Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, berapa lama tempoh Rasulullah SAW bersama sahabat solat menghadap ke arah Baitul Maqdis sebelum diubah menghadap Kaabah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ

Maksudnya: “Kami nampak engkau wahai Muhammad, sering memandang ke langit dengan harapan akan diturunkan wahyu berkenaan kiblat, maka kini Kami berkenan memalingkan engkau menghadap kiblat yang engkau redhai. Oleh itu, hadapkanlah wajahmu ke arah Masjid al-Haram.”

(Surah al-Baqarah: 144)

Imam Abu Muhammad al-Baghawi menerangkan, meskipun ayat ini sedikit lewat bacaannya diturunkan, akan tetapi makna di sebaliknya terlebih dahulu berlaku lantaran ia menjadi kemuncak kepada kisah perubahan arah kiblat ini. Perubahan ini juga secara tidak langsung menjadi peristiwa mansukh yang pertama dalam hukum syara‘.

Beliau mengisahkan, dahulu Rasulullah SAW bersama para sahabatnya pernah solat dengan menghadap ke arah Kaabah. Apabila umat Islam berhijrah ke Madinah pada tahun ke-14 kenabian, Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW untuk mendirikan solat dengan menghadap ke arah pekarangan Baitul Maqdis sebagai kiblat; agar ia dapat mendekatkan sedikit kepercayaan orang Yahudi terhadap Baginda apabila mereka mendapati umat Islam turut solat ke arah kiblat yang sama dengan mereka, ditambah pula dengan ciri Baitul Maqdis yang mereka baca dalam kitab Taurat. Maka, Rasulullah SAW pun menunaikan solat selepas peristiwa hijrah itu selama 16 bulan atau 17 bulan, meskipun Baginda sebenarnya lebih suka untuk menghadap ke arah Kaabah; kerana ia merupakan kiblat bagi bapa sekalian Nabi, iaitu Nabi Ibrahim A.S.

Mujahid menceritakan, sesungguhnya perintah menghadap ke arah Baitul Maqdis ini dilakukan kerana orang Yahudi pernah berkata: “Muhammad SAW menyelisihi kita dalam kepercayaan agama, kemudian beliau mengikut kiblat kita.” Lalu, Rasulullah SAW berkata kepada Malaikat Jibril A.S:

وَدِدْتُ لَوْ حَوَّلَنِي اللَّهُ إِلَى الْكَعْبَةِ فَإِنَّهَا قِبْلَةُ أَبِي إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَامُ

 Maksudnya: “Sungguh aku amat suka sekiranya Allah memalingkan aku (mengubah kiblat) ke arah Kaabah, ia adalah kiblat bapaku Ibrahim A.S.”

Malaikat Jibril A.S kemudian menjawab: “Sesungguhnya aku ini hanyalah hamba seperti engkau, sedangkan engkau itu mulia di sisi tuhanmu, maka mintalah dari tuhanmu kerana engkau mempunyai kedudukan di sisi Allah ‘Azza wa Jalla.” Apabila Malaikat Jibril A.S kembali ke langit, Rasulullah SAW sering memandang ke langit dengan harapan agar Malaikat Jibril A.S turun semula membawa jawapan tentang kiblat ini. Kemudian, Allah SWT turunkan ayat 144 dari Surah al-Baqarah ini. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/161)

Kisah yang dibawakan oleh Imam al-Baghawi ini selari dengan hadith yang diriwayatkan daripada al-Barra’ bin al-‘Azib, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ أَوَّلَ مَا قَدِمَ الـمَدِينَةَ نَـزَلَ عَلَى أَجْدَادِهِ، أَوْ قَالَ أَخْوَالِهِ مِنَ الأَنْصَارِ، وَأَنَّهُ صَلَّى قِبَلَ بـَـيْتِ المـــَقْدِسِ سِتَّةَ عَشَرَ شَهْرًا، أَوْ سَبْعَةَ عَشَرَ شَهْرًا، وَكَانَ يُعْجِبُهُ أَنْ تَكُونَ قِبْلَتُهُ قِبَلَ البَـيْتِ، وَأَنَّهُ صَلَّى أَوَّلَ صَلاَةٍ صَلَّاهَا صَلاَةَ العَصْرِ، وَصَلَّى مَعَهُ قَوْمٌ. فَخَرَجَ رَجُلٌ مِمَّنْ صَلَّى مَعَهُ، فَمَرَّ عَلَى أَهْلِ مَسْجِدٍ وَهُمْ رَاكِعُونَ، فَـقَالَ: أَشْهَدُ بِاللهِ لَقَدْ صَلَّيْتُ مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِبَلَ مَكَّةَ، فَدَارُوا كَمَا هُمْ قِبَلَ البَيْتِ، وَكَانَتِ اليَهُودُ قَدْ أَعْجَبَهُمْ إِذْ كَانَ يُصَلِّي قِبَلَ بَـيْتِ المَقْدِسِ، وَأَهْلُ الكِتَابِ، فَـلَمَّا وَلَّى وَجْهَهُ قِبَلَ البَـيْتِ، أَنْكَرُوا ذَلِكَ

Maksudnya: “Nabi SAW ketika mula-mula sampai ke Madinah, Baginda singgah di rumah nenek moyangnya – atau perawi berkata: atau rumah bapa-bapa saudaranya (dari sebelah ibu Baginda iaitu daripada Bani Zuhrah) daripada kalangan Ansar. Sesungguhnya Baginda SAW solat (ketika di Madinah) menghadap ke arah Baitul Maqdis selama enam belas atau tujuh belas bulan, Baginda amat suka jika kiblat ditukar menghadap ke arah Baitullah. Sebenarnya solat yang mula-mula Nabi SAW dirikan dengan menghadap Baitullah ialah solat Asar yang dilakukan bersama sekumpulan sahabat. Setelah selesai solat, salah seorang sahabat yang menunaikan solat bersama Rasulullah SAW keluar dan lalu di sebuah masjid, di mana jemaahnya sedang rukuk, lantas dia berkata: ‘Aku bersaksi dengan nama Allah SWT bahawa aku telah solat bersama Rasulullah SAW sambil menghadap ke Makkah.’ Maka mereka yang sedang solat terus menukar arah solat ke arah Baitullah. Orang-orang Yahudi dan Ahli Kitab amat suka ketika Nabi SAW solat menghadap ke arah Baitul Maqdis, tetapi apabila Nabi SAW menukar kiblat menghadap Baitullah, mereka mengingkarinya.”

Riwayat al-Bukhari (40) dan Muslim (525)

Dalam riwayat lain daripada al-Barra’ bin al-‘Azib, beliau berkata:

صَلَّيْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَحْوَ بَيْتِ المَقْدِسِ سِتَّةَ عَشَرَ، أَوْ سَبْعَةَ عَشَرَ شَهْرًا، ثُمَّ صَرَفَهُ نَحْوَ القِبْلَةِ

Maksudnya: “Kami solat bersama Nabi SAW ke arah Baitul Maqdis selama 16 atau 17 bulan. Kemudian Allah SWT memalingkannya ke arah kiblat.”

Riwayat al-Bukhari (4492) dan Muslim (525)

Peristiwa perubahan kiblat ini pula diceritakan oleh Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

بَيْنَا النَّاسُ فِي الصُّبْحِ بِقُبَاءٍ، إِذْ جَاءَهُمْ رَجُلٌ فَقَالَ: أُنْزِلَ اللَّيْلَةَ قُرْآنٌ، فَأُمِرَ أَنْ يَسْتَقْبِلَ الكَعْبَةَ فَاسْتَقْبِلُوهَا، وَاسْتَدَارُوا كَهَيْئَتِهِمْ فَتَوَجَّهُوا إِلَى الكَعْبَةِ وَكَانَ وَجْهُ النَّاسِ إِلَى الشَّأْمِ

Maksudnya: “Ketika orang ramai menunaikan solat Subuh di Quba’, tiba-tiba datang kepada mereka seorang lelaki lalu berkata: ‘Malam tadi telah diturunkan al-Quran dan Rasulullah SAW diperintahkan untuk menghadap ke arah Kaabah, maka hendaklah kalian menghadap ke arahnya.’ Mereka pun berpusing sebagaimana keadaan mereka, lalu menghadap ke arah Kaabah, yang mana sebelum ini wajah-wajah orang ramai menghadap ke arah Syam.”

Riwayat al-Bukhari (4493)

Sekiranya kita perhatikan dalam kisah-kisah di atas, tempoh Baitul Maqdis menjadi kiblat umat Islam adalah selama 16 bulan atau 17 bulan. Ketidakpastian pada tempoh ini merupakan syak dari perawi hadith. Oleh yang demikian, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani cuba mengharmonikan riwayat hadith ini seraya berkata: “Menghimpunkan antara dua riwayat yang berbeza ini mudah sahaja.

  • Sesiapa yang berpendapat secara pasti tempoh tersebut selama 16 bulan, mereka mengira bulan ketibaan Rasulullah SAW di Madinah dan bulan disyariatkan perubahan kiblat ini sebagai satu bulan, lalu mereka tidak mengambil kira lebihan hari selepas itu.
  • Sesiapa yang berpendapat secara pasti tempoh tersebut selama 17 bulan, mereka mengambil kira lebihan hari selepas itu.
  • Sesiapa yang syak dan ragu-ragu, maka dia akan berbelah bahagi antara 16 bulan dan 17 bulan.

Rasulullah SAW tiba di Madinah pada bulan Rabi‘ul Awwal tanpa diperselisi lagi, manakala perubahan kiblat ini berlaku pada pertengahan bulan Rejab tahun ke-2 Hijrah menurut pendapat yang sahih. Beginilah pendapat yang dipegang oleh majoriti ulama, dan al-Hakim meriwayatkannya dengan sanad yang sahih dari Ibn ‘Abbas R.A. Ibn Hibban berpendapat, tempoh solat menghadap Baitul Maqdis ini selama 17 bulan dan 3 hari, dengan mengambil kira hari ketibaan Rasulullah pada 12 Rabi‘ul Awwal.” (Lihat Fath al-Bari, 1/97)

Beginilah secara ringkas yang dapat kami kongsikan kepada saudara serta para pembaca. Kami berharap agar penerangan ini dapat mengangkat sebarang kekeliruan serta memberikan kefahaman yang baik kepada umat Islam secara umumnya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ انْفَعَنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَعَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا

Maksudnya: “Wahai Allah! Kurniakanlah kami manfaat atas apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, ajarilah kami apa yang bermanfaat untuk kami, dan tambahkanlah kepada kami ilmu pengetahuan.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply