Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya nak bertanya sesudah saya kencing, masa saya istibraq (berdehem) 3 kali saya terasa ada satu cecair likat dan kental keluar bersama titisan air kencing seakan-akan air mani. Soalan saya, boleh ke kita hukum ia sebagai mani? perlu ke mandi wajib?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

خُلِقَ مِنْ مَاءٍ دَافِقٍ (6) يَخْرُجُ مِن بَيْنِ الصُّلْبِ وَالتَّرَائِبِ

Maksudnya: “Dia diciptakan daripada air yang memancut ke dalam rahim. (6) Air yang keluar daripada bahagian tulang sulbi belakang lelaki dan tulang dada perempuan.”

(Surah al-Tariq: 6-7)

Bukti kekuasaan Allah SWT amat jelas, di mana manusia dicipta daripada air yang terpancut dan terpancar ke dalam rahim, iaitu yang terdiri daripada air mani lelaki dan perempuan, kemudian berlaku persenyawaan antara keduanya. Kedua air tersebut ialah air yang keluar daripada tulang belakang lelaki melalui saluran saraf tertentu yang berhubungan dengan otak dan air yang keluar daripada antara tulang dada wanita (al-Tara’ib). Oleh itu, seorang bayi terbentuk daripada percampuran dua jenis air ini, yang seterusnya bertempat di dalam rahim dan akhirnya membentuk janin dengan kehendak Allah SWT. ( Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/476)

Imam al-Nawawi telah membahaskannya secara terperinci dengan membawakan pendapat-pendapat ulama dan mazhab. Beliau menyebutkan dalam kitabnya, jika seseorang keluar air mani dan mandi wajib, kemudian air mani keluar lagi daripadanya dalam tempoh yang singkat selepas mandi wajibnya, maka dia tetap diwajibkan untuk mandi wajib kali kedua, tidak kira air mani itu keluar sebelum dia kencing selepas keluarnya mani atau selepas dia kencing. Inilah mazhab kami (mazhab Syafi‘i) dan dinaskan ke atasnya oleh Imam al-Syafi‘i dan disepakati oleh para ashab (ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i). Ini juga merupakan pendapat al-Laith dan Imam Ahmad dalam salah satu riwayatnya.

Manakala Imam Malik, Sufyan al-Thauri, Abu Yusuf dan Ishaq bin Rahawaih pula berpendapat, dia tidak perlu mandi secara mutlak. Ini juga merupakan riwayat yang masyhur daripada Imam Ahmad dan pendapat yang dinukilkan daripada Ali bin Abu Talib, Ibn Abbas, ‘Ata’, al-Zuhri dan lain-lain. Adapun Imam Abu Hanifah pula berpendapat, jika dia tidak kencing sebelum mandi, kemudian keluar air mani, maka dia tidak wajib mandi kerana ia adalah sisa atau baki air mani yang telah dia mandi itu. Sekiranya tidak (yakni jika dia kencing sebelum mandi), maka dia wajib mandi untuk kali kedua. Ini juga adalah riwayat kedua daripada Imam Ahmad. Selain itu terdapat juga riwayat lain daripada Imam Abu Hanifah yang berlawanan dengan pendapat ini iaitu jika dia kencing maka dia tidak perlu mandi lagi kerana ia adalah air mani tanpa syahwat. Akan tetapi sekiranya tidak (yakni jika dia tidak kencing) maka dia wajib mandi lagi kerana itu daripada syahwat. Dalil kami yang membawa kepada semua pendapat ini adalah sabda Nabi SAW:

المَاءُ منَ الماءِ

Maksudnya: “Air (mandi wajib) itu adalah kerana adanya air (mani).”

Riwayat Abu Daud (215), al-Tirmizi (110) dan Ahmad (21138)

Dan (dalam hadith di atas) tidak dibezakan. Begitu juga kerana ia termasuk dalam jenis hadas, maka ia membatalkan secara mutlak, seperti kencing, jimak dan seluruh hadas yang lain. (maka dia perlu mengulanginya semula). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/139-140).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan jika air maninya keluar lagi selepas dia selesai mandi wajib, dalam jarak tempoh yang singkat antaranya (iaitu tidak terlalu lama) serta keluarnya itu tanpa syahwat, maka dia tidak perlu lagi mandi wajib buat kali kedua kerana jelas itu adalah baki atau sisa air maninya daripada rentetan sebelumnya yang dia telah pun mandi wajib kerananya. Sebaliknya dia hanya perlu berwuduk sahaja kerana baki atau sisa air mani yang keluar itu tidak mewajibkannya untuk dua kali mandi.

Namun, jika air mani itu keluar dengan syahwat sekalipun dia telah mandi wajib sebelumnya, maka dia tetap diwajibkan untuk mandi wajib lagi kerana jelas ia bukanlah sisa air mani daripada rentetan sebelumnya, tetapi keluar disebabkan oleh syahwatnya.

Justeru, dalam isu anda, kami lebih cenderung mengatakan air yang keluar itu disebut sebagai air wadi. Ia merupakan air yang keruh dan pekat yang mana hampir menyerupai mani dari sudut kepekatannya dan tidak sama seperti mani dari sudut kekeruhan warnanya, tidak mempunyai warna dan keluar selepas kencing dan ketika mengangkat sesuatu yang berat. Maka, tidak wajib mandi dengan sebab keluarnya air wadi kerana tiada sebab dari sudut syarak yang mewajibkan mandi kerana yang diwajibkan mandi itu hanyalah keluar air mani sahaja.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ،  وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”

Leave a Reply