Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan, nama bagi peperangan Tabuk dan bilakah berlaku? Sebab saya ada dengar, ada lagi nama-nama yang lain.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ‎

Maksudnya: “Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”

(Surah al-Taubah: 41)

Peperangan Tabuk berlaku pada bulan Rejab tahun ke-9 H, selepas pulang daripada mengepung Taif, lebih kurang enam bulan. Peperangan Tabuk dianggap, sebagai peperangan terakhir Rasulullah SAW menyertainya. Nama peperangan Tabuk kerana ia berlaku di Tabuk di mana jaraknya dari Madinah lebih kurang 778 batu. Ia terletak di utara Hijaz. Ketika itu, dia berada di negeri Quda’ah yang tunduk kepada pemerintahan Rom.

Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

إِنَّكُمْ سَتَأْتُونَ غَدًا، إِنْ شَاءَ اللَّهُ، عَيْنَ تَبُوكَ، وَإِنَّكُمْ لَنْ تَأْتُوهَا حَتَّى يُضْحِيَ النَّهَارُ، فَمَنْ جَاءَهَا مِنْكُمْ فَلاَ يَمَسَّ مِنْ مَائِهَا شَيْئًا حَتَّى آتِيَ

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu akan datang besok insya Allah, Ain Tabuk dan sesungguhnya kamu tidak sampai kepadanya kecuali selepas Dhuha. Siapa yang sampai di kalangan kamu, maka jangan menyentuhnya sedikit pun sehingga aku datang.”

Riwayat Muslim (706)

Nama kedua bagi peperangan ini ialah peperangan al-’Usrah (غزوة العُسْرة) kerana orang Islam sukar menghadapinya. Ini kerana musim panas yang terik dan tempat yang jauh serta sukar untuk mujahidin pergi ke tempat perang. Air pun sedikit, ditambah dengan kekurangan harta benda.

Firman Allah SWT:

لَّقَد تَّابَ اللَّهُ عَلَى النَّبِيِّ وَالْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ الَّذِينَ اتَّبَعُوهُ فِي سَاعَةِ الْعُسْرَةِ مِن بَعْدِ مَا كَادَ يَزِيغُ قُلُوبُ فَرِيقٍ مِّنْهُمْ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ ۚ إِنَّهُ بِهِمْ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar yang mengikutnya (berjuang) dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang); kemudian Allah menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Amat belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka.”

(Surah al-Taubah: 117)

Sebab ketiga dinamakan dengan peperangan al-Fadihah (الفاضحة). Sebab disebut demikian kerana terdedahnya sifat orang munafik yang ingkar perintah Rasulullah SAW dan tidak mahu menyertai peperangan.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Leave a Reply