Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, bagaimana kisah Rasulullah SAW berkahwin dengan Aisyah dan berapa usia Aisyah ketika itu? Mohon pendapat Dato’. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar R.Anhuma

Beliau ialah Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq Abdullah bin Uthman bin ‘Amr bin Ka‘ab bin Sa‘ad bin Taim al-Taimiyyah al-Qurasyiyyah. Ibu beliau bernama Ummu Ruman binti ‘Amir. Beliau dilahirkan empat atau lima tahun selepas Nabi SAW diutuskan sebagai Rasul. Beliau juga termasuk dalam kalangan mereka yang dilahirkan dalam Islam, dan usianya adalah 8 tahun lebih muda daripada Fatimah. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/231; Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/139).

Aisyah diberikan nama julukan — kunyah — Ummu ‘Abdillah kerana beliau pernah meminta kepada Rasulullah SAW untuk diberikan kunyah kepadanya, dan gelaran itu diberikan kepadanya kerana beliau sangat rapat dengan anak saudaranya yang bernama Abdullah bin Zubair R.A. (Lihat al-Raud al-Unuf, 4/427).

Terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

 يَا رَسُولَ اللهِ، كُلُّ صَوَاحِبِي لَهُنَّ كُنًى. قَالَ: فَاكْتَنِي بِابْنِكِ عَبْدِ اللهِ يَعْنِي ابْنَ اخْتِهَا. قَالَ مُسَدَّدٌ: عَبْدِ اللهِ بْنِ الزُّبَيْرِ. قَالَ: فَكَانَتْ تُكَنَّى بِأُمِّ عَبْدِ اللهِ

Maksudnya: Wahai Rasulullah, semua maduku memiliki nama julukan (kunyah). Baginda SAW bersabda: ‘Justeru berikan kepada dirimu kunyah dengan nama anakmu Abdullah iaitu anak saudaramu.’ — Musaddad berkata: ‘Iaitu Abdullah bin al-Zubair — Perawi berkata: ‘Maka, Aisyah diberikan nama julukan (kunyah) dengan nama Ummu ‘Abdillah.’

Riwayat Abu Daud (4970); Ibn Majah (3739); Ahmad (25530); Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ (8/438) menilai sanadnya sebagai sahih.

Selain itu, Aisyah R.Anha juga termasuk dalam kalangan mereka yang mendapat jaminan syurga. Hal ini sebagaimana diriwayatkan daripada al-Qasim bin Muhammad bahawa ketika Aisyah sedang sakit, Ibn Abbas R.Anhuma datang dan berkata:

يَا أُمَّ الـمُؤْمِنِينَ تَقْدَمِينَ عَلَى فَرَطِ صِدْقٍ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَى أَبِي بَكْرٍ

Maksudnya: “Wahai Ummul Mukminin, kamu adalah orang yang terkehadapan (masuk syurga) bersama Rasulullah SAW dan Abu Bakar.”

Riwayat al-Bukhari (3771)

Para ulama berpendapat walaupun bukan Rasulullah SAW yang mengatakan hal ini secara terus, tetapi disebabkan ia berkaitan dengan perkara ghaib, maka sudah pasti Ibn Abbas yang mendengarnya sendiri daripada Rasulullah SAW. Maka perkataan Ibn Abbas ini termasuk dalam riwayat mauquf yang mempunyai hukum marfu‘. (Lihat Irsyad al-Sari, 8248).

Begitu juga diriwayatkan juga secara marfu‘ bahawa Ibn Abbas R.Anhuma mendengar daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

عائشةُ زوجتي في الجنَّةِ

Maksudnya:Aisyah ialah isteriku di syurga.”

Riwayat Abu Hanifah dalam Musnadnya (662). Hadith ini dinilai hasan dengan banyaknya jalur riwayat yang saling menyokong antara satu sama lain berdasarkan Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (2867).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa Rasulullah SAW memilih ‘Aisyah R.A sebagai isterinya setelah mendapat petunjuk daripada mimpi. Baginda pernah bermimpi melihat ‘Aisyah sebanyak dua kali dan setelah itu Baginda memperisterikannya ketika beliau berumur 6 tahun.

Yang demikian boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.A bahawa beliau berakata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ لَهَا: ” أُرِيتُكِ فِي المَنَامِ مَرَّتَيْنِ، أَرَى أَنَّكِ فِي سَرَقَةٍ مِنْ حَرِيرٍ، وَيَقُولُ: هَذِهِ امْرَأَتُكَ، فَاكْشِفْ عَنْهَا، فَإِذَا هِيَ أَنْتِ، فَأَقُولُ: إِنْ يَكُ هَذَا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ يُمْضِهِ

Maksudnya: “Engkau diperlihatkan kepadaku sebanyak dua kali dalam tidur (yakni mimpi). Aku melihat engkau berada dalam balutan kain sutera, dan dikatakan: “Ini adalah isterimu, bukalah ia!” Ternyata wanita itu adalah engkau, maka aku pun berkata: Jika ini datangnya dari Allah nescaya Dia akan menjadikannya berlaku (buatku).”

Riwayat Bukhari (3895)

Ibn Battal menyatakan bahawa: “Mimpi ini dilihat oleh Nabi SAW sebelum zaman kenabian, pada waktu di mana mimpi baginda adalah seperti mimpi manusia biasa; kemudian apabila Allah SWT mewahyukan kepada baginda, Dia melindungi mimpinya daripada mimpi-mimpi yang tidak jelas dan menjaga baginda dalam tidur sebagaimana Dia menjaganya dalam keadaan jaga dan menjadikan mimpinya sebagai wahyu. Terdapat kemungkinan lain bahawa mimpi ini adalah selepas kenabian dan selepas mengetahui bahawa mimpinya adalah wahyu. Baginda SAW menyatakan apa yang diketahuinya dengan perkataan yang zahirnya seolah-olah menunjukkan keraguan, namun maknanya adalah keyakinan.” (Lihat Syarh al-Jami’ Sahih, 9/534)

Rasulullah SAW mengahwini ‘Aisyah pada usianya 6 tahun mengikut satu pendapat dan pada usianya 9 tahun beliau diserahkan kepada Baginda SAW dan hidup bersamanya.  Diriwayatkan daripada ‘Aisyah dalam hadithnya yang lain bahawa beliau berkata:

تَزَوَّجَنِي النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا بِنْتُ سِتِّ سِنِينَ، فَقَدِمْنَا المَدِينَةَ فَنَزَلْنَا فِي بَنِي الحَارِثِ بْنِ خَزْرَجٍ، فَوُعِكْتُ فَتَمَرَّقَ شَعَرِي، فَوَفَى جُمَيْمَةً فَأَتَتْنِي أُمِّي أُمُّ رُومَانَ، وَإِنِّي لَفِي أُرْجُوحَةٍ، وَمَعِي صَوَاحِبُ لِي، فَصَرَخَتْ بِي فَأَتَيْتُهَا، لاَ أَدْرِي مَا تُرِيدُ بِي فَأَخَذَتْ بِيَدِي حَتَّى أَوْقَفَتْنِي عَلَى بَابِ الدَّارِ، وَإِنِّي لَأُنْهِجُ حَتَّى سَكَنَ بَعْضُ نَفَسِي، ثُمَّ أَخَذَتْ شَيْئًا مِنْ مَاءٍ فَمَسَحَتْ بِهِ وَجْهِي وَرَأْسِي، ثُمَّ أَدْخَلَتْنِي الدَّارَ، فَإِذَا نِسْوَةٌ مِنَ الأَنْصَارِ فِي البَيْتِ، فَقُلْنَ عَلَى الخَيْرِ وَالبَرَكَةِ، وَعَلَى خَيْرِ طَائِرٍ، فَأَسْلَمَتْنِي إِلَيْهِنَّ، فَأَصْلَحْنَ مِنْ شَأْنِي، فَلَمْ يَرُعْنِي إِلَّا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ضُحًى، فَأَسْلَمَتْنِي إِلَيْهِ، وَأَنَا يَوْمَئِذٍ بِنْتُ تِسْعِ سِنِينَ

Maksudnya: “Nabi SAW mengahwiniku saat aku berusia 6 tahun, lalu kami datang ke Madinah dan singgah di (kampung) Bani al-Harith bin Khazraj, aku menderita sakit hingga rambutku gugur. Setelah sembuh, rambutku tumbuh lebat hingga melebihi paras bahu. Setelah itu, ibuku Umm Ruman datang menemuiku, dan saat itu aku (duduk) berada di buaian bersama teman-temanku. Dia (ibuku) berteriak memanggilku dan aku datang (berlari) kepadanya. Aku tidak tahu apa yang diinginkannya daripadaku. Dia memegang tanganku lalu membawaku ke pintu rumah, dan nafasku tercungap-cungap hingga akhirnya menjadi tenang, lalu dia mengambil sedikit air dan menyapu wajah serta kepalaku, kemudian dia memasukkanku ke dalam rumah, ternyata di dalam rumah itu ada wanita-wanita Ansar. Mereka berkata: “Mudah-mudahan mendapat kebaikan dan keberkatan. Mudah-mudahan mendapat nasib yang terbaik.” Lalu ibuku menyerahkanku kepada mereka, lalu mereka merapikan penampilanku dan tidak ada yang membuatku terkejut melainkan (ketibaan) Rasulullah SAW pada waktu dhuha. Akhirnya mereka pun menyerahkanku kepadanya (Rasulullah) dan ketika itu aku berusia 9 tahun.”  

Riwayat Bukhari (3894)

Ibn Mulaqqin dalam Kitabnya al-Taudih li Syarh al-Jami’ al-Sahih (20/517): Orang lain menyebut bahawa dia berumur tujuh tahun. Mereka menggabungkan kedua-duanya dengan menyatakan bahawa dia telah menyempurnakan umur enam tahun dan memasuki tahun ketujuh. Maka, sesiapa yang mengatakan enam, maksudnya adalah enam tahun yang lengkap, dan sesiapa yang mengatakan tujuh, maksudnya adalah dia telah memasuki tahun ketujuh.

Sebagai kesimpulannya, Rasulullah SAW pernah melihat ‘Aisyah sebanyak dua kali dalam mimpinya. Setelah mendapat petunjuk daripada mimpi tersebut, Rasulullah SAW mengahwini ‘Aisyah ketika beliau berumur 6 tahun dan mula tinggal bersamanya ketika beliau berumur 9 tahun. Perkahwinan ini bukan sahaja berdasarkan petunjuk ilahi tetapi juga mempunyai hikmah yang besar dalam penyebaran Islam. Ini kerana Saidatina ‘Aisyah R.A menjadi salah seorang perawi hadith yang paling banyak meriwayatkan hadith daripada Rasulullah SAW.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahua‘alam.

Leave a Reply