#6333: Bela Kucing dalam Rumah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah kucing dibela di dalam rumah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menerangkan secara ringkas mengenai kucing terlebih dahulu. Kucing ialah sejenis binatang yang kecil, berbulu lembut dan tebal, dipelihara sebagai binatang kesayangan, biasanya untuk menangkap tikus.[1] Di dalam Ensiklopedia Dunia dinyatakan bahawa kucing ialah haiwan kesayangan kegemaran manusia di seluruh dunia. Kucing adalah pintar dan mempunyai sifat berdikari. Haiwan kecil ini juga suka bermain-main dan menghiburkan. Banyak kucing dijadikan haiwan kesayangan yang penyayang, setia, dan menjadi teman bagi manusia semua peringkat umur. Perkataan kucing juga merujuk kepada famili haiwan pemakan daging yang termasuk harimau, singa, harimau bintang dan harimau kumbang. Famili ini juga termasuk kucing bela jinak — iaitu kucing yang dibela sebagai haiwan kesayangan.

Kucing berbeza-beza wataknya dan ciri fizikal tertentu, seperti panjang dan warna bulunya. Terdapat banyak baka kucing. Ciri khas membezakan setiap baka daripada baka yang lain. Antara baka kegemaran ialah kucing Siam, kucing Burma dan kucing Parsi. Tiada siapa yang tahu dengan tepat bila kucing mula dijinakkan. Tetapi sesetengah autoriti percaya bahawa kucing dijinakkan lebih kurang 5000 tahun dahulu. Sepanjang sejarah, manusia menghargai kucing kerana kemahirannya memburu dan membunuh mencit, tikus dan ular. Kucing membantu menjadikan ladang, rumah, dan tempat perniagaan bebas daripada haiwan perosak ini. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 11/520-521).

Seterusnya, secara umumnya, memelihara kucing dengan tujuan yang dibenarkan oleh syarak seperti menghalau tikus dan haiwan perosak seumpamanya adalah diharuskan. Lebih-lebih lagi kucing dihukumkan sebagai suci (bukannya najis) dan merupakan haiwan yang sering berkeliaran di sekeliling manusia.

Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya kami melihat membela kucing di dalam rumah sedikit sebanyak berkait rapat dengan isu kesucian atau kenajisan suatu haiwan itu sendiri. Pada asasnya, hukum asal setiap haiwan itu adalah suci (yakni bukan najis) melainkan ada nas yang menunjukkan sebaliknya seperti kenajisan babi, anjing atau seumpamanya. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan bahawa setiap haiwan (yang hidup) itu adalah suci melainkan apa yang dikecualikan oleh syarak. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/226). Justeru, kucing termasuk dalam haiwan yang suci dan bangkainya pula tergolong dalam kategori najis sederhana.

Selain itu, kucing dianggap sebagai haiwan yang suci (bukan najis) kerana ia selalu berkeliaran di sekeliling manusia. Kabsyah binti Ka‘ab bin Malik ada melaporkan bahawa pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu dia telah menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian, datang seekor kucing meminum air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu meminum air daripada bekas tersebut. Kemudian, Abu Qatadah perasan yang Kabsyah memandang kepadanya lalu dia bertanya: “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Kabsyah menjawab: “Ya.”  Lalu Abu Qatadah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”

Riwayat al-Tirmizi (92); Abu Daud (75); al-Nasa’i (68); Ibn Majah (367)

Maka, kita ketahui bahawa di sana ada kelonggaran dan hukum khas yang diberikan kepada kucing kerana ia termasuk dalam haiwan yang biasanya berkeliaran di tempat tinggal manusia atau dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

Al-San‘ani menyebutkan dalam kitabnya bahawa Allah SWT telah memberi keringanan kepada hamba-Nya (hukum berkaitan kucing) dengan menjadikannya tidak najis, bagi menghilangkan kesusahan kepada manusia, dan hadith ini merupakan dalil bahawa kucing itu adalah suci, begitu juga bekas minumannya (air yang telah diminum). (Lihat Subul al-Salam, 1/33).

Ini menunjukkan kepada sucinya mulut kucing dan air lebihan yang diminumnya. Inilah pendapat yang dipegang oleh Imam al-Syafi‘i dan al-Hadi. Manakala Imam Abu Hanifah pula berpendapat, ia adalah najis sepertimana binatang buas. Akan tetapi diberi keringanan (rukhsah) padanya, maka air lebihan yang diminum oleh kucing hukumnya adalah makruh — untuk digunakan (Lihat Nail al-Autar, 1/53), dan tidak makruh menggunakannya sekiranya tidak ada air lain. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/269-270). Walau bagaimanapun, dalam mazhab al-Syafi‘i, air baki jilatan kucing itu adalah suci dan tidak makruh menggunakannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/172). Ibn Qudamah juga ada menyatakan bahawa bagi setiap haiwan hukum kulitnya, bulunya, peluhnya, air matanya atau air liurnya adalah mengikut hukum bekas minumannya (air yang telah diminum) sama ada suci atau najis. (Lihat al-Mughni, 1/39).

Selain daripada itu, secara asasnya menurut mazhab Syafi‘i, bulu kucing yang tercabut semasa ia masih hidup dianggap sebagai najis kerana kucing termasuk dalam kategori haiwan yang tidak halal dimakan. Ini adalah sebagaimana yang difahami daripada kenyataan al-Khatib al-Syirbini dalam Mughni al-Muhtaj (1/235). Walaupun begitu, bulu yang tercabut itu termasuk dalam perkara yang dimaafkan jika sedikit. Begitu juga dimaafkan bagi mereka yang bekerja sebagai doktor haiwan, penjaga zoo dan lain-lain kerjaya yang tidak dapat mengelakkan diri daripada kucing — termasuklah mereka yang memeliharanya. Hal ini dinyatakan oleh Syeikh Ibrahim al-Bajuri sebagaimana berikut:

وَخَرَجَ بِالـمَأْكُولِ غَيْرُهُ كَالحِمَارِ وَالـهِرَّةِ فَشَعْرُهُ نَجِسٌ لَكِن يُعْفَى عَن قَلِيلِهِ بل وعَن كَثِيرِهِ فِي حَقٍّ مَن ابْتُلِىَ بِهِ كَالْقَصَّاصِيْن

Maksudnya:Dikecualikan dengan hukum haiwan yang halal dimakan (halal bulunya) iaitu selainnya seperti keldai dan kucing. Maka bulunya adalah najis namun dimaafkan jika sedikit. Bahkan (turut dimaafkan) dalam jumlah banyak (bulunya) bagi individu yang ada kesulitan dengannya seperti pemotong bulu.” (Lihat Hasyiyah al-Baijuri ‘ala Ibn Qasim al-Ghazi, 2/290).

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa diharuskan atau tidak menjadi masalah bagi seseorang itu untuk memelihara kucing di dalam rumahnya, jika tujuannya menepati kehendak syarak seperti membelanya untuk menghalau sebahagian haiwan perosak seperti tikus dan seumpamanya. Ini kerana kucing termasuk dalam haiwan yang suci  dan bukannya najis. Lebih-lebih lagi kucing merupakan haiwan yang sering berkeliaran di sekeliling manusia. Tambahan lagi perbuatan memelihara kucing itu sendiri tidak bertentangan dengan taharah (kebersihan/kesucian) kerana kucing itu sendiri dihukumkan sebagai suci sebagaimana yang kami telah sebutkan sebelum ini.

Pada masa yang sama, kami juga ingin mencadangkan kepada orang yang membela kucing untuk menyediakan tempat khas kucing-kucing itu buang air di satu ruangan khusus yang jauh daripada ruangan solat dan ruangan utama agar tidak timbulnya syak atau perasaan waswas, serta jauh daripada bau yang tidak menyenangkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Nota Hujung:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kucing. Diakses pada 30 Disember 2021.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *