Tidak boleh sama sekali kita menyekutukannya, sedangkan kita telah tahu bahawa tidak ada teman atau sekutu bagi-Nya; tidak ada sama ada dalam penciptaan, memberi rezeki, mentadbir urus atau disembah. Sekiranya hakikat ini telah jelas kepada kita bahawa memang tidak ada satu pun yang serupa dan berkongsi sifat Ketuhanan bersama Allah SWT, maka ini menjadi bukti logik akal yang paling jelas tentang Keesaan-Nya dan kebatilan syirik. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 44)

Imam al-Bukhari meletakkan ayat ini sebagai salah satu bab bagi kitab Sahih beliau: “Bab: Firman Allah: ‘Maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa)’ [Surah Al-Baqarah: 22].” Abu al-‘Abbas al-Qastalani berkata, kalimah al-Andad (الْأَنْدَادُ) ini adalah kata majmuk bagi al-nid (النِّدُّ), iaitu al-mithl (المِثْلُ) dan al-nazir (النَّظِيرُ). Secara mudahnya, kedua-dua istilah tersebut membawa maksud sekutu. Akan tetapi, jika kita memasuki perbahasan ini dengan lebih mendalam, al-mithl (المِثْلُ) itu lebih khusus; kerana ia bukan sekadar merujuk kepada sekutu, bahkan dia melebihi hebat dari sekutunya. Adapun al-nazir (النَّظِيرُ), boleh jadi dia tidak sehebat sekutunya, dan cukup untuk menyerupai sekutunya pada satu aspek sahaja. (Lihat Irsyad al-Sari Syarh Sahih al-Bukhari, 7/9; al-Hawi li al-Fatawi, 2/329)

Diriwayatkan dalam hadith Abdullah bin Mas‘ud R.A, ketika mana beliau bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah dosa yang paling besar di sisi Allah?” Lalu Rasulullah SAW menjawab:

أَنْ تَجْعَلَ لِلَّهِ نِدًّا وَهُوَ خَلَقَكَ. قُلْتُ: إِنَّ ذَلِكَ لَعَظِيمٌ

Maksudnya: “‘Engkau menjadikan sekutu bagi Allah sedangkan Dialah yang Menciptakan engkau.’ Aku (Ibn Mas‘ud) berkata: ‘Sesungguhnya yang demikian itu sangatlah besar’.”

Riwayat al-Bukhari (4477) dan Muslim (86)

Imam Abu al-Hasan Ibn Battal menukilkan kalam al-Muhallab, katanya, tujuan Imam al-Bukhari meletakkan bab ini bagi membuktikan nisbah penciptaan segala perbuatan itu kepada Allah SWT, sama ada ia adalah perbuatan baik atau buruk yang dilakukan oleh makhluk-Nya; kerana Allah SWT yang menciptakan, manakala hamba-Nya hanya menghasilkan atau melakukan. Tidak dinisbahkan penciptaan ini kepada selain Allah SWT kerana itu adalah suatu kesyirikan, menyekutukan, dan menyamakan-Nya dengan sesuatu. Allah telah berikan peringatan kepada para hamba-Nya menerusi banyak ayat, yang mana secara jelas menafikan sebarang sekutu dalam tauhid Ketuhanan yang diseru seluruh makhluk kepadanya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 10/521)

Syirik (mempersekutukan Allah) dikatakan dosa besar yang paling besar dan kezaliman yang paling besar, kerana ia menyamakan makhluk dengan Khaliq (Pencipta) pada hal-hal yang khusus bagi Allah SWT. Sesiapa yang menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu, maka dia telah menyamakannya dengan Allah dan ini sebesar-besar kezaliman. Zalim adalah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. (Lihat ‘Aqidah al-Tauhid, hlm. 74)

Ini jelas disebutkan dalam hadith Abu Bakrah Nafi‘ bin al-Harith, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ

Maksudnya: “Dosa besar yang paling besar, adalah menyekutukan (sesuatu) kepada Allah.”

Riwayat al-Bukhari (6919)

Semoga usaha saudara untuk sering memperingatkan diri tentang bahaya syirik ini memperoleh ganjaran yang besar di sisi Allah SWT, setersunya dikurniakan bimbingan-Nya agar tidak tergolong dalam golongan yang mensyirikkan Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:

لَا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنَّا كُنَّا مِنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolonglah kami)! Sesungguhnya kami adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply