Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, boleh terangkan kepada kami bagaimana nasyid orang Ansar ketika menggali parit (khandaq). Mohon pendapat Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللَّهِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ (20) يُبَشِّرُهُمْ رَبُّهُم بِرَحْمَةٍ مِّنْهُ وَرِضْوَانٍ وَجَنَّاتٍ لَّهُمْ فِيهَا نَعِيمٌ مُّقِيمٌ (21) خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisi-Nya pahala yang besar.”

(Surah al-Taubah: 20-22)

Imam Ibn Jarir al-Tabari menyatakan: Orang yang beriman membenarkan dengan tauhidnya. Berhijrah dan berjihad menentang orang musyrikin pada agama Allah dengan harta benda dan jiwa mereka. Itulah sebesar-besar darjat dan setinggi-tinggi kedudukan berbanding dengan hanya pemberi minum bakal haji, pemakmur Masjid al-Haram dari kalangan musyrikin. (Lihat Tafsir al-Tabari, 11/382)

Sejarah Perang Ahzab

Peperangan Ahzab bermaksud Tentera Bersekutu. Manakala Khandaq pula bererti ‘Parit’. Orang Yahudi yang telah menerima kehinaan akibat pengkhianat dan konspirasi yang mereka lancarkan sendiri masih tidak  serik. Setelah disingkirkan ke Khaibar, mereka sentiasa mengawasi keputusan akibat pertelingkahan orang Islam dengan orang musyrikin. Mereka mula merancang komplot baharu untuk menghadapi Islam. Mereka mempersiapkan kelengkapan sebagai persediaan bagi melancarkan pukulan maut terhadap orang Islam. Namun, disebabkan mereka tidak berani berhadapan secara langsung dengan orang Islam, maka mereka merencanakan satu rancangan yang cukup jahat bagi tujuan tersebut.

Seramai 20 orang pemimpin Yahudi dan pembesar Bani Nadhir telah keluar ke Mekah untuk bertemu dengan orang Quraisy dan menghasut orang Quraisy supaya memerangi Rasulullah SAW sambil menyatakan sokongan mereka. Lalu orang Quraisy bersetuju. Kemudian kumpulan itu pergi pula ke Ghatafan lalu menyeru penduduk Ghatafan seperti seruan mereka kepada orang Quraisy. Penduduk Ghatafan juga bersetuju. Kumpulan itu pergi ke merata tempat kabilah-kabilah Arab yang lain dan menyampaikan seruan yang sama. Ada di kalangan kabilah itu yang bersetuju dengan ajakan tersebut. Begitulah, akhirnya mereka berjaya membentuk tentera kafir yang bersekutu untuk menentang Rasulullah SAW, dakwah serta umat Islam keseluruhannya. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 510)

Tentera Bersekutu ini adalah seramai 10,000 tentera yang lengkap bersenjata dan mempunyai bekalan yang banyak. Ia terdiri daripada 4000 tentera Quraisy dan 6000 orang tentera Ghatfan dan penduduk Najd. Peranan utamanya dimainkan oleh ketua Yahudi Bani Nadhir yang diusir keluar dari Madinah setelah mereka mengkhianati satu perjanjian dengan kaum muslimin.

Ahli-ahli sejarah berselisih pendapat tentang ukuran parit yang digali itu. Menurut Sheikh Muhammad Ba Syamil panjangnya kira-kira 5,000 hasta, luasnya tidak kurang daripada 9 hasta dan dalamnya pula kira-kira tidak kurang daripada 7 hasta. Menurut Syeikh Ghali al-Syanqiti pula panjangnya ialah 2,725 meter , luasnya 40 hasta dan dalamnya 20 hasta. Manakala al-Wakil pula mengatakan panjangnya lebih daripada 2,000 m, luasnya 5 m dan dalamnya 3 meter.

Proses penggalian parit tersebut dijalankan dengan setiap sepuluh orang sahabat diarah menggali parit sepanjang 40 hasta. Dengan mukjizat Rasulullah, parit itu siap dalam masa enam hari sahaja dan ada yang mengatakan ia siap dalam masa lima belas hari

Rasulullah keluar dengan membawa 3000 anggota tentera.  Mereka berkhemah di utara Bukit Sila’. Mereka mengambil posisi dengan bukit Sila’ berada di belakang sebagai benteng yang melindungi mereka. Parit besar yang digali pula berada di tengah-tengah antara mereka dengan tentera kafir. Tentera Bersekutu berkhemah di Majma’ al-Asyal (berdekatan telaga Rumah). Manakala tentera Ghatfan pula cuba menyeludup masuk melalui barat Bukit Uhud.

Orang musyrikin mengepung Rasulullah SAW dan tentera Islam selama sebulan atau hampir sebulan. Ia bermula pada bulan Syawal dan berakhir pada bulan Zulqaedah. Menurut Ibn Sa’ad, Rasulullah meninggalkan Khandaq pada hari Rabu, 7 Zulqaedah.

Pertempuran bermula apabila para pemanah mula memanah dengan panah dan batu. Kemudian perlawanan pedang pula bermula apabila beberapa orang kafir iaitu ‘Amr bin Abdu Wudd al-Amiri, Ikrimah bin Abi Jahal, Dirar bin al-Khattab, Hubairah bin Abi Wahab dan Naufal bin Abdullah berjaya memasuki kawasan muslimin. Mereka kemudiannya terus disekat dan dicabar oleh Ali bin Abi Talib dan para sahabat yang lain. Saidina Ali kemudiannya berjaya membunuh ‘Amr dan al-Zubair bin Awwam membunuh Naufal manakala bakinya terus berundur lari.

Seorang pemimpin Yahudi, Huyai bin Akhtab telah menghasut Yahudi Bani Quraizah di Madinah supaya melanggar perjanjiannya dengan Rasul dan menyertai tentera Ahzab. Tentera muslimin kemudiannya bukan sahaja menghadapi tentera Ahzab tetapi juga pengkhianat Bani Quraizah yang masih lagi berada di Madinah dan berperanan sebagai musuh dalam selimut.

Keadaan tentera Islam pada masa itu menjadi begitu genting. Mereka mula mengatur dan mengemaskini barisan tentera. Rasulullah membahagikan tentera kepada dua kumpulan seramai 500 orang untuk mempertahankan kota Madinah, sementara yang bakinya pula diarahkan untuk bertahan di kubu atau parit tersebut. Perempuan dan kanak-kanak mula dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.

Kemudian, Allah SWT melakukan sesuatu dari sisi-Nya yang menyebabkan para musuh mulai saling tidak mempercayai dan mereka semua akhirnya tewas Antara yang ditakdirkan Allah untuk tujuan ini ialah apabila seorang lelaki dari kabilah Ghatfan yang bernama Nu’aim bin Mas’ud R.A datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, “Wahai Rasulullah, aku telah memeluk Islam sedangkan kaumku tidak mengetahui tentang keislamanku. Maka, suruhlah apa sahaja yang engkau mahu. Lalu Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا أَنْتَ فِينَا رَجُلٌ وَاحِدٌ فَخَذِّلْ عَنَّا إِنِ اسْتَطَعْتَ، فَإِنَّ الْحَرْبَ خَدْعَةٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya engkau hanya seorang. Oleh itu, buatlah satu helah sedaya upayamu kerana peperangan itu adalah tipu daya.” Lantas dia pun melakukan perancangan dan melaksanakannya. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/59)

Allah SWT telah memperkenankan doa Rasul-Nya dan doa umat Islam. Setelah barisan tentera bersekutu itu mulai berpecah dan pihak masing-masing mula menarik diri dari memberikan kerjasama, maka Allah mengutuskan tenteranya dalam bentuk angin kencang yang mengoyak-ngoyakkan khemah-khemah mereka; tidak tinggal sedikit pun khemah-khemah itu melainkan habis dimusnahkan sehingga tali-tali pancangnya turut tercabut. Musuh pula tidak dapat berdiri tetap di tempat mereka. Kemudian, Allah menghantar tentera-tenteranya dari kalangan malaikat yang menggoncangkan bumi yang mereka pijak serta mencampakkan rasa gerun dan takut ke dalam jiwa pihak musuh.

Dalam perang ini, tidak berlaku peperangan secara langsung, tetapi ia terbatas setakat serangan-serangan anak panah sahaja. Semasa panah-memanah itu, beberapa orang lelaki dari kedua-dua belah pihak telah terbunuh. Namun, bilangan mereka kecil sahaja iaitu 6 orang di pihak tentera Islam dan 10 orang di di pihak tentera musyrikin; 1 atau 2 orang dalam kalangan mereka mati akibat tikaman pedang. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 134-136)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa ketika para sahabat sedang melakukan persiapan menggali parit sebelum peperangan Ahzab, mereka mendendangkan syair atau nasyid sebagai cara untuk menunjukkan ke’izahan dan membangkitkan semangat untuk berperang dengan kaum musyrikin.

Yang demikian berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa beliau berkata:  Kaum Ansar pada hari Khandak mendendangkan Syair:

نَحْنُ الَّذِينَ بَايَعُوا مُحَمَّدَا … عَلَى الجِهَادِ مَا بَقِيْنَا أَبَدَا

فَأَجَابَهُمْ:

اللَّهُمَّ لاَ عَيْشَ إِلَّا عَيْشُ الآخِرَهْ … فَأَكْرِمِ الأَنْصَارَ وَالمُهَاجِرَهْ

Maksudnya:

“Kamilah orang-orang yang membaiah Muhammad,

untuk selalu berjihad selama mana kami hidup.”

Maka Nabi SAW menjawab mereka:

“Ya Allah, tidak ada kehidupan kecuali kehidupan Akhirat,

Muliakanlah kaum Ansar dan Muhajirin.”

Riwayat Bukhari (3796)

Hadith ini menunjukkan bahawa penggunaan al-Rajaz[1] dan puisi adalah bertujuan untuk memperkukuhkan semangat dalam pertempuran dan untuk meningkatkan semangat serta ke’izahan di dalamnya. (Lihat al-Taudih li Syarh Jami’ al-Sahih, 17/466)

Begitu juga Ibn Battal menyatakan bahawa: Di sini, digunakanlah al-Rajaz dan syair adalah untuk meneguhkan semangat dalam peperangan dan menimbulkan kebanggaan serta keazaman. Juga terdapat pertukaran syair dengan syair, dan syair ini bukanlah ucapan Nabi SAW  tetapi ialah ucapan Abdullah bin Rawahah. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 5/46)

Sebagai kesimpulannya,  berdasarkan hadith di atas jelaslah kepada kita bahawa para sahabat dari kalangan Ansar menzahirkan semangat dan kesediaan mereka untuk  berjihad di jalan Allah SWT demi memartabatkan islam dan  ia didendangkan melalui nasyid dan bait-bait syair ketika mana mereka sedang  membuat persediaan menggali parit (kahndaq).

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Wallahua‘lam

Nota Hujung:

[1] Ini adalah salah satu dari pelbagai bentuk syair Arab yang dikenali sebagai “Himaar al-Syu’ara’” (Khazanah Para Penyair), yang terkenal dengan susunan yang mudah, dan digunakan dalam pengaturan pengajaran. Wazannya adalah :  مُسْتَفْعِلُنْ مُسْتَفْعِلُنْ مُسْتَفْعِلُنْ مُسْتَفْعِلُنْ مُسْتَفْعِلُنْ مُسْتَفْعِلُنْ

Leave a Reply