#6312: Maksud Aku Diberi Makan dan Diberi Minum Ketika Puasa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah hadis Rasulullah SAW melarang kita menyambung puasa, dalam erti kata tidak berbuka beberapa hari? Dan apakah maksud Rasulullah diberi makan dan minum?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.”

(Surah al-Baqarah: 187)

Makan dan minumlah sehingga jelas bagimu cahaya fajar dari kegelapan malam, dengan terbitnya fajar sadiq. Kemudian sempurnakanlah puasa dengan menahan diri dari makanan dan minuman hingga masuk waktu malam dengan terbenamnya matahari. (Lihat Tafsir al-Muyassar,1/29)

 Daripada Abdullah R.A, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاصَلَ، فَوَاصَلَ النَّاسُ، فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَنَهَاهُمْ، قَالُوا: إِنَّكَ تُوَاصِلُ، قَالَ: لَسْتُ كَهَيْئَتِكُمْ إِنِّي أَظَلُّ أُطْعَمُ وَأُسْقَى.

Maksudnya: “Bahawasanya Nabi SAW berpuasa wisal, lalu orang ramai pun ikut sama berpuasa wisal. Perkara itu menyusahkan mereka, maka Nabi SAW pun melarang mereka (daripada melakukannya). Mereka berkata: “Sesungguhnya engkau berpuasa wisal.” Baginda bersabda: “Keadaan aku tidak sama seperti kamu, sesungguhnya aku berterusan dalam keadaan diberi makan dan minum (oleh Allah).”

Riwayat al-Bukhari (1922)

Al-’Aini berkata: Makna ‘أَظَلُّ أُطْعَمُ وَأُسْقَى’, bukan dalam bentuk makanan dan minuman seperti kamu. Ini kerana Allah SWT akan melimpahkan kepadanya apa yang dapat memenuhi keperluan makanan dan minumannya. Dengan cara ini, ia akan mengalihkan perhatiannya dari rasa lapar dan dahaga, memperkuatkannya dalam ketaatan, dan melindunginya daripada perkara yang dapat mengakibatkan lemahnya kekuatan dan penurunan deria.” (Lihat ‘Umdah al-Qari, 10/300)

Ibn al-Mulaqqin Siraj al-Din Abu Hafs Umar al-Syafi’i al-Misri berkata: Para ulama’ berbeza pandangan tentang ungkapan, ‘إِنِّي أَظَلُّ أُطْعَمُ وَأُسْقَى’ kepada beberapa tafsiran. Yang paling sahih adalah, Baginda diberi pertolongan dalam berpuasa dan Baginda diberi kekuatan padanya. (Lihat al-Taudhih li Syarh al-Jami’ al-Sahih, 13/139)

Pengarang kitab al-Kauthar al-Jari menukilkan bahawa Imam al-Nawawi berkata: “Maksudnya, Allah melimpahkan cahaya yang menjadikan dia melupakan rasa lapar. Ini adalah suatu perkara wujdani; orang yang tenggelam dalam sesuatu yang dia sangat cintai tidak akan merasakan sakit, dan tidak menyedari bagaimana hari berlalu.” Kemudian beliau berkata: Ini adalah perkataannya, dan lebih baik jika dikatakan: Allah melimpahkan kepadanya kekuatan yang membolehkannya menanggung kesukaran lapar; kerana kelebihan berpuasa adalah berada dalam keadaan lapar dan haus, dan juga Baginda mengikat batu di perutnya kerana lapar yang sangat. (Lihat al-Kauthar al-Jari ila Riyadh Ahadith al-Bukhari, 4/273)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *