Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum berdoa dengan sesuatu yang telah ditentukan dan telah ada hasilnya? Sebagai contoh, pihak sekolah menelefon pelajarnya dan mengatakan, “Sila datang ke sekolah untuk mengambil keputusan ujian kamu”. Adakah dibolehkan untuk dia berdoa ketika di dalam perjalanan dengan doa-doa seperti “Ya Allah semoga keputusan dan markah yang aku peroleh ini tinggi”, sedangkan keputusan dan markahnya telah dicetak dan telah disediakan untuk diserahkan?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Doa menurut Imam al-Khattabi adalah permohonan hamba kepada Tuhannya dengan mengharapkan pertolongan-Nya dan juga bantuan daripada-Nya. (Lihat Sya’n al-Du’a, 1/4)

Allah SWT berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya:Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

(Surah Ghafir: 60)

Menurut Imam al-Qurtubi, ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf dalam kalangan umat Islam sendiri. (Lihat Tafsir Ibn ‘Asyur, 24/183)

Perbuatan berdoa adalah suatu ibadah yang sangat dituntut di dalam Islam. Terdapat banyak nas yang sahih daripada al-Quran dan juga al-Sunnah yang menerangkan tentang kepentingan berdoa kepada Allah SWT. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Nu’man bin Basyir R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ

Maksudnya: “Berdoa itu adalah suatu ibadah.”

Kemudian baginda membaca firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: Dan telah berkata Tuhan kamu: “Berdoalah kamu semua kepada-Ku nescaya Aku akan memustajabkan buat kamu.”

Riwayat Abu Dawud (1479)

Berdasarkan ayat dan hadith di atas, berdoa itu bukan sekadar suatu ibadah, bahkan ia merupakan suatu perintah dari Allah SWT buat sekalian para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya. Bukan sekadar itu, Allah SWT turut memberikan jaminan bahawa Dia akan memustajabkan sebarang permintaan hamba-Nya. Hal ini secara jelas menggambarkan peri pentingnya ibadah doa, sehingga menjadi suatu arahan dan tuntutan kepada seseorang hamba untuk melakukannya.

Ibnu Kathir menyebut bahawa ayat ini menzahirkan kemuliaan dan sifat Maha Pemurah Allah SWT di mana Dia menggalakkan hambanya untuk berdoa dan memberi jaminan untuk mengabulkan doa-doa tersebut. Seperti mana kata Sufyan al-Thauri:

يَا مَنْ أَحَبُّ عِبَادِهِ إِلَيْهِ مَنْ سَأَلَهُ فَأَكْثَرَ سُؤَالَهُ وَيَا مَنْ أَبْغَضُ عِبَاده إِلَيْهِ مَنْ لَمْ يَسْأَلْهُ وَلَيْسَ أَحَد كَذَلِكَ غَيْرك يَا رَبِّ

Maksudnya: “Wahai hamba yang paling di sukai-Nya adalah hamba yang banyak meminta kepada-Nya. Dan hamba yang paling tidak disukai adalah siapa yang tidak meminta kepada-Nya. Tiada siapa seperti Engkau wahai Tuhan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/366)

Selain itu, Allah SWT sangat suka hamba-hamba-Nya berdoa kepada-Nya sebagaimana yang disebut di dalam nas-nas ilahi. Antaranya, Firman Allah SWT:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”

(Surah al-Baqarah: 186)

Berdoa Dengan Sesuatu Yang Telah Diketahui

Berdoa dengan sesuatu yang telah ditetapkan dan seseorang telah mengetahui hasil yang telah ditetapkannya ialah seperti dia mengetahui dia telah gagal kemudian berdoa kepada Allah agar lulus, ataupun dia mengetahui bahawa seseorang itu telah meninggal dunia, kemudian dia berdoa kepada Allah agar dihidupkannya. Maka berdoa dalam keadaan ini merupakan satu perkara yang sia-sia. Bahkan hal ini termasuk dalam melampui batas dalam berdoa kerana dia berdoa dengan sesuatu yang mustahil. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mughaffal RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

سَيكون فِي هَذِهِ الْأُمَّةِ قَوْمٌ يَعْتَدُونَ فِي الطَّهُورِ وَالدُّعَاءِ

Maksudnya: “Akan ada dalam umat ini suatu kaum yang melampaui batas dalam bersuci dan berdoa.”

Riwayat Abu Dawud (96) dan Ahmad (17254). Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ (2/190) menyatakan sanad hadith ini sahih

Syeikh al-Islam Abu al-Abbas Ibn Taimiyah berkata, “Melampui batas dalam berdoa adalah seperti meminta sesuatu yang tidak diperbolehkan untuk memintanya seperti meminta terhadap sesuatu yang diharamkan, meminta sesuatu yang mustahil untuk Allah lakukan seperti meminta agar tetap kekal abadi sampai hari kiamat, atau meminta agar diangkat daripada kelaziman manusia seperti dibebaskan daripada keperluan makan dan minum, atau memohon agar dapat mengetahui yang ghaib atau dijadikan orang yang terjaga daripada melakukan maksiat (ma’sum), ataupun dikurniakan seorang anak tanpa berkahwin, atau doa seperti itu yang tidak dicintai oleh Allah dan tidak disukai orang yang memintanya. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 15/22)

Ibn Abidin mengatakan, “Diantara yang diharamkan adalah meminta sesuatu yang mustahil sedangkan  dia bukan nabi ataupun wali Allah seperti meminta tidak perlu bernafas di udara agar selamat daripada mati lemas. Atau meminta untuk sihat selamanya agar boleh memanfaatkan kekuatan dan anggota tubuhya untuk selamanya yang mana kebiasaannya hal itu merupakan sesuatu yang mustahil. Semuanya itu adalah diharamkan. (Lihat Rad al-Mukhtar, 4/121)

Berdasarkan persoalan di atas, dalam keadaan ini, seseroang itu telah mengetahui sesesuatu kejadian itu telah terjadi, akan tetapi dia belum mengetahui apa yang telah diputuskan. Dalam keadaan ini, dibolehkan dan digalakkan untuk berdoa kepada Allah SWT dengan apa yang dia inginkan. Hal ini kerana seorang hamba itu tidak mengetahui apa yang diputuskan Allah SWT yang telah terjadi sama ada baik ataupun buruk.

Daripada Muaz RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الدُّعَاءَ يَنْفَعُ مِمَّا نَزَلَ وَمِمَّا لَمْ يَنْزِلْ فَعَلَيْكُمْ عِبَادَ اللَّهِ بِالدُّعَاء

Maksudnya:Sesungguhnya doa itu bermanfaat dengan sesuatu yang telah diturunkan dan apa yang belum diturunkan. Maka wahai Hamba Allah berdoalah kalian semua.”

Riwayat Ahmad (22694). Pengarang Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (1634) menyatakan hadith ini hasan

Keumuman sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa salam ‘Sesungguhnya doa itu bermanfaat dengan sesuatu yang telah diturunkan dan apa yang belum diturunkan’ menunjukkan dianjurkan berdoa dalam keadaan sebagaimana yang ditanyakan di dalam soalan di atas.

Al Mubarakfuri mengatakan dalam kitab Tuhfah al-Ahwadzi berkenaan dengan sabda Nabi SAW “لَا يَرُدُّ الْقَضَاءَ إِلَّا الدُّعَـاءُ” iaitu “Tidak ada yang dapat menolak ketetapan melainkan dengan doa”: Sesungguhnya telah diperintahkan untuk berubat dan berdoa, sedangkan yang telah ditetapkan telahpun ada. Hal ini kerana seseorang itu tidak mengetahuinya sama ada keputusan itu telah ada ataupun belum ada. Hal ini dikuatkan lagi dengan hadith yang dikeluarkan oleh Imam al-Tirmidzi daripada hadith Ibn Umar: “Sesungguhnya doa itu bermanfaat dengan sesuatu yang telah diturunkan dan apa yang belum diturunkan.” (Lihat Tuhfah al-Ahwadzi, 5/427)

Selagi seseorang belum mengetahui apa yang telah diputuskannya. Maka dia digalakkan untuk berdoa kebaikan yang diinginkannya dan mengangkat keburukan yang dikhuatiri menimpanya. Berdoa dalam keadaan ini termasuk dalam kategori umum berkenaan galakan untuk berdoa. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, sabda Nabi SAW:

 مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ يُعَجِّلَ لَهُ دَعْوَتَهُ وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عنهُ من السُّوءِ مثلَها   . قَالُوا: إذا   نكثر. قال :  الله أكثر.

Maksudnya:Tidaklah seorang muslim itu berdoa dengan suatu doa yang tidak termasuk dosa dan tidak memutus persaudaraan melainkan Allah akan berikan salah satu daripada tiga keadaan ini: Sama ada disegerakan doanya atau disimpan untuknya di hari akhirat ataupun dipalingkan keburukan seumpamanya daripadnaya. Para sahabat mengatakan,“Kalau begitu kita perbanyakkan (berdoa). Nabi menjawab,”Allah (akan memberikan) lebih banyak lagi.

Riwayat Ahmad di dalam al-Musnad (11133). Hadith ini dinilai sahih oleh pengarang Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (1633).

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa digalakkan untuk berdoa dengan penuh pengharapan kepada Allah SWT selagimana doa itu tidak melampaui batas dan juga bukan pada perkara mustahil dan maksiat. Bahkan, di dalam situasi ditanyakan di atas, sangat dianjurkan untuk berdoa dan menyandarkan pengharapan kepada Allah SWT supaya memberikan keputusan yang tinggi berdasarkan keumuman dan galakan berdoa pada perkara yang belum diketahuinya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 4 Mac 2022 bersamaan 1 Syaaban 1443H

Leave a Reply