Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, empat sahabat yang pakar dalam al-Quran? Mohon pendapat Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ‎

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”

(Surah al-Hijr: 9)

Kata Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini: al-Zikr adalah al-Quran. Kata beliau lagi: Dan Kami (Allah) sangat memeliharanya daripada sebarang tokok tambah sebarang kebatilan yang bukan daripadanya. Ataupun dari sebarang kekurangan daripadanya dari sudut hukum-hakam, hudud, serta kefardhuan-kefardhuannya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 17/68)

Dalam  menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa antara sahabat yang mahir dalam al-Quran dan juga merupakan penghafaz al-quran adalah Abdullah bin Mas‘ud, Salim, Mu‘adz bin Jabal, dan Ubay bin Ka‘b. Kemahiran mereka telah diakui oleh Rasulullah SAW, dimana Baginda memerintahkan sahabat untuk mempelajari al-Quran daripada mereka.

Yang demikian sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin ‘Amru R.Anhuma  bahawa beliau mendengar  Rasulullah SAW bersabda:

اسْتَقْرِئُوا القُرْآنَ مِنْ أَرْبَعَةٍ، مِنْ ابْنِ مَسْعُودٍ، وَسَالِمٍ، مَوْلَى أَبِي حُذَيْفَةَ، وَأُبَيٍّ، وَمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ

Maksudnya: “Belajarlah hafalan al Qur’an daripada empat orang; daripada Ibn Mas‘ud, Salim – maula Abu Huzaifah, Ubay dan Mu‘az bin Jabal R.Anhum.”

Riwayat Bukhari (3806) dan Muslim (2464)

Al-Athyubi ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyebutkan: Mintalah mereka membacakan al-Quran untuk kamu, kerana mereka lebih teguh hafalan dan lebih mahir dalam membacanya berbanding yang lain. (Lihat al-Bahr al-Muhit al-Sajjaj fi Syarh Sahih al-Imam Muslim Bin al-Hajjaj, 39/306 )

Justeru, berdasarkan hadith yang disebutkan di atas, kita dapat memahami bahawa mereka adalah sahabat yang mahir dalam al-Quran sehingga Rasulullah SAW mengakui kemahiran mereka. Ini juga menunjukkan kepentingan belajar dan mempelajari al-Quran dari pakar agar bacaan yang diambil adalah sahih dan sesuai dengan ajaran Nabi Muhammad SAW.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua’lam.

Leave a Reply