Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Abu Zar R.A datang kelewatan semasa perjalanan ke Perang Tabuk?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terlebih dahulu, kami kemukakan biografi Abu Zar al-Ghifari R.A.

Abu Zar al-Ghifari merupakan salah seorang sahabat yang masyhur. Nama sebenarnya Jundub bin Junadah bin Sufyan bin Ubaid bin Hiram bin Ghifar bin Malil bin Dhamrah bin Bakar bin Abdul Manaf bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudar bin Nizar bin Ma’d bin Adnan sebagaimana pendapat al-Tabarani.

Bani Ghifar adalah qabilah Arab suku badwi yang tinggal di pergunungan yang jauh daripada peradaban orang-orang kota. Abu Zar berasal dari kabilah Ghifar yang menyembah berhala. Namun demikian, beliau mempunyai peribadi dengan keberanian hati, minda yang cerdas dan impian yang tinggi. Sejak awal, beliau tidak bersetuju dengan penyembahan berhala yang dilakukan oleh kaumnya. Hal ini menjadikan beliau berusaha mencari kebenaran, Akhirnya, ia menemukan beliau dengan Rasulullah SAW. Dengan asas keyakinan beliau yang kuat terhadap ajaran tauhid mencetuskan keberanian yang tinggi dalam dirinya untuk mengumumkan kelslamannya di hadapan orang-orang musyrik Mekah meskipun telah diberi amaran oleh Rasulullah SAW. Tindakan beliau itu menyebabkan beliau telah dipukul sehingga pengsan. Setelah itu, Baginda Nabi SAW mengarahkan beliau untuk kembali dan menyebarkan dakwah kepada kaumnya. (Lihat Suwar Min Hayat al-Sahabah, hlm. 45)

Beliau termasuk golongan yang awal memeluk Islam, tetapi lewat berhijrah ke Madinah. Justeru, beliau tidak bersama Rasulullah SAW dalam peperangan Badar. Beliau mempunyai kebanggaan yang banyak, antaranya kata beliau: “Aku dapati diriku yang keempat memeluk Islam dan tiada yang memeluk Islam sebelum daripadaku kecuali Nabi SAW, Abu Bakar dan Bilal,” mengikut riwayat al-Tabarani. Beliau dikatakan antara manusia yang hampir serupa dengan Isa bin Maryam dari sudut ibadat, akhlak dan kezuhudan.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang lelaki di bumi dan di bawah naungan langit ini yang lebih jujur daripada Abu Zar.”

Imam al-Zahabi pernah berkata: “Abu Zar adalah ketua kepada kezuhudan, kebenaran dalam bercakap, ilmu dan amal.” Beliau pernah tinggal di negeri Syam di zaman pemerintahan Uthman bin Affan RA. Pada waktu itu, gabenor negeri Syam adalah Mu’awiyah bin Abi Sufiyan RA. Maka Mu’awiyah merasa terganggu dengan sikap hidupnya, sehingga meminta kepada Amirul Mu’minin Uthman bin Affan untuk memanggilnya ke Madinah kembali. Abu Zar akhirnya dipanggil kembali ke Madinah dengan segera. Apabila tiba di Madinah, Abu Zar bertemu Amirul Mu’minin Uthman bin Affan dan beliau diberitahu oleh Amirul Mu’minin bahawa dia dikehendaki untuk tinggal di Madinah menjadi orang kanan kepada Amirul Mu’minin. Mendengar penjelasan tersebut, Abu Zar menegaskan kepada Uthman bin Affan: “Wahai Amirul Mu’minin, aku tidak senang dengan kedudukan demikian. Izinkanlah aku untuk tinggal di daerah perbukitan Rabzah iaitu di luar kota Madinah”. Abu Zar menghabiskan waktunya dengan berzikir kepada Allah dan membaca Al Quran. Beliau meninggal dunia ketika pemerintahan Uthman di al-Rabzah pada tahun 32 Hijrah. (Lihat Syarah Hadis 40, hlm. 194-195)

Menjawab persoalan di atas, ketika Abu Zar sedang menjejaki perjalanan Rasulullah SAW ke Tabuk, dia ketinggalan daripada tentera Islam dan Rasulullah SAW. Kemudian, apabila Rasulullah SAW berhenti di satu tempat, lantas seorang daripada orang Islam melihat ada seorang lelaki sedang mara menuju ke tempat mereka dalam keadaan berseorangan. Dia berkata kepada Rasulullah SAW:

يَا رَسُولَ اللهِ، إنَّ هَذَا الرَّجُلَ يَمْشِي عَلَى الطَّرِيقِ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: “كُنْ أَبَا ذَرٍّ”. فَلَمَّا تَأَمَّلَهُ الْقَوْمُ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، هُوَ وَاللهِ أَبُو ذَرٍّ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: “رَحِمَ اللهُ أَبَا ذَرٍّ يَمْشِي وَحْدَهُ، وَيَمُوتُ وَحْدَهُ، وَيُبْعَثُ وَحْدَهُ

Maksudnya: “Ya Rasulullah, lelaki ini berjalan sendirian di jalan.” Sabda Rasulullah, SAW, “Jadilah engkau Abu Zar.” Ketika orang ramai memerhatikannya, mereka berkata, “Ya Rasulullah, demi Allah, dia memang Abu Zar.” Kemudian Rasulullah berkata, “Semoga Allah memberi rahmat kepada Abu Zar. Dia berjalan sendirian, dia akan mati sendirian, dan dia akan dibangkitkan sendirian.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (4427). Isnadnya dha’if seperti yang disebut oleh Syeikh Syu’aib al-Arnaut dalam takhrij Siyar A’lam al-Nubala (2/56)

Benarlah firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun.”

(Surah al-Ahzab: 23)

Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Leave a Reply