Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah kesan yang ketara selepas selesainya perang Tabuk?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Peperangan Tabuk berlaku pada bulan Rejab tahun ke-9 Hijrah yang diketuai oleh Baginda SAW sendiri. Tentera Islam seramai 30,000 tentera. Orang Islam berlumba-lumba mengeluarkan biaya melalui harta benda mereka. Uthman bin Affan menyediakan sebanyak 200 ekor unta yang lengkap dengan pelana dan kain lapiknya, di samping wang sebanyak 200 uqiyah (1 uqiyah bersamaan 40 dirham). Ia berlaku di kawasan yang terletak di antara Wadi al-Qura dan al-Syam, utara Hijaz, dan kota ini menghadap ke arah Laut Merah, dan atas sebab ini ia dianggap sebagai titik pertemuan antara Semenanjung Arab dan Rom. Ia berasal dari daerah Quda‘ah, yang berada di bawah pemerintahan orang Rom pada masa itu.
Perang ini tercetus sebagai suatu tindak balas terhadap orang rom dan kaum musyrikin Arab yang ingin menghapuskan kekuatan Islam di bawah pimpinan Rasulullah SAW, yang mana selepas pembukaan kota Makkah ia dianggap sebagai ancaman besar buat penganut ajaran paganisme (penyembahan berhala) dan syirik di seluruh dunia. Sekalipun begitu, tujuan utama pasukan ini dihantar adalah untuk menyeru orang-orang musyrikin kepada agama Allah dan sebagai membenarkan firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قَـٰتِلُوا۟ ٱلَّذِينَ يَلُونَكُم مِّنَ ٱلْكُفَّارِ وَلْيَجِدُوا۟ فِيكُمْ غِلْظَةًۭ ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلْمُتَّقِينَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu; dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) yang ada pada kamu; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa (dengan memberikan pertolonganNya).”
(Surah al-Taubah: 123)
Berkenaan dengan kesan selepas perang Tabuk, antaranya ialah:
- Jatuh kehebatan empayar Rom di sisi orang-orang Arab sama ada orang Islam atau kafir. Ini pada pandangan mereka, pada awalnya bahawa Rom tidak akan dapat dikalahkan. Sementalahan lagi berlaku pula sebelum itu peperangan di Mu’tah yang menunjukkan semangat yang ada pada orang Islam.
- Menzahirkan kekuatan daulah Islam seolah-olah satu-satunya kekuatan yang mampu mencabar kuasa besar dunia. Itulah pemerintahan Rasulullah SAW di kota suci Madinah yang mampu mencabar dua kuasa besar dunia ketika itu, empayar Rom dan Parsi.
- Menyatukan semenanjung Tanah Arab di bawah hanya satu pemerintah, iaitu Rasulullah SAW sementelahan lagi kesan dari pembukaan kota Makkah, Khaibar dan peperangan Tabuk.
- Menzahirkan mereka yang beriman dengan hakiki di kalangan sahabat yang sanggup berkorban apa sahaja dengan golongan munafiq yang banyak mengganggu dan cuba melumpuhkan umat Islam, tetapi perancangan mereka sentiasa gagal.
Inilah antara kesan yang besar, berlaku selepas daripada peperangan Tabuk. Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah:
اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)