Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah ada kisah yang berlaku ketika perang Tabuk, di mana banyaknya mata air yang mengalir semasa perang Tabuk?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Mu’az bin Jabal R.A berkata: Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّكُمْ سَتَأْتُونَ غَدًا، إِنْ شَاءَ اللهُ، عَيْنَ تَبُوكَ، وَإِنَّكُمْ لَنْ تَأْتُوهَا حَتَّى يُضْحِيَ النَّهَارُ، فَمَنْ جَاءَهَا مِنْكُمْ فَلَا يَمَسَّ مِنْ مَائِهَا شَيْئًا حَتَّى آتِيَ» فَجِئْنَاهَا وَقَدْ سَبَقَنَا إِلَيْهَا رَجُلَانِ، وَالْعَيْنُ مِثْلُ الشِّرَاكِ تَبِضُّ بِشَيْءٍ مِنْ مَاءٍ، قَالَ فَسَأَلَهُمَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «هَلْ مَسَسْتُمَا مِنْ مَائِهَا شَيْئًا؟» قَالَا: نَعَمْ، فَسَبَّهُمَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَالَ لَهُمَا مَا شَاءَ اللهُ أَنْ يَقُولَ. قَالَ: ثُمَّ غَرَفُوا بِأَيْدِيهِمْ مِنَ الْعَيْنِ قَلِيلًا قَلِيلًا، حَتَّى اجْتَمَعَ فِي شَيْءٍ، قَالَ وَغَسَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيهِ يَدَيْهِ وَوَجْهَهُ، ثُمَّ أَعَادَهُ فِيهَا، ” فَجَرَتِ الْعَيْنُ بِمَاءٍ مُنْهَمِرٍ أَوْ قَالَ: غَزِيرٍ – شَكَّ أَبُو عَلِيٍّ أَيُّهُمَا قَالَ – حَتَّى اسْتَقَى النَّاسُ
Maksudnya: Sesungguhnya kamu semua insyaAllah akan mendatangi mata air Tabuk esok hari, dan sesungguhnya kamu tidak akan mendatanginya sehingga siang telah meninggi. Sesiapa dari kamu semua mendatanginya, maka janganlah dia menyentuh airnya sedikit pun sehingga aku tiba.” Akhirnya kami (perawi hadis) datang dan ternyata ada dua orang yang telah mendahului kami. Mata air itu bagaikan tali kasut yang mencurahkan sedikit air. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepada kedua mereka: “Adakah kamu berdua telah menyentuh sedikit dari airnya?” Keduanya menjawab, “Benar.” Lalu Rasulullah mencela keduanya dan mengatakan sesuatu kepada mereka.
Kemudian mereka (para sahabat) menceduk air dari mata air sedikit demi sedikit sehingga air tersebut pun terkumpul dalam satu bekas. Mu’az berkata: “Akhirnya Rasulullah SAW mencuci kedua tangan serta muka di dalamnya, lalu beliau mengembalikan air tersebut ke dalam mata air, kemudian mata air tersebut memancarkan air dengan jumlah yang banyak.” Atau beliau (Mu’az) mengatakan: “Dengan melimpah.” Sehinggalah semua orang dapat memanfaatkannya.
Riwayat Muslim (706)
Setelah itu, Rasulullah SAW bersabda:
يُوشِكُ، يَا مُعَاذُ إِنْ طَالَتْ بِكَ حَيَاةٌ، أَنْ تَرَى مَا هَاهُنَا قَدْ مُلِئَ جِنَانًا
Maksudnya: “Hampir saja wahai Mu’az, seandainya engkau berumur panjang, nescaya engkau akan melihat tempat ini dipenuhi dengan kebun-kebun.”
Riwayat Muslim (706)
Tabuk dan lembah yang mempunyai mata air adalah kawasan tandus kerana kekurangan air. Namun, dengan berkat yang Allah berikan melalui Rasul-Nya, air ini bertambah banyak dan mengalir dengan deras. Ini bukan hanya untuk memenuhi keperluan tentera, tetapi Rasulullah juga memberitahu bahawa air ini akan berterusan dan akan ada taman dan kebun yang penuh dengan pokok buah-buahan. Ramalan Rasulullah telah menjadi kenyataan dalam masa yang singkat. Hingga hari ini, Tabuk masih terkenal dengan taman-tamannya, kebun-kebunnya, pokok kurmanya dan kurmanya, yang semua ini membuktikan kebenaran ramalan Rasul Muhammad. Ini memberi kesaksian bahawa Rasul tidak berbicara kecuali dengan kebenaran, tidak memberitahu kecuali dengan kebenaran, dan tidak meramalkan sesuatu kecuali menjadi kenyataan.
Salah satu daripada cara untuk mendapat dan meraih keberkatan daripada Allah dengan kita membanyakkan istighfar kepada Allah SWT:
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا
Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. “(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; “Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”
(Surah Nuh: 10-12)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”