#6320: Menghilangkan Kesan Wangian Pada Badan Sebelum Mandi Wajib

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak tanya, perlu kah cuci atau hilangkan dahulu kesan sebarang pewangi, losyen, krim dan sebagainya; atau dalam kes saya, deodorant (pewangi ketiak) sebelum mandi wajib? Atau boleh mandi terus saja? Terima kasih Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, mandi wajib merupakan mandi yang mana tidak sah ibadat seseorang tanpa melakukannya terlebih dahulu. Antara sebab-sebab yang perlu mandi wajib ialah keluar air mani, bersetubuh, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73)

Allah SWT memerintahkan hamba-Nya melaksanakan mandi wajib bagi sesiapa yang berhadas besar sebelum melakukan beberapa ibadah seperti mendirikan solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran, beriktikaf di masjid dan seumpamanya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.

(Surah al-Nisa’:43)

 Begitu juga dalam nas yang lain, Allah berfirman:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.

(Surah al-Maidah:6)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 222)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa tidak disyaratkan untuk menghilangkan kesan wangian pada badan sebelum memulakan proses mandi wajib. Aspek penting dalam mandi wajib adalah meratakan air ke seluruh badan kerana ini merupakan salah satu syarat keabsahan mandi tersebut. Oleh itu, kesan-kesan tersebut boleh dihilangkan semasa proses meratakan air ke bahagian badan setelah berniat untuk mandi wajib.

Para ulama’ telah menetapkan bahawa syarat fardhu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  • Niat
  • Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
  • Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan al-Ghoyah wa al-Taqrib, 21)

Apa yang terbaik dan lebih sempurna dalam bersuci adalah, kita mengikut tatacara mandi Rasulullah dalam mengangkat hadas sebagaimana yang disifatkan oleh A’isyah iaitu:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الجَنَابَةِ، بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ، ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلاَةِ، ثُمَّ يُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي المَاءِ، فَيُخَلِّلُ بِهَا أُصُولَ شَعَرِهِ، ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ ثَلاَثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ، ثُمَّ يُفِيضُ المَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya apabila Nabi SAW mandi junub, Baginda akan memulakannya dengan mencuci kedua-dua tangannya. Kemudian Baginda berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat. Seterusnya, Baginda memasukkan jari-jari ke dalam air lalu meratakannya ke kulit rambutnya. Kemudian Baginda menyiramkan air ke atas kepala dengan kedua-dua tangannya sebanyak tiga kali, seterusnya Baginda mengalirkan air ke seluruh kulit tubuhnya.”

Riwayat Bukhari (248)

Justeru, dengan meratakan air ke seluruh badan ia dapat menghilangkan kesan-kesan wangian pada badan. Oleh yang demikian, kami katakan memadai bagi saudara menghilangkan kesan-kesan tersebut semasa mandi wajib. Ini kerana tujuan mandi wajib adalah untuk memastikan kesucian dan kebersihan seluruh tubuh badan, termasuklah menghilangkan sebarang najis atau kotoran yang boleh menghalang air daripada sampai ke kulit. Maka, jika terdapat wangian atau bahan lain yang menghalang air, ia perlulah dihilangkan semasa mandi wajib tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Wallahua`lam.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *