#6322: Safa dan Marwah Merupakan Syiar Allah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Mengapakah disebutkan bahawa Safa dan Marwah itu adalah syiar Allah SWT?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِن شَعَائِرِ اللَّهِ ۖ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِمَا ۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersa‘i (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang mengerjakan amalan kebajikan secara sukarela, maka ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Menghargai amalan hamba-Nya, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 158)

Imam al-Baghawi berkata, ayat ini diturunkan kerana Safa dan Marwah itu dahulunya terdapat dua berhala; Asaf dan Na’ilah. Dikatakan bahawa Asaf ini berada di Safa, manakala Na’ilah berada di Marwah. Orang Jahiliyyah dahulu tawaf di antara Safa dan Marwah bagi mengagungkan dua berhala tersebut sambil menyentuhnya. Apabila Islam datang, berhala-berhala tersebut dihapuskan kerana orang Islam kurang berkenan untuk melakukan sa‘i antara Safa dan Marwah. Lalu, Allah SWT mengizinkan umat Islam melakukan sa‘i dan mengkhabarkan kepada mereka bahawa Safa dan Marwah itu adalah syi‘ar-Nya. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/173)

Syi‘ar itu adalah sesuatu yang dijadikan sebagai simbolik penunaian salah satu rukun dari rukun-rukun haji dan umrah. Secara khususnya, syi‘ar ini merujuk kepada beberapa tempat yang dimuliakan seperti Kaabah, Maqam Ibrahim, Safa, Marwah, ‘Arafah, Muzdalifah, Mina dan juga tempat melontar jamrah. Apa yang dimaksudkan dengan Safa dan Marwah ini menjadi salah satu dari syi‘ar Allah SWT adalah, Allah menjadikan keduanya sebagai simbolik untuk tempat beribadah, dan ini secara jelas menyatakan bahawa sa‘i di antara keduanya itu adalah satu-satunya ibadah khusus yang ditetapkan padanya. Kedua-dua bukit ini pula disandarkan kepada Allah kerana ia menjadi tanda penyembahan terhadap-Nya. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 2/61)

Peristiwa dua berhala di atas bukit Safa dan Marwah ini juga menjadi sebab diturunkan ayat 158 dari Surah al-Baqarah. Dalam sebuah hadith, ‘Urwah berkata:

قُلْتُ لِعَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأَنَا يَوْمَئِذٍ حَدِيثُ السِّنِّ: أَرَأَيْتِ قَوْلَ اللَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: {إِنَّ الصَّفَا وَالمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ فَمَنْ حَجَّ البَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ، فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا} [البقرة: 158]. فَمَا أُرَى عَلَى أَحَدٍ شَيْئًا أَنْ لاَ يَطَّوَّفَ بِهِمَا؟ فَقَالَتْ عَائِشَةُ: كَلَّا، لَوْ كَانَتْ كَمَا تَقُولُ، كَانَتْ: فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ لاَ يَطَّوَّفَ بِهِمَا، إِنَّمَا أُنْزِلَتْ هَذِهِ الآيَةُ فِي الأَنْصَارِ، كَانُوا يُهِلُّونَ لِمَنَاةَ، وَكَانَتْ مَنَاةُ حَذْوَ قُدَيْدٍ، وَكَانُوا يَتَحَرَّجُونَ أَنْ يَطُوفُوا بَيْنَ الصَّفَا وَالمَرْوَةِ، فَلَمَّا جَاءَ الإِسْلاَمُ سَأَلُوا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ: {إِنَّ الصَّفَا وَالمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ فَمَنْ حَجَّ البَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا}[البقرة: 158]

Maksudnya: “Aku berkata kepada ‘Aisyah, isteri Nabi SAW dan ketika itu aku masih muda: ‘Apakah pandanganmu tentang firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّفَا وَالمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ فَمَنْ حَجَّ البَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ، فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا

(Maksudnya: Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersa‘i (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya.) [Surah al-Baqarah: 158]. Maka aku berpendapat, bahawa tidak ada dosa bagi seseorang untuk tidak mengerjakan sa‘i antara keduanya.’ ‘Aisyah berkata: ‘Bukan begitu, sekiranya sebagaimana yang engkau katakan, nescaya akan disebutkan dalam ayat itu: ‘tiadalah menjadi salah dia tidak melakukan sa‘i antara keduanya’, kerana ayat ini diturunkan kepada kaum Ansar, mereka kebiasaannya berniat Ihram dan talbiyah untuk manat (berhala) dan manat itu berada di arah Qudaid. Lalu mereka merasa berdosa mengerjakan sa‘i antara Safa dan Marwah. Apabila Islam datang, mereka bertanya kepada Rasulullah SAW tentang itu, maka Allah SWT menurunkan ayat:

إِنَّ الصَّفَا وَالمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ فَمَنْ حَجَّ البَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ، فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا

(Maksudnya: Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersa‘i (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya.) [Surah al-Baqarah: 158].”

Riwayat al-Bukhari (4495)

Dalam hadith lain, ‘Asim bin Sulaiman pula pernah bertanya kepada Anas bin Malik R.A tentang Safa dan Marwa, lalu beliau (Ibn ‘Abbas) berkata:

كُنَّا نَرَى أَنَّهُمَا مِنْ أَمْرِ الجَاهِلِيَّةِ، فَلَمَّا كَانَ الإِسْلاَمُ أَمْسَكْنَا عَنْهُمَا، فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى: {إِنَّ الصَّفَا وَالمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ فَمَنْ حَجَّ البَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا} [البقرة: 158]

Maksudnya: “Kami menganggap bahawa kedua-duanya termasuk dalam perkara Jahiliyyah, lalu apabila Islam datang kami pun menahan diri daripada (sa‘i) antara keduanya. Maka Allah menurunkan firman-Nya:

إِنَّ الصَّفَا وَالمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ فَمَنْ حَجَّ البَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ، فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا

(Maksudnya: Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersa‘i (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya.) [Surah al-Baqarah: 158].”

Riwayat al-Bukhari (4496)

Menerusi beberapa dalil dari al-Quran dan al-Sunnah ini, kita dapat fahami bahawa sebab diperakui Safa dan Marwah itu sebagai syi‘ar Allah SWT adalah untuk menenangkan hati orang-orang beriman agar tetap mengerjakan sa‘i di antara keduanya. Atas sebab ini juga wujudnya perselisihan di kalangan fuqaha’ tentang kewajiban sa‘i:

Pertama, pandangan yang mewajibkan, dan inilah pandangan Ibn ‘Umar, Jabir, ‘Aisyah R.Anhum, dan al-Hasan. Ini juga yang dipegang oleh Imam Malik dan Imam al-Syafi‘i. Dalam mazhab Syafi’i dan jumhur menganggap, saie daripada rukun haji dan umrah.

Kedua, pandangan yang mengharuskan, dan inilah pandangan Ibn ‘Abbas, Ibn Sirin, Mujahid, Sufyan al-Thauri dan ashab al-ra’yi.

Beginilah yang dapat kami simpulkan berkenaan persoalan saudara, semoga kita semua beroleh manfaat dan kefahaman dari penulisan ringkas ini. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *