Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, apakah kurniaan Allah kepada Saidatina Khadijah di akhirat ? Mohon pendapat Dato’. Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid R.Anha
Beliau ialah Ummul Mukminin Ummu al-Qasim Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin ‘Abd al-‘Uzza bin Qusai bin Kilab al-Qurasyiyyah al-Asadiyyah. Beliau merupakan ibu kepada anak-anak Rasulullah SAW, orang pertama beriman dengannya dan yang membenarkannya sebelum sesiapapun. Beliau juga ialah orang yang menenangkan Baginda ketika dalam ketakutan dan membawanya berjumpa sepupunya iaitu Waraqah. Di samping itu, kelebihan dan kebaikannya juga sangat banyak. Selain itu, beliau juga adalah salah seorang wanita yang paling sempurna, berakal (bijak), mulia (bermaruah), beragama, suci, pemurah, dan termasuk dalam kalangan ahli syurga. Bahkan Nabi SAW selalu memujinya, menyebut kelebihan dan kebaikannya berbanding Ummul Mukminin yang lain serta berlebihan dalam memuliakannya. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/109-110). Hal itu sehinggakan Aisyah R.Anha pernah berkata:
مَا غِرْتُ عَلَى امْرَأَةٍ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مَا غِرْتُ عَلَى خَدِيجَةَ، هَلَكَتْ قَبْلَ أَنْ يَتَزَوَّجَنِي، لِمَا كُنْتُ أَسْمَعُهُ يَذْكُرُهَا، وَأَمَرَهُ اللَّهُ أَنْ يُبَشِّرَهَا بِبَيْتٍ مِنْ قَصَبٍ، وَإِنْ كَانَ لَيَذْبَحُ الشَّاةَ فَيُهْدِي فِي خَلاَئِلِهَا مِنْهَا مَا يَسَعُهُنَّ
Maksudnya: “Aku tidak pernah cemburu terhadap mana-mana wanita(isteri-isteri) Nabi SAW, sebagaimana kecemburuanku terhadap Khadijah. Dia telah meninggal dunia sebelum Baginda mengahwiniku. (Kecemburuanku) kerana aku biasa mendengar Baginda menyebut (nama)nya. Allah memerintahkan Baginda untuk memberitahu kepadanya (Khadijah) khabar gembira berupa rumah yang dibina daripada permata. Sekiranya Baginda menyembelih kambing, Baginda akan menghadiahkannya kepada sahabat-sahabatnya (yakni sahabat Khadijah) hinggalah kesemua mereka mendapatkannya.”
Riwayat al-Bukhari (3816) dan Muslim (2435)
Ibunya bernama Fatimah binti Za’idah al-‘Amiriyyah. Khadijah pada awalnya berkahwin dengan Abu Halah bin Zurarah al-Tamimi, kemudian beliau berkahwin pula selepasnya dengan ‘Atiq bin ‘Abid bin Abdullah bin Umar bin Makhzum, kemudian selepasnya beliau berkahwin pula dengan Nabi SAW. Beliau berkahwin dengan Nabi SAW ketika Baginda berumur 25 tahun, manakala umur Khadijah pula ketika itu adalah 15 tahun lebih tua daripada Baginda SAW. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/111).
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa Saidatina Khadijah merupakan isteri Rasulullah SAW yang juga merupakan sebaik-baik wanita sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ali R.A daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
خَيْرُ نِسَائِهَا مَرْيَمُ، وَخَيْرُ نِسَائِهَا خَدِيجَةُ
Maksudnya: “Sebaik-baik wanita (pada zaman)nya ialah Maryam dan sebaik-baik wanita (pada zaman)nya ialah Khadijah.”
Riwayat al-Bukhari (3815)
Begitu juga Saidatina Khadijah merupakan wanita yang telah dijamin Syurga di mana Allah SWT pernah menyampaikan salam kepada Khadijah R.Anha dan menyampaikan berita gembira kepadanya bahawasanya beliau akan diberikan rumah di dalam syurga yang dibina daripada permata. Rumah itu juga di dalamnya tidak mempunyai kebisingan mahupun kepenatan.
Yang demikian boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Abi Aufa R.Anhuma bahawa beliau ditanya:
بَشَّرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَدِيجَةَ؟» قَالَ: نَعَمْ بِبَيْتٍ مِنْ قَصَبٍ، لاَ صَخَبَ فِيهِ وَلاَ نَصَب
Maksudnya: “Adakah Nabi SAW memberi khabar gembira kepada Khadijah?” Dia menjawab: “Ya, dengan rumah daripada permata (di Syurga), tidak ada suara bising dan rasa lelah di dalamnya.”
Riwayat Bukhari (3819)
Begitu juga hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.Anhu bahawa beliau berkata:
أَتَى جِبْرِيلُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ: هَذِهِ خَدِيجَةُ قَدْ أَتَتْ مَعَهَا إِنَاءٌ فِيهِ إِدَامٌ، أَوْ طَعَامٌ أَوْ شَرَابٌ، فَإِذَا هِيَ أَتَتْكَ فَاقْرَأْ عَلَيْهَا السَّلاَمَ مِنْ رَبِّهَا وَمِنِّي وَبَشِّرْهَا بِبَيْتٍ فِي الجَنَّةِ مِنْ قَصَبٍ لاَ صَخَبَ فِيهِ، وَلاَ نَصَبَ
Maksudnya: “Jibril datang kepada Nabi SAW dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, Khadijah akan datang membawa bekas yang berisi lauk pauk, atau makanan, atau minuman. Apabila dia sampai kepadamu, maka sampaikan salam kepadanya daripada Tuhannya dan daripadaku, serta sampaikan kepadanya khabar gembira berupa rumah di syurga daripada permata. Tidak ada suara bising dan rasa lelah di dalamnya.”
Riwayat al-Bukhari (3820)
Disebutkan dalam Syarh Riyadh al-Salihin (62/9) menyebutkan bahawa: Malaikat Jibril telah datang kepada Nabi SAW dan memintanya untuk memberikan khabar gembira kepada Khadijah atas segala yang telah dilakukannya dalam Islam. Ini kerana beliau telah melakukan banyak tindakan yang besar, mulia, dan terpuji bersama Nabi SAW yang sesuai dengannya.
Beliau adalah isteri Baginda, dan bagi Baginda SAW, beliau seperti seorang ibu dalam kasih sayang, kelembutan, dan infaknya ke atas Baginda, serta penghargaannya kepada Baginda SAW. Baginda SAW sering meminta pendapatnya, dan beliau akan memberikan nasihat yang terbaik.
Justeru, hadith ini jelas menunjukkan keistimewaan dan kedudukan Khadijah di sisi Allah SWT dan Nabi SAW sehingga beliau dijamin Syurga kerana amalannya yang ikhlas dalam memartabatkan Islam. Ini juga memberikan dorongan kepada umat Islam untuk melakukan amal soleh demi mencapai kebahagiaan di akhirat sebagaimana yang diperoleh oleh Saidatina Khadijah.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘alam.