Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah amalan yang terbaik selepas tadarus al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

‏ أَقِمِ الصَّلَاةَ لِدُلُوكِ الشَّمْسِ إِلَىٰ غَسَقِ اللَّيْلِ وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya: “Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”

(Surah al-Isra’: 78)

Dikatakan juga bahawa al-Quran adalah majaz (kiasan) bagi solat, sebab itu ditafsirkan firman Allah SWT di atas dengan solat Fajr, dan dinamakan al-Quran kerana ianya adalah rukun sebagaimana dinamakan ruku’ dan sujud. Dikatakan juga sesungguhnya kalimah al-Quran digunakan dengan makna yang hakiki (sebenar). (Lihat Mu’jam Alfaz al-Quran al-Karim, 2/197-198)

Dalam menjawab persoalan di atas, antaranya adalah bersedekah dan berinfaq. Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالخَيْرِ، وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ يَلْقَاهُ كُلَّ لَيْلَةٍ فِي رَمَضَانَ، حَتَّى يَنْسَلِخَ، يَعْرِضُ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ القُرْآنَ، فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ، كَانَ أَجْوَدَ بِالخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ المُرْسَلَةِ

Maksudnya: “Nabi SAW adalah manusia yang paling pemurah pada amal kebaikan dan Baginda menjadi lebih pemurah terutamanya pada bulan Ramadhan ketika malaikat Jibril A.S menemuinya. Jibril A.S datang kepadanya setiap malam di bulan Ramadhan sehingga Ramadhan selesai. Nabi SAW memperdengarkan (bacaan) al-Qur’an kepadanya. Apabila Jibril A.S menemuinya, Baginda menjadi lebih pemurah dengan kebaikan (kepada orang yang memerlukan) daripada tiupan angin (yang pantas).”

Riwayat al-Bukhari (1902)

Al-Qastalani berkata: Hadith ini turut menjadi dalil betapa pemurahnya Nabi SAW dan betapa rajinnya Nabi SAW bersedekah pada bulan Ramadhan. Dinyatakan dalam hadith, yakni Rasulullah SAW menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin adalah kerana Baginda sangat cepat dan ringan dalam memberi. Ia juga sebagai isyarat kepada berterusannya rahmat dan umumnya manfaat disebabkan oleh sifat pemurahnya Nabi SAW. (Lihat Irsyad al-Sari, 1/72)

Banyaknya Nabi SAW bersedekah pada bulan Ramadhan menunjukkan bahawa bersedekah pada bulan ini terdapat kelebihannya yang tersendiri. Dalam sebuah hadith riwayat Anas R.A menyebutkan:

سُئِلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الصَّوْمِ أَفْضَلُ بَعْدَ رَمَضَانَ فَقَالَ:‏‏ شَعْبَانُ لِتَعْظِيمِ رَمَضَانَ ‏.‏ قِيلَ فَأَىُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ قَالَ:‏ صَدَقَةٌ فِي رَمَضَانَ‏

Maksudnya: “Ditanyakan Nabi SAW puasa apakah yang terbaik selepas Ramadhan?” Jawab Nabi SAW: “Puasa di bulan Sya‘ban untuk mengagungkan Ramadhan.” Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdhal. Jawab Nabi SAW: “Sedekah di bulan Ramadhan.”

Riwayat al-Tirmizi (663) dan beliau mengatakan hadith ini gharib.

Al-’Azizi berkata: “Sedekah yang paling utama adalah sedekah di bulan Ramadhan kerana ia adalah musim kebajikan dan bulan beramal ibadat. Oleh itu, Rasulullah SAW adalah paling murah hati di dalamnya.” (Lihat al-Siraj al-Munir, 1/261)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Leave a Reply