Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, siapakah yang daripada kabilah atau perkampungan Ansar yang terbaik ?  Mohon pendapat Dato’. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Golongan Ansar adalah golongan dari suku Aus dan Khazraj, yang sebelum Islam dikenali sebagai anak-anak Qailah, iaitu ibu yang menghimpunkan kedua-dua suku tersebut. Nabi SAW menamakan mereka sebagai Ansar, dan gelaran tersebut menjadi identiti mereka. Al-Quran menurunkan pujian terhadap mereka, dan gelaran tersebut juga digunakan untuk anak-anak mereka, orang-orang yang bertahaluf dengan mereka , dan hamba sahaya mereka. Mereka memperoleh kemuliaan ini kerana memberikan perlindungan kepada Nabi SAW dan menolongnya, di mana mereka mendiami negeri itu dan telah beriman sebelum kedatangan muhajirin . Mereka menjadikan Madinah sebagai tempat tinggal dan menetap bagi mereka, yang memungkinkan mereka untuk teguh dalam iman. Oleh itu, ia menimbulkan permusuhan dari kalangan orang Arab dan bukan Arab, yang membawa kepada hasad dengki dan kebencian. Oleh sebab itu, terdapat ancaman dalam membenci mereka dan dorongan untuk mencintai mereka. Maka, sesiapa yang mencintai mereka, itu adalah tanda kesempurnaan imannya, dan sesiapa yang membenci mereka, itu adalah tanda kemunafikannya dan kekurangan keyakinannya. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 9/ 4007)

Golongan Ansar adalah golongan yang sanggup harta benda mengorbankan harta benda mereka demi membantu saudara-saudara mereka dari kalangan Muhajirin yang berhijrah ke Madinah. Hal ini dijelaskan dalam beberapa dalil daripada al-Quran antaranya firman Allah SWT:

وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌۭ ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِۦ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”

(Surah al-Hasyr: 9)

Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, perkataan al-Ithar (الإيثار) dalam ayat di atas bermaksud mendahulukan orang lain yang memerlukan berbanding dirinya sendiri, dalam keadaan mereka juga sebenarnya benar-benar berhajat kepada perkara tersebut. Ini adalah tahap yang lebih tinggi daripada mereka yang memberikan sebahagian daripada harta mereka yang mana mereka tidak memerlukan kepada harta itu ataupun tidak berada dalam keadaan darurat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/392).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa Kabilah  golongan Ansar dan perkampungan yang terbaik dari kalangan mereka adalah Bani Najjar, kemudian Bani ‘Abd al-Asyhal, kemudian Bani al-Harith  dan kemudian Bani Sa’idah bahkan keseluruhan kabilah Ansar ada kebaikan. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Malik bin Rabi’ah Abu Usaid al-Sa’idi bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ الأَنْصَارِ، أَوْ قَالَ: خَيْرُ دُورِ الأَنْصَارِ، بَنُو النَّجَّارِ، وَبَنُو عَبْدِ الأَشْهَلِ، وَبَنُو الحَارِثِ، وَبَنُو سَاعِدَة

Maksudnya: “Sebaik-baik Ansar.” – atau Baginda bersabda: “Sebaik-baik pemukiman(qabilah) Ansar,” – adalah Bani Najjar, Bani ‘Abd al-Asyhal, Bani al-Harith dan Bani Sa‘idah.”

Riwayat Bukhari (3790)

Begitu juga hadith Abu Humaid al-Sa’idi bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ خَيْرَ دُورِ الأَنْصَارِ دَارُ بَنِي النَّجَّارِ، ثُمَّ عَبْدِ الأَشْهَلِ، ثُمَّ دَارُ بَنِي الحَارِثِ، ثُمَّ بَنِي سَاعِدَةَ، وَفِي كُلِّ دُورِ الأَنْصَارِ خَيْرٌ» فَلَحِقَنَا سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ فَقَالَ: أَبَا أُسَيْدٍ أَلَمْ تَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيَّرَ الأَنْصَارَ فَجَعَلَنَا أَخِيرًا؟ فَأَدْرَكَ سَعْدٌ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ خُيِّرَ دُورُ الأَنْصَارِ فَجَعَلَناَ آخِرًا، فَقَالَ: أَوَلَيْسَ بِحَسْبِكُمْ أَنْ تَكُونُوا مِنَ الخِيَارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik pemukiman(qabilah) Ansar adalah pemukiman(qabilah) Bani Najjar, kemudian ‘Abd al-Asyhal, kemudian pemukiman (qabilah) Bani al-Harith, kemudian Bani Sa‘idah, dan pada setiap pemukiman(qabilah) Ansar ada kebaikan.” Sa‘d bin Ubadah bertemu kami, lalu beliau berkata: “Abu Usaid, tidakkah kamu melihat bahawa Rasulullah SAW telah menilai keutamaan Ansar dan menjadikan kami yang terakhir?” Sa‘d pun bertemu Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, pemukiman-pemukiman(qabilah-qabilah) Ansar diutamakan dan kami dijadikan yang akhir.” Baginda bersabda: “Tidakkah cukup bagi kamu masuk dalam kelompok yang terbaik?”

Riwayat al-Bukhari (3791)

Imam al-Nawawi menyebutkan: Keutamaan suku-suku mereka adalah yang terbaik, dan setiap suku daripadanya mendiami sesuatu kawasan sehingga kawasan tersebut dinamakan sebagai ‘dar’ (rumah) suku Fulan, dan itulah sebabnya dalam banyak riwayat disebutkan ‘Banu Fulan’ tanpa menyebutkan ‘dar’ (rumah). (Lihat al-Minhaj Syarh Muslim, 16/69 )

Betapa agungnya kelebihan ini dan betapa besarnya keutamaan ini bagi mereka yang baik dan mulia yang jiwanya telah suci serta amalan mereka  yang soleh sehingga kebaikan tersebut merangkumi kabilah mereka. Keutamaan antara kabilah-kabilah ini diperoleh berdasarkan kepada siapa yang terlebih dahulu  memeluk Islam.

Selain itu juga, menurut ibn Hajar beliau menyebutkan bahawa: perkataan khair yang pertama sebagaimana yang disebutkan dalam hadith bermakna siapa yang paling afdhal dan perkataan Khair yang kedua adalah kebaikan yang terdapat pada kesemua Bani Ansar walaupun mereka berbeza martabatnya. (Lihat Fath al-Bari, 7/116)

Justeru, kami nyatakan di sini bahawa pada dasarnya setiap perkampungan atau kabilah dari kalangan Ansar mempunyai kebaikannya yang tersendiri. Namun, Rasulullah SAW memberikan keutamaan kepada Bani Najar, kemudian Bani Najjar, kemudian Bani ‘Abd al-Asyhal, kemudian Bani al-Harith, dan akhirnya Bani Sa’idah sebagaimana yang disebutkan dalam hadith adalah berdasarkan  siapa yang terlebih dahulu memeluk islam.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:

رَضِيْنَا بِاللهِ رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا

Maksudnya: “Kami redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Muhammad SAW sebagai Nabi.”

Wallahua‘lam.

Leave a Reply